adsense

27 June, 2007

Bicara Altantuya



Razak hantar 2 lelaki ugut bunuh Altantuya
25-06-2007 08:58:23 PM

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Abdul Razak Abdullah Baginda, penganalisis politik yang dituduh bersubahat membunuh Altantuya Shaariibuu, telah menghantar dua lelaki untuk mencampak wanita Mongolia itu, serta dua yang lain, keluar dari tingkap dan membunuh mereka.

Namiraa Gerelmaa, 23, dari Ulan Bator, Mongolia berkata beliau, Altantuya dan rakan mereka, Uuriintuya Gal Ochir, telah beberapa kali didatangi K. Suras Kumar, pembantu P. Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak, di hotel mereka menginap, untuk mengugut membunuh mereka.

"Setiap kunjungan Suras tidak pernah mesra. Setiap kali dia datang, dia kata Razak Baginda menghantarnya untuk membunuh kami. Itu tidak menyenangkan," kata Namiraa ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, semasa sesi pemeriksaan semula perbicaraan kes itu.

Namiraa: Suras datang ke bilik kami dua atau tiga kali pada Oktober 2006, bagi tempoh antara setengah jam dan lima jam. Pada satu malam, dia tidur di katil kami dari 5 pagi hingga 10 pagi. Kami berdiri, takut dan tidak tidur.
Manoj: Kenapa dia datang ke bilik kamu?
Namiraa: Setiap kali dia datang, dia beri tekanan kepada kami, mengancam untuk bunuh kami dan mencampak kami keluar tingkap.

Namiraa memberitahu mahkamah bahawa Balasubramaniam juga pernah sekali datang ke lobi hotel itu dan mengugut untuk mencampak mereka keluar dari tingkap bilik.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin: Awak dengar sendiri Bala mahu campak kamu dari tingkap?
Namiraa: Saya diberitahu oleh Altantuya. Ketika itu dia sedang menangis.

Berikutan kejadian itu Namiraa, sepupu kepada Altantuya, memberitahu mahkamah bahawa Altantuya dan Uuriintuya telah membuat laporan polis pada keesokannya berhubung ugutan dan ancaman oleh Balasubramaniam dan Suras Kumar terhadap mereka.

Namiraa: Ketiga-tiga kami berasa tertekan. Bala dan Suras sentiasa mengugut untuk mencampak kami keluar dari tingkap. Setiap malam Suras datang ke hotel kami antara 3 dan 4 pagi, mengetuk bilik kami. Bala dan Suras selalu kata Razak Baginda akan bunuh kami.

Namiraa: Pada paginya, Uuriintuya dan Altantuya pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Saya tahu dia amat tertekan.

Dalam keterangannya lagi, Namiraa menafikan Suras Kumar menjalin hubungan rapat dengan seorang daripada mereka bertiga, seperti yang dicadangkan sebelum ini oleh Wong Kian Kheong, peguam yang mewakili Abdul Razak.

Ketika ditanya oleh Wong dalam sesi soal balas, wanita Mongolia itu berkata kejadian mereka diugut oleh Balasubramaniam dan Suras Kumar itu bermula empat hari selepas kedatangan mereka ke Malaysia pada 8 Okt 2006.

Namiraa: Untuk tiga atau empat hari, Suras mengetuk bilik kami, jadi kami beritahu pengurus hotel.
Wong: Apabila Suras dan Bala mengancam untuk mencampak kamu dari tingkap, adakah kamu membuat laporan polis?
Namiraa: Tidak.
Wong: Selepas berapa hari agaknya mendiang Altantuya hilang setelah dia buat laporan polis?
Namiraa: Dia buat laporan terhadap Suras dan Bala pada sebelah petang 19 Okt 2006.

Wong: Walaupun dengan adanya ancaman dan laporan polis dibuat oleh mendiang Altantuya, kamu masih pergi ke rumah tertuduh ketiga (Abdul Razak) dengan teksi pada petang 19 Okt 2006?
Namiraa : Ya.
Wong: Setelah ketiga-tiga kamu pulang ke hotel, kamu kata Altantuya mahu pergi seorang diri ke rumah tertuduh ketiga. Adakah kamu bertanya kenapa dia berkeras hendak pergi setelah beberapa kali gagal menemui tertuduh ketiga?
Namiraa: Uuriintuya yang tanya.

Wong: Dengan mengambil kira ancaman dan laporan yang dibuat, tidakkah kamu bimbang keselamatan Altantuya apabila dia pergi seorang diri ke rumah tertuduh ketiga?
Namiraa: Ya, saya amat bimbang.
Wong: Walapun kamu bimbang, kamu masih benarkan Altantuya pergi seorang diri untuk berjumpa tertuduh ketiga.
Namiraa: Ya.
Wong: Saya katakan kepada kamu bahawa tertuduh ketiga tidak pernah mengancam kamu bertiga.
Namiraa: Dia memang ugut. Dia hantar orang.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa Abdul Razak tidak pernah menghantar kedua-dua lelaki terbabit untuk mengugut mereka bertiga.

Dalam sesi soal balas itu lagi, Namiraa berkata beliau tidak pernah meminta wang mahupun tiket penerbangan balik ke Mongolia daripada Abdul Razak, malah beliau juga tidak mengetahui Altantuya ada meminta wang daripada tertuduh itu.

Dalam prosiding pagi ini, Namiraa turut diasak soalan oleh Wong mengenai tujuan kedatangannya ke Malaysia pada 8 Okt 2006.

Wong: Jumaat lepas (semasa memberi keterangan), kamu berkata kamu dan Uuriintuya datang ke Malaysia untuk mengikuti satu kursus?
Namiraa: Bukan untuk belajar tetapi untuk bertanyakan mengenai kursus bahasa Inggeris yang terdapat di Malaysia.
Wong: Adakah kamu bersetuju bahawa kamu boleh mendapat tahu mengenai kursus ini di Mongolia sendiri? Menerusi Internet?
Namiraa: Tidak setuju.

Wong: Kamu pergi tak ke mana-mana universiti atau kolej yang menawarkan kursus bahasa Inggeris?
Namiraa: Tidak, saya hanya telefon.
Wong: Universiti atau kolej mana?
Namiraa: HELP Study Centre.

Namiraa tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela itu bahawa beliau boleh menghubungi institusi itu terus dari Mongolia tanpa perlu datang ke Malaysia kerana beliau tidak fasih dalam bahasa Inggeris (untuk menghubungi HELP).

Saksi itu juga tidak bersetuju bahawa beliau berbohong mengenai tujuan kedatangannya ke Malaysia, dan semasa sesi pemeriksaan semula, beliau menegaskan kedatangannya adalah untuk melawat Malaysia dan meninjau kursus bahasa yang boleh dipelajari di negara ini, dan bukan untuk mengugut sesiapa.

Namiraa, ketika disoal peguam bela Hazman Abdullah yang mewakili tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri, memberitahu mahkamah bahawa beliau mengikuti berita kematian Altantuya melalui televisyen pada 27 Nov 2006 setelah pulang Mongolia.

Namiraa: Berita itu menyebut bahawa seorang wanita Mongolia dibunuh dengan kejam di Malaysia, ditembak dua kali dan diletupkan. Ada klip video mengenai mendiang, tempat berlaku kejadian, dan Razak Baginda, sebagai orang yang didakwa membunuh.

Saksi itu juga berkata bahawa beberapa hari selepas melaporkan kehilangan Altantuya di balai polis pada 20 Okt 2006, beliau telah memberi kenyataan kepada pihak polis yang direkodkan oleh Sarjan Hussain Abu Bakar.

Namiraa selesai memberi keterangannya hari ini. Perbicaraan disambung sebelah petang dengan saksi baru.

Azilah, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam, antara 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt tahun lepas.

Abdul Razak, 46, pula dituduh bersuhabat dengan mereka. BERNAMA

Berita berkaitan:
Altantuya pakai cincin mahal, jam berjenama
Sepupu Altantuya terkejut laporan polis bercanggah
Uurintuya: Kami diminta balik ke Mongolia

Bapa Altantuya diganggu isteri Razak (22 Jun)
Bapa menangis melihat foto Altantuya (22 Jun)
Sepupu jelas saat-saat Altantuya hilang (22 Jun)
Sepupu Altantuya nafi isi laporan polis (22 Jun)


No comments:

Blog Widget by LinkWithin