ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
28 June, 2007
Antara punca gemuk yang terpenting.
Posted on Wednesday, June 27 @ 20:25:39 MYT by SongkokPutih
Oleh emjay
"Alhamdulillah saya telah mula menulis perkongsian ilmu dengan menggunakan pengalaman membesarkan anak-anak saya seramai 6 orang sebagai subjek. Ia dimulakan dengan artikel Agar gigi anak-anak tersusun rapi pada 7 Mei 2007 dan terkini ialah Pertembungan sains dengan Islam, mana nak dipilih? (isu makan hati) pada 29 Mei 207. Kepada sesiapa yang mendapat bahan artikel ini secara email, jangan lupa melayari Laman Emjay di http://emjayjb.multiply.com/ untuk mendapatkan pelbagai artikel menarik lainnya.
Baru-baru ini di akhbar Utusan Malaysia telah dipaparkan secara kerap artikel-artikel berkenaan kegemukan seperti artikel-artikel berikut yang diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia :
1. Masalah gebu, gempal dan gemuk beri ancaman psikologi 14 Jun 2007
2. Tidak perlu rendah diri walaupun gemuk 14 Jun 2007
3. Wanita mudah simpan lemak 14 Jun 2007
4. Sejuta wanita Malaysia makin gebu, gempal, gemuk 13 Jun 2007
5. Makan luar lewat malam, 40% budak makin gemuk 9 Jun 2007
6. 10 juta rakyat Malaysia gemuk 24 Feb 2007
7. Kaji punca sebenar tubuh jadi gemuk 23 Feb 2007
8. 3.6 bilion penduduk dunia gemuk 19 Feb 2007
Jikalau dahulu 3G adalah merupakan kod berkaitan komunikasi telefon mudah alih Maxis dan Celcom, kini 3G sudah membawa maksud baru iaitu gebu, gempal dan gemuk pula. Setiap kali membaca artikel berhubung kegemukan di akhbar, hati tercuit juga untuk menceritakan antara punca terpenting mengapa kini ramai orang di dunia menghadapi masalah serius iaitu gemuk.
Sewaktu saya kecil dahulu (saya dilahirkan pada tahun 1956), adalah satu masalah untuk mencari rakan sebaya yang gemuk. Di kampung saya, tidak ada orang yang gemuk. Bila masuk ke sekolah rendah, juga tidak ada pelajar yang gemuk. Bila masuk sekolah menengah dan bergaul dengan pelbagai bangsa seperti Cina dan India, juga tidak ada pelajar dan guru yang gemuk. Bila masuk ke sekolah asrama penuh (Sekolah Alam Shah) pada tahun 1972 (tingkatan 4), juga saya tidak nampak pelajar yang gemuk. Namun kini senario ini telah berubah, jika diperhatikan mana-mana sekolah kebangsaan yang menempatkan pelajar 12 tahun dan ke bawah, ramai pelajar-pelajar ini sudah mengalami masalah gemuk yang serius.
Berdasarkan fakta di perenggan di atas ini, mengapakah zaman saya kecil hingga ke sekolah menengah tidak ramai pelajar yang gemuk berbanding sekarang? Adakah pelajar zaman dahulu tidak kuat makan berbanding pelajar di zaman sekarang? Bila saya lihat abang sulung saya dahulu makan nasi, subhanallah macam gunung, namun abang sulung saya hingga kini tidak gemuk? Semenjak kecil saya juga agak kuat dan kerap makan namun alhamdulillah tidak gemuk? Walaupun keluarga miskin namun bab makan ini adalah mewah kerana ada saja makanan seperti ubi, keledek, keladi, jagung, ganyong dan sebagainya yang saya sudah lupa namanya. Kalau musim buah jangan sebut kuantiti buah-buahan yang dimakan.
Keluarga saya (8 adik beradik) kalau makan durian tidak pakai biji tetapi pakai guni. Rambutan keliling rumah dan di kebun pun banyak. Betik dan nangka juga sentiasa di keliling rumah. Keluarga saya membela ayam dan itik. Saya semenjak kecil adalah tukang buat reban ayam. Hal berkenaan membuat reban dan membaikinya adalah tugas saya. Setiap petang sebelum maghrib, antara tugas terpenting saya ialah memberikan ayam itik makan dan memasukkan ke dalam kandang. Bab memasukkan ayam itik ke dalam kandang adalah bab yang memerlukan banyak kesabaran kerana selalu ada ayam itik ini yang degil tidak mahu masuk kandang. Boleh dikatakan hampir setiap penduduk kampung saya membela ayam itik mereka masing-masing.
