adsense

05 April, 2007

Isu Hangat: Masjid diceroboh, al-Quran dibakar



Masjid diceroboh, al-Quran dibakar buatnyer@gmail.com


Oleh SAHBULAH DARWI
NIBONG TEBAL 3 April – Ahli kariah Masjid Jamek Al-Insaniah Simpang Ampat dekat sini gempar apabila ruang solat, bidai dan senaskhah al-Quran telah dibakar.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku sekitar pukul 3 pagi itu, cermin tingkap sisi kanan dan cermin pintu kiri masjid turut dipecahkan menggunakan batu-bata yang disyaki dibaling atau dihentak dari luar masjid.
Lebih biadap lagi, tujuh helai muka surat al-Quran yang melibatkan surah al-Baqarah dibakar sebelum diletakkan di atas rak buku secara terbuka.
Bagaimanapun, bahagian lain naskhah kitab suci itu tidak dibakar.
Ini merupakan kes pertama di negeri ini yang melibatkan perbuatan khianat membakar kitab suci umat Islam itu.
Pengerusi kariah masjid tersebut, Ramli Kasa, 59, berkata, bidai tingkap berukuran kira-kira empat meter tinggi dan satu meter lebar bersebelahan mimbar masjid turut dibakar mengakibatkan sebahagian lantai, permaidani dan wayar elektrik di kawasan itu turut terbakar.
''Bagaimanapun, tiada sebarang kecurian barangan dan wang berlaku kerana tabung masjid tersebut memang dikosongkan berikutan kes kecurian wang pada minggu lepas,'' katanya ketika ditemui pemberita di masjid itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, jemaah dan ahli kariah masjid tersebut terkejut serta marah dengan kejadian itut terutama kerana penjenayah itu tergamak membakar al-Quran.
Siak masjid itu, Baisun Tasimin, 61, berkata, dia adalah orang pertama menyedari kejadian berkenaan sebaik sahaja memasuki ruang solat kira-kira pukul 5.20 pagi untuk melakukan persiapan solat subuh berjemaah.
''Apabila masuk, saya terkejut setelah mendapati lebih 20 tabung masjid bertaburan merata-rata dan serpihan cermin berselerak dekat tingkap dan pintu," katanya.
''Kejadian kecurian duit masjid memang berlaku di mana-mana tetapi perbuatan membakar al-Quran ini cukup melampau.
''Mungkin orang itu (penjenayah) masuk hendak curi duit tetapi apabila duit tidak ada dia jadi geram lalu bakar sana sini dalam masjid," katanya.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Simpang Ampat pagi ini.


.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin