adsense

04 June, 2007

Isu Hangat: Pagi Naik Petang Turun



JOM
JOHOR BAHRU: Segelintir pengusaha restoran mamak di bandar raya ini dikesan menggunakan taktik licik untuk mengaut keuntungan secara halus dengan mengenakan harga makanan dan minuman berbeza mengikut waktu kepada pelanggan.

Tanpa mempamerkan tanda harga, restoran mamak yang beroperasi di pusat bandar itu dikatakan mengenakan harga yang tinggi ke atas makanan dan minuman mereka pada waktu pagi tetapi kembali kepada harga asal selepas jam 2 petang.


Taktik pengusaha restoran itu terbongkar hasil maklumat pembaca setia Harian Metro yang memberitahu dia terperanjat apabila mendapati harga segelas Milo ais yang diminum ketika bersarapan pagi di restoran berkenaan semalam berharga RM2.20.
Mohd Din Mohd Ali, 58, seorang pesara kerajaan berkata, dia terkejut apabila pekerja restoran itu memberitahu harga segelas Milo ais yang diminumnya berharga setinggi itu ketika ingin menjelaskan bayaran.
“Mahal, memang terlalu mahal, saya tidak tahu Milo apa yang digunakan restoran itu sehingga mengenakan harga yang tinggi berbanding sebelum ini.
“Berdasarkan harga di restoran mamak lain yang pernah saya pergi, harga minuman itu biasanya antara RM1.50 dan RM1.60 segelas,” katanya ketika ditemui, semalam.
Susulan daripada pendedahan yang diterima dari lelaki itu, wartawan Harian Metro ke restoran yang dimaksudkan itu untuk mendapatkan kepastian dengan memesan minuman yang sama kira-kira jam 2 petang semalam.
Tinjauan mendapati restoran mamak yang terletak di lokasi tumpuan orang ramai di pusat bandar itu tidak mempunyai papan tanda harga seperti yang diwajibkan oleh pihak berkuasa.
Harga bagi segelas Milo ais, Milo dan teh tarik yang dipesan wartawan Harian Metro ketika berada di restoran itu ialah RM4.20 sekali gus menunjukkan harga yang dikenakan bagi setiap minuman itu adalah di paras harga munasabah.
Bagaimanapun ketika ditanya kepada pekerja restoran terbabit sama ada mereka mengeluarkan resit bayaran, katanya, resit hanya akan diberikan kepada pelanggan atas permintaan.
Tetapi berdasarkan catatan pada resit itu hanya tertera jumlah yang dibayar pelanggan tanpa menyatakan harga bagi setiap menu yang dipesan.
Sementara itu, tinjauan di Johor Bahru mendapati kebanyakan pengusaha restoran mamak akur dengan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk tidak menaikkan harga makanan dan minuman ekoran kenaikan harga tepung dan gaji kakitangan kerajaan yang diumumkan baru-baru ini.
Antaranya Restoran Hamid Corner yang beroperasi di Taman Tampoi Indah yang mana menurut Pengurusnya, C Tana tiada kenaikan harga dilakukan terhadap makanan dan minuman yang dijual.
Katanya, pihaknya akur dengan arahan kerajaan yang tidak mahu melihat peniaga mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga tepung di pasaran serta durian runtuh yang diterima kakitangan kerajaan.
“Kami tidak menaikkan harga sesuka hati kerana tahu pelanggan pasti akan merungut apabila mengetahui harga makanan dan minuman yang kami jual di sini mahal,” katanya ketika ditemui semalam.
Malah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Datuk K S Balakrishnan berpuas hati tindakan restoran itu ketika melakukan lawatan mengejut semalam.

DARI RADENJOWO

No comments:

Blog Widget by LinkWithin