Makanan penting keluarga saya dahulu adalah sekadar ikan yang dibeli dari penjual ikan yang masuk ke kampung dengan kereta mereka. Sayuran amat jarang dibeli kerana kebanyakan sama ada ditanam sendiri atau diperolehi sekeliling kampung atau tepi belukar dan sungai. Antara sayuran kami dahulu ialah daun ubi, pucuk betik, daun meranti, pucuk manis, pucuk keledek, daun kacang panjang, pucuk paku, jantung pisang, nangka muda, betik muda, terung pipit, kacang panjang, bayam, kangkung paya dan kangkung yang ditanam dan berbagai sayuran paya yang saya sudah lupa namanya. Nasi yang kami makan memang banyak diikuti dengan sayur yang juga banyak dan ikan hanya sedikit maklumlah ikan kena beli. Kami hanya dibenarkan makan sepotong ikan kembung yang di potong dua.
Makan ayam atau itik memang tidak kerap. Bila ayam atau itik sudah banyak membiak, kami akan tangkap ayam atau itik dalam reban waktu malam untuk disembelih. Kebiasaannya saya tukang pegang ayam itik ini untuk disembelih oleh ayah saya. Bab ini tidak mengundang kebencian saya namun bab yang paling saya benci ialah bila kena cabut bulu dan menguruskan ayam itik ini sehingga selesai dipotong. Walau pun saya membenci membersihkan dan menguruskan ayam itik hingga selesai, rupanya ini adalah pendidikan yang baik bagi saya.
Rupanya pendidikan waktu kecil akan berterusan sehingga dewasa. Bila dah jadi guru di Sekolah Mengah Sains Raub, duduk di kuaters guru pun bela ayam kampung sendiri. Ada juga guru tetangga yang masam muka bila ayam saya berak di atas kereta mereka. Apabila saya bertukar profesion dan menyertai UTM di Kuala Lumpur, kegemaran membela ayam terpaksa diberhentikan kerana tiada ruang untuk membela ayam di Kuala Lumpur.
Apa yang ingin saya permudahkan dan jelaskan di sini ialah hampir semua anak-anak saya dari yang sulung hingga ke empat mengamalkan permakanan yang hampir serupa, iaitu nasi, ikan, ayam, sayur serta makanan rapu dan segera lain seperti sosej, burger, naget dllnya (tabiaat makan sosej, burger dan naget ini telah lama dihentikan). Ditakdirkan Allah bermula dari anak kelima, pendapatan bulanan saya meningkat dengan banyak alhamdulillah dari perniagaan sampingan saya iaitu menjual emas dan kemudian bertukar kepada membuka kedai menjual komputer. Anak keempat (perempuan) dan kelima (lelaki pertama) dapat peluang makan ayam KFC dengan kerap saban minggu. Ketika anak keempat ini berusia 3 tahun dan ke lima 1 tahun, setiap minggu makan ayam KFC seperti satu rutin mingguan. Memang seronok perasaan seorang bapa apabila melihat anak kecil nombor lima ini kuat makan ayam.
Menjelang umur anak kelima ini 2 tahun, dua ketul ayam KFC memang dia boleh habiskan seorang. Menjelang anak kelima ini berusia 4 tahun, anak ini sudah mempunyai kelainan yang jelas sangat berbeza dari kakak-kakaknya iaitu gemuk. Untuk membelikan baju anak lelaki ini memang satu masalah besar bagi kami. Perut anak ini memang sangat besar. Bila ukur seluar mengikut saiz perut, panjang seluar ini akan menjadi sangat panjang dan hodoh. Begitulah masalah saya membelikan pakaian untuk anak ini sehingga zaman persekolahannya.
Menjelang anak lelaki ini memasuki persekolahan darjah 2, barulah arwah guru saya menasihati saya agar elakkan memberikan makan ayam kepada anak lelaki saya ini dan juga kepada ahli keluarga saya. Kata arwah guru saya, kalau nak juga makan ayam, belalah sendiri. Ayam daging ini ada hormon gemuk dan ayam bela sendiri dan ayam kampung tidak ada hormon gemuk. Menurut arwah guru saya ini, badan anak lelaki saya ini sudah mengandungi berlebihan hormon ayam gemuk sehingga menjadikan anak saya ini gemuk macam ayam.
Mulai saat ini, saya mengulangi sejarah lama saya iaitu membuat reban dan membela ayam kampung. Ayam kampung mengambil tempuh yang lama untuk membiak dan saya mengambil keputusan untuk membeli benih ayam daging agar saya dapat makan ayam ini dalam tempuh yang pendek. Saya membeli sebanyak 20 ekor benih ayam daging. Memang seronok membela haiwan ternak ini. Saya pasang bekalan elektrik dan lampu 40 watt untuk memanaskan anak-anak ayam ini dan agar anak-anak ayam ini makan 24 jam sehari semoga cepat besar. Saya memberikan makanan 100 % anak-anak ayam ini dengan makanan terbaik jenama Gold Coin agar ayam-ayam ini cepat besar.
Selepas anak ayam ini berusia antara 45 hari hingga 50 hari barulah ayam-ayam ini mencecah berat 2½ kilo. Saya bawa ayam ini ke pasar untuk disembelih dan dibuang bulu. Setelah ayam ini dibersihkan, saya dapati ayam ini berbeza sifat fizikalnya berbanding ayam yang diternak oleh penternak ayam profesional. Penjual ayam tersebut memberitahu saya bahawa benih ayam daging yang sama kalau diternak sendiri, kulitnya berwarna kekuningan dan kurang berminyak berbanding ayam daging lain iaitu kulitnya berwarna putih dan berkilat kerana banyak minyak dikulitnya.
Tidak lama selepas ini saya juga diberitahu bahawa ayam daging yang dijual di pasar hanya mengambil masa 31 hari untuk mencecah berat 2 ½ kilo dan sedia untuk dipasarkan. Wow, cepat betul ayam ini membesar dan ini adalah disebabkan satu rahsia yang bukan lagi rahsia iaitu akibat penggunaan hormon gemuk. Saya diberitahu oleh seorang penternak ayam profesional yang juga seorang pensyarah di UTM. Kalau zaman dahulu, hormon gemuk ini diberikan secara suntikan namun kini hormon gemuk ini dicampurkan ke dalam air minum ayam daging ini. Bayangkan kos yang akan ditanggung oleh penternak ayam kalau hanya selepas 45 – 50 hari baru ayam-ayam ini boleh dipasarkan. Kos makanan ayam yang diberikan akan menjadi lebih tinggi dan tempuh membesarkan akan lebih lama dan semua ini menaikkan kos menternak ayam.
Kira-kira 2 tahun lepas saya cuba mendapatkan hormon menggemukkan ayam ini daripada pejabat pertanian (haiwan) di JB dari seorang rakan saya tetapi saya amat terperanjat apabila beliau mencuba menyorokkan amalan penggunaan hormon gemuk ini di kalangan penternak ayam.
Satu perkara penting yang perlu dimaklumi oleh semua manusia ialah ayam yang diberikan hormon gemuk ini selain bersaiz gemuk ialah warna kulitnya selepas dibuang bulu ialah putih dan berminyak. Apa yang lebih penting daripada fakta ini ialah ayam yang diberikan hormon gemuk ini tidak suka berjalan dan lebih suka duduk berhampiran tempat sumber makanan. Ayam ini dalam bahasa lain ialah sedang menghadapi suatu penyakit atau kesakitan yang menyebabkan ayam-ayam ini tidak suka berjalan. Kajian tidak resmi yang saya jalankan sewaktu membela ayam daging tersebut membuktikan bahawa ayam daging yang saya bela yang tidak diberikan hormon gemuk ini memang suka berlari walaupun tidak sepantas ayam kampung. Dalam bahasa lain yang mudah, ayam daging yang diberikan hormon gemuk ini seolah-olah ayam yang sakit dan mungkin mereka menghadapi masalah sendi dan ini dapat dibuktikan dengan mudah apabila pembaca sendiri melihat ayam ini di dalam sangkar sebelum disembelih.
Alhamdulillah selepas menghentikan pengambilan ayam KFC dan ayam daging dari pasar dan menggantikannya dengan ayam kampung, anak lelaki saya semakin bertambah kurang gemuk dan kini anak ini sedang menuntut di tingkatan 2 (14 tahun). Penampilan dirinya kini hampir menyamai kanak-kanak lain. Mudah-mudahan dalam setahun dua ini, beliau dapat menghilangkan kesemua ciri tinggalan kegemukan akibat memakan ayam KFC dan ayam daging.
Rumusan yang saya dapat simpulkan dari cerita kali ini ialah: PENGAMBILAN AYAM DAGING SECARA KERAP MENJADIKAN PEMAKANNYA GEMUK MACAM AYAM DAGING TERSEBUT!!
Apabila ilmu semakin mantap dalam diri saya, saya mula menilai ilmu ini dengan mengkaji secara tidak rasmi ke atas pelajar saya yang gemuk. Alhamdulillah memang pelajar-pelajar yang gemuk ini ada hubung kait dengan tabiaat gemar memakan ayam.
Ilmu ini kemudian saya praktikkan kepada saudara mara. Seorang anak saudara sebelah isteri tersangat gemar makan ayam sehingga setiap hari waktu makan tengah hari dan makan malam hanya akan makan ayam. Ketika usianya 26 tahun, berat badannya sudah melebihi 125 kilo. Satu perkara yang perlu diberi perhatian di sini ialah bahawa sekiranya seseorang gemuk kerana permakanan berlebihan tanpa makan ayam yang kerap, badan orang ini walaupun gemuk tetapi pejal. Gemuk kerana gemar makan ayam ini badannya tidak pejal dan menggelibir. Anak saudara saya ini kini sudah semakin gemuk dan mungkin sudah menjangkau 160 kilo atau lebih. Walau pun usia awal 30an, gaya berjalannya sudah seperti gaya berjalan orang tua 80an yang uzur. Saya sudah lama memberitahu beliau agar memberhentikan tabiat memakan ayam daging namun susah memberhentikan tabiat ini apabila sudah diamalkan puluhan tahun.
Isteri saya mempunyai 10 orang adik beradik yang semuanya sudah berkahwin. Dari pengalaman memerhatikan keluarga-keluarga ini, saya dapati 5 keluarga menghadapi masalah kegemukan akibat tabiat gemar memakan ayam daging. Apa yang perlu di ingat dari cerita saya di atas ialah, ayam yang diberikan hormon gemuk seumpama mengalami sakit sendi menyebabkan ayam-ayam ini sukar bergerak. Pemerhatian saya ke atas sampel-sampel saudara mara yang gemuk ini mendapati mereka juga ada masalah untuk bergerak terutamanya di sendi kaki dan kesemua ini menepati nasihat arwah guru saya iaitu memakan ayam daging menyebabkan kegemukan dan menyebabkan masalah sendi termasuk gout dan artritis.
Kepada yang tidak ingin gemuk, kurangkanlah memakan ayam daging (kulit putih dan berminyak) dan gantikan dengan ayam kampung atau bukan kampung (kulit kekuningan dan kurang berminyak). Itulah penjelasan wajar bagi menerangkan mengapa sewaktu saya kecil sehingga sekolah menengah dahulu sukar untuk mencari orang gemuk kerana pada zaman ini amat jarang orang membeli ayam daging dari pasar. Ayah saya sejak muda hingga umur lebih 70 tahun tidak makan ayam dan badannya tidak gemuk dan jarang sakit sendi kaki. Setelah ayah saya berkahwin lagi selepas arwah emak meninggal, ayah saya sudah gemar makan ayam daging dan kini beliau mengadu selalu sakit sendi kaki.
Selain dari ayam daging, untuk mengelakkan kegemukan:
1. Jangan makan terlalu banyak. Ikut sunah Nabi, berhenti sebelum kenyang.
2. Elakkan makan “in between meal”
3. Makan 3 kali sahaja iaitu pagi, tengahari dan malam
4. Makan malam dalam kuantiti sedikit kerana hendak tidur bukan hendak buat kerja. (Jangan “skip dinner”)
5. Elakkan makan kulit ayam, lemak ayam dan daging, hanya makan dagingnya sahaja
6. Kurangkan makan makanan berminyak
7. Elakkan makan produk dari margerin termasuk kek dan krim pada biskut 8. Elakkan makan produk dari krimer termasuk coffee mate dan susu pekat manis
9. Elakkan minum minuman manis selepas makan nasi (dalam tempuh 40 minit)
10. Elakkan makanan segera termasuk KFC, burger, sosej, naget dan sebagainya
11. Membanyakkan makan nasi dan sayur lebih baik dari membanyakkan makan lauk.
Sekian semoga pembaca Laman Emjay sekelian sentiasa dilimpahi Allah rahmat dan perlindungan.
Wassalam wallahualam
Emjay
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment