adsense

15 August, 2007

Kerinduan kepada Baitul Maqdis



Baitul Maqdis

Perihal pertama yang terbayang dalam jiwa, kesedaran dan pemikiran kaum Muslimin adalah Baitul Maqdis merupakan kiblat mereka yang pertama, di mana dalam solat Rasulullah SAW bersama para sahabat-sahabatnya tetap menghadap ke Baitul Maqdis semenjak solat diwajibkan di malam Isra' dan Mi'raj pada tahun kesepuluh selepas Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul atau tiga tahun sebelum Hijrah. Mereka tetap menghadap Baitul Maqdis di Jerusalem dan setelah berhijrah ke Madinah selama satu tahun enam bulan, sehingga turun ayat Al-Quran yang memerintahkan mereka untuk menghadap ke Ka'bah atau Masjidil Haram yang terletak di Makkah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Dan dari mana saja kamu berangkat, maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, maka palingkanlah wajahmu kearahnya''. (QS, Al-Baqarah: 150)

Baitul Maqdis Sebagai Negeri Isra' dan Mi'raj

Perihal kedua yang terbayang dalam jiwa dan kesedaran kaum Muslimin adalah Allah telah menjadikan Baitul Maqdis sebagai perhentian terakhir perjalanan Isra' di bumi dan permulaan perjalanan Mi'raj ke langit. Kehendak Allah SWT telah menghendaki untuk memulai perjalanan Isra' Muhammad di bumi pada malam yang penuh berkat itu dari Masjidil Haram di Makkah di mana Rasulullah SAW berkediaman dan Dia menghendaki akhir perjalanannya di Masjidil Aqsa. Kisah Isra' dan Mi'raj adalah kaya dengan tanda-tanda dan isyarat yang menunjukkan ketinggian kedudukan tempat yang berkat ini, di sanalah Malaikat Jibril mengikatkan Buraq; haiwan ajaib yang menjadi alat pengangkutan Rasul SAW dari Makkah ke Baitul Maqdis. Buraq tersebut diikatkan di Sakhrah hingga Rasul SAW kembali dari perjalanannya yang terakhir bermula dari Masjidil Aqsa menuju ke langit yang paling tinggi di Sidratul Muntaha. Kenangan perjalanan ini telah mewariskan kpd kaum Muslimin rupa Batu Sakhrah dan Dinding Buraq.

Kedudukan Baitul Maqdis Sebagai Kota Besar Islam Yang Ketiga

Baitul Maqdis yang terdapat padanya Masjidil Aqsa, diberkati sekelilingnya oleh Allah SWT adalah kota ketiga terbesar Islam, selepas yang pertama ialah Makkah Mukarramah yang dimuliakan Allah dengan Masjidil Haram-Nya dan yang kedua pula ialah Madinah Al-Munawwarah yang dimuliakan Allah dengan adanya Masjid An-Nabawi dan mengandungi makam Rasulullah SAW. Al-Qur'an telah memberitahukan ketinggian kedudukan Masjidil Aqsa dan keberkatannya sebelum Masjidil Nabawi dibangunkan dan beberapa tahun sebelum hijrah. Ketetapan Al-Qur'an tersebut telah dikuatkan oleh hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Solat di Masjidil Aqsa adalah sama nilai pahalanya dengan lima ratus kali solat di masjid-masjid yang lain kecuali di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. (H.R Bukhari-Muslim)

Baitul Maqdis Sebagai Negeri Kenabian dan Keberkatan

Baitul Maqdis adalah sebahagian dari negara Palestin dan bahkan ia merupakan buah mata dan urat nadinya; Allah SWT menerangkan sifat negeri ini dengan "keberkatan" pada lima tempat di dalam Kitab-Nya; salah satunya ialah dalam surah Al-Isra' ketika Allah SWT mensifatkan Masjidil Aqsa sebagai (yang bermaksud):

"Yang kami berkati sekelilingnya". (Al-Isra': 1) Ibnu Kathir berkata" Sebahagian para Imam berkata: Dari tiga tempat inilah Allah mengutus nabi-nabi ulul 'azmi yang membawa syariat-syariat yang besar, iaitu: Pertama: Tempat Tin dan Zaitun, iaitu Baitul Maqdis, padanya Allah SWT mengutuskan Isa Ibnu Maryam A.S. Kedua: Bukit Tursina, di atasnya Allah SWT berbicara kepada Musa ibnu 'Imran A.S. Ketiga: Makkah, negeri yang aman, setiap orang yang memasukinya akan mendapat keamanan. Dengan penafsiran ini, maka harmonilah tiga bahagian di atas.

Negeri Persediaan Dan Jihad

Allah SWT telah mengkhabarkan kepada Nabi-Nya Muhammad SAW bahawasanya negeri yang suci ini akan diduduki oleh musuh-musuh atau akan terancam dengan serangan dan pendudukan. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW menganjurkan kepada umatnya supaya bersiap sedia bagi menjaganya dan berjihad untuk membelanya sehingga tidak jatuh ke tangan musuh, dan supaya membebaskannya jika ia ditakdirkan jatuh kepada tangan musuh. Sesungguhnya Rasulullah telah mengkhabarkan akan terjadinya peperangan yang sengit antara kaum Muslimin dengan puak-puak Yahudi dan juga kemenangan akan berada di tangan kaum Muslimin, sehinggakan batu dan pepohon sekalipun akan berbicara untuk menunjukkan tempat musuh-musuh mereka berada sama ada dengan bahasa isyarat atau bahasa ucapan. Diriwayatkan drpd Abu Umamah Al Bahili bahawa Nabi SAW bersabda:

"Suatu kelompok dari umatku akan tetap dalam kebenaran yang nyata & akan mengalahkan musuh-musuh mereka kecuali apabila mereka ditimpa kesusahan sehingga datang kelapangan dari Allah & keadannya seperti sediakala", Para sahabat bertanya "Dimanakah tempat mereka itu wahai Rasulullah?". Baginda SAW menjawab: "Di Baitul Maqdis dan di bawah lindungan Baitul Maqdis.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin