adsense

16 April, 2007

Tip Hangat:Usah ambil mudah proses temu duga



Usah ambil mudah proses temu duga

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

SESI temu duga adalah peluang keemasan buat majikan menilai potensi dan kebolehan calon selepas tertarik dengan resume disediakan.

Dalam proses temu duga ini, calon tidak sepatutnya melakukan kesilapan kerana ia mampu menggagalkan peluang mendapatkan pekerjaan.

Begitupun, masih ramai mengambil mudah ketika menghadiri sesi temu duga kerana yakin mampu memperoleh jawatan itu selain menganggap temu duga sekadar perbualan biasa.

Perkara ini turut diakui Kaunselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Zulfikar Ahmad, yang mengatakan kebanyakan calon gagal temu duga kerana kesilapan sendiri bukan kerana tidak memenuhi kelayakan ditetapkan majikan.

Katanya, terdapat beberapa kesalahan umum sering dilakukan calon temu duga termasuk penyediaan resume dan cara mempersembahkan diri di hadapan bakal majikan.

Menurutnya, penyediaan resume yang terlalu panjang dengan pelbagai maklumat tidak berkaitan jawatan dipohon adalah antara kesalahan biasa dilakukan calon.

“Resume adalah ejen pengiklanan diri calon kepada bakal majikan. Justeru, ia tidak perlu panjang, cukup hanya dengan dua muka surat tetapi maklumat di dalamnya ringkas dan padat.

“Maklumat seperti aktiviti yang tidak berkaitan jawatan dipohon sepatutnya tiada dalam resume kerana ia hanya menggambarkan calon ‘multiskill’ namun tidak bersesuaian.

“Selain itu, hobi atau aktiviti masa lapang juga jangan diremehkan kerana ia boleh mencerminkan peribadi calon selain memberi tanggapan sama ada calon layak diberi jawatan atau tidak,” katanya ketika dihubungi.

Zulfikar berkata, perkara terbabit walaupun nampak kecil tetapi boleh memberi impak tidak elok seterusnya menggagalkan peluang calon mendapat pekerjaan.

Beliau berkata, elemen lain yang perlu diberi perhatian ialah ketepatan masa, etika berpakaian, penampilan dan kekemasan serta kesalahan kecil sepanjang proses temu duga.

Katanya, calon perlu berhati-hati mengeluarkan perkataan dan menjawab soalan diutarakan majikan kerana semuanya akan dinilai. Seeloknya, berfikir sebaik mungkin sebelum membalas percakapan penemuduga.

Tindakan meminta majikan menaikkan gaji atau menyediakan kemudahan tidak sepatutnya dilakukan kerana ia boleh memberi persepsi kurang baik memandangkan anda sedang dalam proses mendapatkan pekerjaan.

Calon temu duga turut dinasihatkan supaya tidak menokok tambah maklumat dan kelebihan diri semata-mata ingin kelihatan hebat kerana kesahihannya boleh dipertikaikan majikan.

TIP

SEPULUH kesalahan yang biasa dilakukan calon temu duga:
- Dokumen diperlukan tidak lengkap.
- Tiba lewat dari masa yang ditetapkan penemuduga.
- Pemakaian tidak sesuai.
- Maklumat keterlaluan dalam resume sekali gus mencerminkan anda tidak percaya kemampuan diri.
- Meremehkan kepentingan hobi dalam resume.
- Kesilapan ejaan dan penggunaan perkataan yang salah.
- Menokok tambah maklumat tertentu untuk kelihatan hebat.
- Tidak menjawab soalan ditanya dengan betul. Lebih elok sekiranya berfikir terlebih dulu.
- Tindakan meminta majikan menyediakan kemudahan tertentu dan menaikkan gaji.
- Penampilan tidak terjaga termasuk rambut panjang dan sebagainya.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin