Perang saudara di Palestin, di mana Presiden OIC?
Susunan: Wartawan klpos.com
PRESIDEN Palestin Mahmoud Abbas mengisytiharkan keadaan darurat di negaranya, sekali gus membubarkan Kerajaan Perpaduan. Apakah langkah tersebut akan mencetuskan perang saudara pada skala yang mengerikan antara Hamas dan Fatah? Apakah impian Palestin untuk mendirikan sebuah negara yang bersepadu dan berdaulat kini hancur?
Pejuang Hamas menunjukkan kepada dunia kemampuan mereka mengalahkan kumpulan Fatah bila ia menawan kuasa penuh Genting Gaza. Di sana-sini, askar Hamas kelihatan menaikkan bendera hijau Islam di atas bangunan Fatah. Pertempuran sengit yang berlanjutan semenjak hampir seminggu lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 113 nyawa. Krisis berdarah di bumi Palestin menjerumuskan lagi negara Arab itu ke tahap situasi yang sukar untuk dikawal ketika ini.
Oleh itu, Abbas, yang dirinya sendiri menganggotai kumpulan Fatah, tidak mempunyai banyak pilihan, tetapi untuk mengisytiharkan keadaan darurat dan memecat pemerintah campurannya.
Awal tahun ini, kedua-dua puak Hamas dan Fatah telah bersetuju untuk berkongsi kuasa dan membentuk sebuah pemerintah bersatu. Malangnya, hubungan mereka tidak berpanjangan. Apakah kesan dan implikasi kemenangan Hamas di Genting Gaza bagi penduduk Palestin?
Negara Palestin terpecah dua
Menurut ketua Persatuan Indonesia bagi Timur Tengah Smith Alhadar, persoalan sekarang ialah, bagaimana kehidupan harian yang dijalani oleh rakyat Palestin di Gaza selepas ini, kerana Hamas tidak disukai oleh negara-negara Barat, Eropah, Amerika Syarikat dan sebahagian negara Arab sehingga walaupun mereka menang pertempuran dengan Fatah, tapi kesannya itu sangat buruk.
"Yang pertama, adalah kehidupan sosial ekonomi yang parah di Gaza. Yang kedua, hubungan antara Fatah dan Hamas itu akan memburuk dan ini tidak baik bagi kehidupan rakyat Palestin secara keseluruhan, kerana timbul ketegangan antara Hamas dan Fatah yang akan berakibat pada terhentinya aliran bantuan antarabangsa kepada rakyat Palestin di wilayah Gaza." kata beliau.
Kemenangan Hamas di Gaza, telah memecah belahkan negara Palestin kepada dua dengan Hamas menguasai Genting Gaza, dan Fatah pula mengekalkan kawalan di Tebing Barat. Presiden Mahmoud Abbas telah mengibaratkan penaklukan Hamas di Gaza ini sebagai satu rampasan kuasa tentera. Setelah membubarkan pemerintahnya, Abbas telah melantik sebuah kabinet darurat.
Mahmoud Abbas sulitkan keadaan
Sejauh mana tindakan ini akan dapat meredakan dan memperbaiki keadaan? Mengulas perkara tersebut, penganalisis politik Timur Tengah Universiti Malaya Profesor Mohamad Redzuan Othman, berkata tindakan Mahmoud Abbas mengisytiharkan bahawa kerajaan yang dibentuk ini dibubarkan dan pada waktu yang sama mengisytiharkan darurat, ia sebenarnya lebih menyulitkan keadaan.
"Sebab Mamoud Abbas tidak mempunyai mekanisme untuk menguatkuasakan pemerintahan darurat itu, kerana pada waktu ini, hampir keseluruh kawasan-kawasan strategik telahpun dikuasai oleh Hamas, kecuali dengan penglibatan Barat, ataupun penglibatan negara Yahudi, Israel, dan kalau ini berlaku, menjelaskan lagi bahawa Mahmoud Abbas adalah seorang yang diperalatkan oleh orang Yahudi, ataupun diperalatkan oleh Barat, ataupun diperalatkan oleh Israel."
Pembubaran pemerintah campuran Palestin membuka jalan bagi satu pilihanraya. Presiden Mahmoud Abbas telah mengatakan bahawa ia akan di adakan sejurus sahaja keadaan membenarkan. Dapatkah Hamas menerima satu pilihanraya baru, setelah kumpulan tersebut mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya Palestin awal tahun lalu? Secara realitinya, dapatkah pilihanraya yang disebutkan itu dilaksanakan?
Tiada pilihanraya dalam tempoh terdekat
"Sudah tentu kalau pilihanraya akan di adakan, ia memerlukan suasana yang tenang, dan dengan keadaan kacau bilau, keadaan tidak stabil, keadaan yang tidak menentu ini, sukar untuk mengadakan pilihanraya, dan kalau pilihanraya di adakan, itu sudah tentu dianggap sebagai satu komplot secara tersembunyi yang dilakukan oleh Mahmoud Abbas untuk menafikan kemenangan yang pernah dicapai oleh Hamas.
"Dalam konteks ini, saya melihat bahawa pilihanraya yang disebut oleh Mahmoud Abbas itu tidak mungkin dapat dilaksanakan, kerana pada waktu ini Tebing Barat masih lagi di bawah penguasaan Israel, manakala Gaza di bawah penguasaan Hamas. Bagaimana mungkin pilihanraya dapat di adakan dengan keadaan tidak ada kebebasan dan tidak ada keamanan yang berlaku?�
Namun, jika pilihanraya baru di adakan, Smith Alhadar berpendapat bahawa kedua-dua Hamas dan Fatah harus duduk berunding sebelumnya untuk mencapai persetujuan mengenai keputusan pilihanraya itu :
�Pertama-tama, mereka harus duduk berunding dulu untuk mencapai satu persetujuan di mana semua pihak akan menghormati pihak yang menang dalam pemilu sehingga siapa pun yang keluar sebagai pemenang akan dihormati oleh rakyat Palestin itu sendiri. Rekonsiliasi kedua pihak penting sekali untuk dilakukan dan mereka harus menyedari bahawa jika mereka terus berseteru, terus bertikai, maka yang hancur adalah rakyat Palestin itu sendiri."
"Mudah-mudahan mereka menyedari hal ini dan kembali dengan kepada dingin untuk meneruskan satu perjuangan bersama menghadapi Israel sehingga cita-cita mereka untuk mendirikan satu pemerintahan baru yang merdeka, berdaulat di tanah Palestin bisa diwujudkan.�
Masa depan bagi rakyat Palestin menjadi semakin malap ekoran dari konflik antara Hamas dan Fatah yang hingga kini tidak ada penghujungnya. Impian mereka untuk memiliki sebuah negara sendiri, nampaknya belum lagi kesampaian, selagi gajah berjuang sama gajah, pelanduk tentu akan mati di tengah-tengah. Kutipan bebas dari RSI/Reuters/Al Jazeera
No comments:
Post a Comment