ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
28 June, 2007
Sebab berlaku syirik di muka bumi
Posted on Thursday, June 28 @ 07:23:26 MYT by SongkokPutih
Oleh abuanas
"Kata Abdullah Ibnu Abbas: ”Jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh A.S ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas nabi Adam ialah nabi Nuh A.S”. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir: 1/237].Punca kekufuran mereka ialah kerana terlalu memuja orang yang soleh dikalangan mereka (al-ghulu fi hubbi as-solihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini.
SEBAB BERLAKUNYA SYIRIK DI MUKA BUMI
Oleh: Abu Anas Madani
www.abuanasmadani.com
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah SAW serta keluarga dan para sahabat baginda sekalian.
Firman Allah SWT yang bermaksud: {Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan diantara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.} [Al-Baqarah : 213].
Al-Hafiz Ibnu Kathir RH telah mengambil riwayat Ibnu Abbas R.A ketika menafsirkan ayat ini. Kata Abdullah Ibnu Abbas: ”Jarak di antara nabi Adam dan nabi Nuh A.S ialah sepuluh kurun. Semua manusia pada waktu itu berpegang dengan Syariah yang hak, kemudian mereka berselisih kerana masalah yang dipegang mengikut pendapat masing-masing. Maka Allah mengutuskan para nabi sebagai mubassyirin (pemberi khabar gembira) dan munzirin (pemberi peringatan). Rasul yang pertama diutuskan selepas nabi Adam ialah nabi Nuh A.S”. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir: 1/237].
Punca kekufuran mereka ialah kerana terlalu memuja orang yang soleh dikalangan mereka (al-ghulu fi hubbi as-solihin) dan inilah permulaan berlakunya syirik di atas muka bumi ini. Sebagaimana maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran:{Dan mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa', yaghuts, ya'uq dan nasra" (nama-nama berhala)}. [Nuh: 23].
Imam Bukhari RH meriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A katanya: ”Lima berhala tersebut, wadd, suwa', yaghuts, ya'uq dan Nasra) ialah nama orang-orang yang soleh di kalangan kaum nabi Nuh A.S. Apabila mereka meninggal dunia, syaitan mengajar (memujuk) kaumnya agar mereka membuat patung-patung yang menyerupai orang soleh tadi, kemudian diletakkan dimajlis tempat yang mereka biasa duduk semasa hayatnya dan meletakkan nama patung itu seperti nama tuan asalnya.
Maka pengikut orang soleh itu melaksanakan ajaran syaitan tersebut. Apabila golongan yang membuat patung tadi telah meninggal dunia dan datang pula generasi lain yang tidak mengetahui asal-usul kejadian patung tersebut, lalu mereka pun turut ikut menyembahnya.Imam Ibnu Kathir juga menyebut kisah ini sedemikian. Riwayat lain ada menceritakan tujuan para pengikut itu mengukir patung pada awalnya kerana mereka takut pegangan agama mereka menjadi lemah, lalu mereka mengukir patung-patung syeikh tersebut untuk mengingati kembali ajaran dan amalannya.
Apabila mereka melihat patung syeikh mereka, akan bertambah kuat semangat untuk beribadat. Pada peringkat awalnya mereka tidak menyembahnya, tetapi setelah berlalunya masa yang lama, mereka mula membesarkan dan menghormatinya dengan sepenuh hati mereka.
Waktu yang panjang berlalu, orang-orang alim dikalangan mereka telah meninggal dunia, maka syaitan mengajar lagi: ”Sesungguhnya orang-orang soleh sebelum kamu tidak mengukir patung-patung syeikh mereka kecuali untuk meminta syafaat (pertolongan) melaluinya kepada Allah.” Maka bermulalah sejarah penyembahan berhala, tuhan yang lain selain daripada Allah SWT.Lalu selepas itu Allah SWT mengutus nabi Nuh A.S untuk mengembalikan mereka kepada agama datuk mereka nabi Adam A.S. Semasa berlakunya taufan pada zaman nabi Nuh A.S, kesemua patung-patung yang disembah tersebut telah ditenggelamkan ke dalam perut bumi.
