ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
02 April, 2007
Isu Hangat: Pendaki Everest M'sia Dikehendaki Polis
Memperdaya ROC
KUALA LUMPUR: Polis akan menyoal siasat seorang anggota kumpulan pendaki negara ke Gunung Everest kerana didakwa menggunakan kad pengenalan kakak dan abang iparnya untuk tujuan menipu dalam menubuhkan 22 syarikat, termasuk membawa masuk pelajar asing ke negara ini.
Lelaki berusia 42 tahun itu, rakyat Malaysia pertama tiba di puncak Everest melalui Tibet dan meletakkan Jalur Gemilang di puncak gunung itu pada 15 Mei tahun lalu, dikehendaki polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan dan Pendaftar Syarikat ROC) berikutan dakwaan penipuan sejak tahun lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Omar Mammah, berkata pemeriksaan polis dengan ROC mendapati pendaki gunung itu memperdayakan ROC.
“Sembilan laporan polis dibuat oleh abang ipar pendaki gunung itu berhubung kegiatan penipuan sejak Mei tahun lalu. Namun saya terkejut apabila mendapat tahu tiada tindakan diambil berhubung dakwaan itu.
“Suspek kini di Kathmandu untuk misi keduanya menguasai Gunung Everest. Kami akan tahan dia sebaik dia kembali ke negara ini. Polis serius dengan perkara ini,” katanya.
Omar berkata, abang ipar lelaki itu membuat rayuan di pejabat Ketua Polis Negara (KPN) tahun lalu apabila Ibu Pejabat Polis Ampang, iatu tempat laporan polis berhubung perkara itu dibuat, gagal mengambil tindakan.
“Kami menerima surat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan baru-baru ini mengarahkan supaya mempercepatkan tindakan terhadap perkara ini dan KPN serius mengenainya. Namun memandangkan suspek kini di Kathmandu, kami perlu menunggu dia pulang,” katanya.
Sementara itu, abang ipar pendaki itu, R Sathasivam, 47, memberitahu beliau dan isterinya kini hidup dalam ketakutan berikutan nama mereka disenaraikan sebagai pengarah 22 syarikat.
“Saya ada gerai makan di Kuala Pilah enam tahun lalu, tapi perniagaan saya tutup dan saya menganggur beberapa waktu sebelum suspek berjumpa saya dan berjanji mencarikan kerja lebih baik serta mendapatkan unit rumah pangsa untuk saya. Dia minta kami memberi salinan kad pengenalan untuk menyediakan dokumen.
“Malangnya janji itu tidak ditunaikan. Pada awal November 2005, saya dapat tahu nama saya disenaraikan sebagai pengarah beberapa syarikat tanpa persetujuan saya... jika betul saya pengarah, saya tidak akan bekerja sebagai pengawal keselamatan,” kata Sathasivam.
Beliau mendakwa maklumat pengenalan isterinya turut digunakan tanpa kebenaran oleh pendaki itu untuk mendapatkan pas lawatan sosial bagi pelajar Korea.
Sathasivam berkata, beliau juga menerima ugutan daripada orang tidak dikenali supaya menarik balik laporan polis berhubung kegiatan penipuan oleh suspek dan tiga bulan lalu beliau diserang dua lelaki tidak dikenali hanya kira-kira 500 meter dari Balai Polis Ampang.
“Serangan berlaku jam 10.30 malam, dua lelaki memakai topi keledar menutup muka menendang dan menumbuk saya. Muka dan badan saya dicederakan dengan senjata tajam.
“Mereka menggunakan bahasa kasar terhadap saya dan minta saya tarik balik laporan polis. Saya lari ke balai polis Ampang sebelum pengsan di depan pondok pengawal. Saya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya.
Misi terbaru suspek ialah pendakian solo pertama dari Asia Tenggara yang menawan Gunung Everest melalui laluan selatan yang menghadap Nepal.
Pendakian untuk projek amal itu dikenali sebagai Projek Ekspedisi Solo TR Everest untuk Kebajikan 2006.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment