adsense

16 April, 2007

Info Hangat: Vista cipta pengalaman baru



Oleh Husain Jahit
husain@hmetro.com.my

Microsoft ambil pendekatan berbeza ke atas fungsi pencarian data, ubah pengurusan maklumat menerusi penawaran satu kemasukan untuk capai informasi

PRODUK: Microsoft Windows Vista Business Edition
PENGELUAR: Microsoft Corp
PERTANYAAN: Microsoft Sdn Bhd
TELEFON: 1800 88 6295
LAMAN WEB: www.microsoft.com.my
HARGA: RM1,271

KEMUNCULAN sistem operasi (OS) baru Microsoft Windows Vista baru-baru ini memang dijangka merubah pengalaman perkomputeran sama ada komputer desktop atau notebook.

Terlalu banyak hendak diperkatakan mengenai ciri dan pelbagai manfaat mampu diperoleh daripadanya. Pengguna yang banyak menghabiskan masa dengan komputer pasti tahu, begitu juga pengguna notebook yang sering keluar pejabat dan tidak bekerja di satu tempat.

Jika anda menggunakan komputer, tentu data yang ada semakin banyak hinggakan sukar dikesan semula dan besar kemungkinan lupa, sedangkan ia mungkin akan digunakan pada masa depan.

Justeru, Microsoft mengambil pendekatan berbeza ke atas fungsi pencarian data dan mengubah pengurusan maklumat menerusi penawaran satu kemasukan untuk mencapai maklumat di komputer, rangkaian korporat dan Internet.

Inilah antara ciri baru yang diwujudkan Microsoft Corp selaku peneraju teknologi maklumat terkemuka dunia.

Enjin pencari itu diletakkan di lokasi utama iaitu pada butang ‘Start’ yang turut diubah penampilannya kerana di situlah pengguna memberikan banyak tumpuan.

Sebaik melalukan penunjuk tetikus ke butang ‘Start’ itu, di situlah diletakkan kekotak dialog enjin pencari diletakkan selain senarai program atau aplikasi sebagaimana yang kita peroleh pada OS sebelum Vista.

Sesuatu yang menarik ialah fungsi prapapar mengikut setiap huruf yang anda masukkan pada kekotak dialog itu.

Tidak kiralah anda mencari folder atau fail tertentu yang pernah dibuat menggunakan apa jua aplikasi dan disimpan entah di mana. Ia juga berguna untuk mencari aplikasi perisian yang tiada ikon di atas pemuka dekstop.

Dari situ, Vista didapati lebih bertenaga ditambah pula dengan paparan lebih menarik dan mesra pengguna.

Paparannya lebih jelas dan memiliki fungsi lutsinar bagi memudahkan pengguna melihat paparan sebelah belakang walaupun terlalu banyak aplikasi atau fail dibuka secara bertindih-tindih.

Antaramukanya lebih menarik, seronok dan mudah digunakan, akan mendorong anda untuk mencuba segala keupayaannya.

Antaramuka itu didatangkan dengan kesan tiga dimensi, memberikan paparan keseluruhan bagi memudahkan pelbagai tugas apabila menggunakan aplikasi.

Dalam pada itu, Vista banyak menambah baik aspek penting seperti sistem pertahanan yang lebih kukuh, aplikasi terbina dalam yang lebih baik, peningkatupayaan rangkaian, kawalan kekeluargaan dan sokongannya ke atas sistem grafik DirectX 10.

Dengan kawalan kekeluargaan itu, ibu bapa boleh mengawal penggunaan anak sama ada kawalan masa atau penentuan aplikasi dan game yang boleh dimainkan.

Sistem keselamatan Windows Defender itu juga yang dikatakan mengancam periuk nasi pengeluar rumusan keselamatan kerana kemampuan membendung terus pelbagai ancaman perisian pengintip dan virus. Ia mampu mengesan ancaman dengan baik lalu menghapuskannya.

Satu lagi ciri menariknya ialah pengurangan kos penyelenggaraan dengan adanya peralatan ‘Self Diagnostics’. Secara proaktif ia akan mendiagnos dan menyelesaikan masalah biasa.

Contohnya, Vista akan mengesan apabila pengguna hampir kehabisan sumber-sumber sistem dan memberitahu pengguna sebelum PC mereka terhenti dari operasi (hangs) serta boleh menyebabkan kehilangan data.

Ia juga sentiasa mengikuti perkembangan penggunaan memori maya dan memberi amaran supaya menutup aplikasi tertentu bagi mengelakkan kehilangan data.

Dengan pelbagai kelebihan itu, pasti operasinya memerlukan perkakasan yang bertenaga dan bukan sekadar kuasa pemprosesan, malah sistem penguat grafik, memori perlu menepati kehendak.

Ujian penggunaan Vista ini dilakukan di atas komputer notebook dengan pemproses Intel Core 2 Duo berkelajuan 1.66GHz, RAM DDR2 1GB, cakera keras 80GB dan bateri ion litium 6 sel.

Sesuatu yang menarik ialah ciri Windows ReadyBoost iaitu konsep baru menambah memori ke dalam sistem Pengguna boleh menggunakan pemacu setoran flash untuk menambahbaikan prestasi sistem.

Prestasinya diperbaiki kerana kemampuannya mengambil data yang disimpan di dalam pemacu setoran itu dengan pantas berbanding yang disimpan di dalam cakera keras.

Namun, jika anda biasa dengan OS Windows XP, ini adalah pelengkap – tidak ada tidak mengapa, melainkan berpeluang membeli PC baru, apa salahnya mencuba OS baru.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin