"Beli nombor ekor tak kena, Tok Guru ubah nasib saya"
Azamin Amin & M Khaleel Kas Wed | Jun 27, 07 | 06:47:42 AM | |
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Hrkh) - Awas! Bagi umat Islam di negara ini, dakyah untuk menyesatkan sudah sampai di rumah anda melalui peti surat anda. Berhati-hatilah, apabila membuka mel atau peti surat anda setiap hati. Bukan bom yang menanti! Bukan senjata larangan yang dihantarkan. Tetapi jauh lebih hebat dari itu, dakyah risalah sesat yang begitu halus dipergunakan oleh pihak tertentu untuk umat Islam di negara ini. Tidak cukup dengan pelbagai gejala yang melanda, kini musuh-musuh Islam dilihat cuba menggunakan pendekatan tertentu yang lebih halus untuk meracuni umat Islam di negara ini. Petikan tajuk di atas adalah antara ayat yang dipergunakan dalam sebuah risalah yang disampaikan kepada meja petugas Harakahdaily semalam. Dengan kata-kata yang meyakinkan, melalui ayat penarik daripada kata-kata seorang lelaki berbangsa Melayu tentang betapa kagumnya dengan kehebatan Tok Guru yang telah berjaya mengubah nasibnya yang malang selama ini khususnya kegagalan memenangi keputusan nombor ekor. Tok Guru yang dimaksudkan oleh lelaki yang dikenali sebagai Mohd Ismail ialah seorang Sami Buddha di Arau, Perlis daripada Kuil Pakkathalung! Demikian antara petikan dan iklan sehelai risalah yang memancing sesiapa sahaja untuk menggunakan khidmat tok guru sami ini khususnya untuk mendapat keputusan nombor ekor yang tepat...kononnya! Mendukacitakan risalah ini menggunakan dua testimoni 'kejayaan' pelanggan berbangsa Melayu (pastinya Islam) yang telah menggunakan nasihat dan kaedah yang diperturunkan. Tidak ada perasaan malu bahawa sikap mereka ini mengaibkan keperibadian dan akhlak sebagai seorang Islam malah boleh berbangga dengan tindakan mereka biarpun secara terang-terangan melanggari batas agama seiring memuatkan wajah sebagai bukti yang mereka ini boleh dipercayai. Dipercayai risalah-risalah ini disebarkan secara meluas melalui peti surat rumah kediaman dan risalah tidak beradab ini ditemui oleh seorang penduduk prihatin daripada Jasin, Melaka dan menyampaikan kepada Harakahdaily.net untuk diketengah sebagai satu isu yang semakin membarah dan jika tidak dicantas, wabak penyakit merosak pemikiran umat Islam ini akan bebas tanpa sebarang sekatan dan tindakan. Selain di Jasin, beberapa penduduk sekitar Selangor dan juga Kuala Lumpur juga mengakui wujud fenomena risalah-risalah yang dikirimkan secara berkala di peti-peti surat kediaman para penduduk. Saranan orang ramai khususnya yang beragama Islam agar satu mekanisme dibentuk bagi membendung perbuatan tidak bertanggunjawab ini termasuk mencegah supaya ianya tidak mempengaruhi dan menggalakkan orang ramai menceburi bidang perjudian secara tidak langsung di samping menggunakan pula khidmat tok guru untuk tujuan 'maksiat' yang dianggap bertentangan dengan akidah umat Islam. Selain itu, sudah sampai masanya, pihak berkuasa menguatkuasakan larangan melalui Pos Malaysia dalam menangani isu sebegini. Seandainya, wujud peraturan pengiriman barangan dan bahan-bahan tertentu melalui mel sebagaimana yang dilakukan kini, sudah pihak berkuasa dengan kepakaran yang ada mampu untuk mengesan bahan yang menyesatkan daripada sampai ke tangan pengguna. - mks. |
No comments:
Post a Comment