Mereka yang diselamatkan Allah SWT dari taufan tersebut, meneruskan hidup di atas muka bumi dengan agama yang benar selama beberapa waktu.Manakala orang yang mula-mula mengubah perjalanan agama yang diajar oleh nabi Ibrahim A.S ialah Amru bin Luhai, iaitu ketua golongan suku Khuza’ah. Beliau adalah seorang tukang nujum yang bersahabat dengan jin. Melalui petunjuk dari jin itu, beliau telah mengeluarkan berhala-berhala yang tersembunyi di dalam tanah di Jeddah.
Kemudian beliau menyeru bangsa Arab pada musim haji supaya menyembah berhala dan meninggalkan ajaran nabi Ibrahim A.S. Maksud sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: ((Aku melihat Amru bin Amir bin Luhai al-Khuza’i menarik isi perutnya di dalam neraka)) [HR Muslim].
Ini kerana dialah orang yang mula-mula merubah perjalanan agama nabi Ismail A.S dengan penyembahan berhala. Demikianlah bahayanya apabila berlaku pemujaan di dalam masyarakat samada memuja harta benda, pangkat dan sebagainya. Begitu juga dengan perbuatan memuja pemimpin lebih daripada yang sepatutnya. Perkara tersebut akhirnya akan membawa kemusnahan dan bala bencana kepada umat dan masyarakat sebagaimana yang berlaku ke atas kaum nabi Nuh A.S dahulu.Allah SWT telah memberi amaran kepada ahli kitab dengan firman-Nya yang bermaksud: {Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu (dengan membesarkan nabi Isa sehingga mereka menganggapnya sebagai anak tuhan). Dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al-Masih, Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh daripada-Nya.} [An-Nisa’: 171].
Kerana itu jugalah Rasulullah SAW bersabda memberi amaran kepada umatnya, sebagimana riwayat Sayyidina Umar Al-Khattab R.A, maksudnya: ((Janganlah kamu terlalu memujaku (sehingga melampaui had sebagai seorang nabi dan rasul kepada darjat ketuhanan dengan mengetahui perkara ghaib dan sebagainya) sebagaimana kaum Nasrani memuja nabi Isa bin Maryam. Sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya. )) HR Bukhari dan Muslim].
Demikanlah amaran dan tegahan Rasulullah SAW akan perbuatan memuja dan memuji manusia lebih daripada sepatutnya dengan membuat pelbagai gelaran dan anggapan. Ini akhirnya boleh merosakkan diri orang yang dipuja puji itu sendiri.Marilah kita sama-sama merenung kembali kepada perjalanan dan landasan yang kita lalui di dalam urusan agama kita (i’tikad). Semoga semua amalan yang kita lakukan akan diterima oleh Allah SWT.
Akhirnya sama-samalah kita perhatikan kepada firman Allah SWT yang menggariskan apakah bentuk ajaran atau dakwah yang dibawa oleh semua nabi-nabi dan rasul-rasul A.S, melalui firman-Nya yang bermaksud: {Dan sungguhnya kami telah mengutuskan Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu".} [An-Nahl: 36].
Perkataan thaghut membawa banyak erti dan maksudnya sebagaimana yang dihuraikan oleh para ulama’ Islam; ialah umum untuk semua benda (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) yang disembah dan dipuja selain daripada Allah SWT. Di antara asas atau tonggak kepada taghut ialah:
1) Syaitan yang menyeru untuk beribadat kepada tuhan selain daripada Allah SWT.
2) Pemerintah yang zalim yang telah merubah hukuman yang diturunkan oleh Allah.
3) Golongan yang menjalankan hukuman perundangan selain daripada hukuman yang diturunkan oleh Allah SWT.
4) Orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan tersembunyi selain daripada Allah SWT.
5) Golongan yang disembah selain daripada Allah SWT (syaitan, manusia, jin, patung dan sebagainya) dan ia suka serta redha dengan perbuatan yang dilakukan terhadapnya itu.Inilah di antara tafsir atau makna ’taghut’ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut.
Demikianlah betapa pentingnya peranan rasul-rasul A.S untuk mengembalikan manusia supaya taat dan tunduk kepada Allah sahaja. Kita juga mestilah menolak semua jenis taghut kerana inilah syarat untuk menjadi seorang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul serta berada di atas landasan agama Islam yang diredhai Allah SWT.Firman Allah SWT yang bermaksud: {...sesiapa yang mengkufurkan (menentang dan menghancurkan) Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang dengan tali Allah yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.} [Al-Baqarah: 256]. Sekian.
Sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment