adsense

03 August, 2007

Gila, bila pemandu Transnasional tak tahu masuk 'gear'



Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Aug 01, 07 | 07:55:23 AM


MUJURLAH aku bukan seorang yang pemarah untuk menjerkah orang yang lebih tua dari aku.

Tidak seperti salah seorang penumpang yang berkaca mata dan bertopi serta lagak seperti seorang pegawai polis cawangan khas yang menjerkah pemandu bas ekspres Transnasional kerana kegagalan pemandu itu sejak dari awal bas bergerak meninggalkan Terminal One Seremban.

Aku menaiki bas tersebut setiap hari untuk ke Kuala Lumpur, macam biasalah untuk bekerja, tanpa rasa muak atau jemu akulah antara penumpang yang setia dengan khidmat bas Seremban-Kuala Lumpur.

Seperti biasa jam 6.30 pagi aku akan terpacak di Terminal One, beratur untuk mendapatkan bas, biasanya hampir satu jam barulah punggungku mencecah kerusi empuk bas ekspres Transnasional yang rata-ratanya berusia lebih lima tahun.

Kalau ada pun yang baru hanya dua tiga buah sahaja, yang lainnya sudah mula mengeluarkan pelbagai bunyi yang tidak menyenangkan, bergetar di sana dan bergetar di sini.

Apa pun aku tak mahu mengkisahkan soal bas tersebut kerana ia bukanlah urusan aku untuk aku detailkan dalam catatan tak berpenghujung ini.

Apa yang ingin aku khabarkan kepada semua pelayar alam bacaan cyber ini adalah kisah kebimbangan aku akibat tindakan pihak pengurusan bas Transnasional yang membenarkan pemandu yang tidak tahu masuk 'gear' sekali pun untuk memandu membawa 44 nyawa manusia pada 31 Julai (semalam).

ImageIni kali partama aku dan seluruh penumpang bas Transnasional jam 7.30 melihat pemandu yang rambutnya dipenuhi uban putih dan memakai baju t-shirt biasa (tidak seperti pemandu lain yang memakai seragam transnaional) ditugaskan mengangkut nyawa 44 penumpang yang rata-ratanya warga Seremban yang bekerja di Kuala Lumpur.

Hati aku mula berdebar sekilas pandang kepada raut wajah pemandu yang tidak pernah aku lihat sebelum ini, namun aku yakinkan hati untuk melihat wibawanya memandu kerana jika tidak melihat 'performance' seseorang tentunya kita tidak boleh mengukur kebolehannya.

Lagipun bukan calang-calang bas yang dibawanya, bas Transnasional yang sudah terkenal menjadi nadi pengangkutan kepada warga Seremban yang bekerja di Kuala Lumpur, seperti aku.

Tiba-tiba pandangan aku beralih arah kepada telefon bimbit aku yang berdering.Alamak panggilan dari Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamarudin Jaffar..Emmm aku dah mengagak Dato' seperti biasa akan memberi kenyataannya kepada aku untuk dimuatkan dalam Harakahdaily.

Aku mula mendengar kenyataannya itu berhubung kritikannya terhadap sikap biadap Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin menyamakan bloggers dan webmaster dengan 'monyet'.

selesai sahaja Dato' memberikan kenyataannya, bas itu yang sudah dipenuhi penumpang menanti untuk digerakkan.Malangnya ketika mula hendak digerakkan lagi, pemandu itu tidak mampu untuk memasukkan 'gear' satu bagi memulakan perjalanan.

Beberapa kali bas itu mengundur ke belakang kerana gear yang dimasukkan adalah gear 'reverse' (undur) hingga bas yang berada di belakang membunyikan hon dengan kuat.

Dua pemandu lain bas Transnasional bergegas naik bas tersebut cuba membantu pemandu baru itu untuk menjelaskan kedudukan 'gear' dan kaedah memasukkannya.

Namun setelah gear satu dimasukkan, bas itu mula bergerak perlahan meninggalkan terminal one dalam keadaan tersengguk-sengguk.

Perasaan takut mula menghantui aku, tetapi cuba kuyakinkan dengan beristighfar banyak-banyak.Maklumlah tak pernah mengalami keadaan sebegitu setelah sekian lama aku menggunakan khidmat Transnasional berulang alik dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Sekali-sekala sahaja aku menaiki bas Suasan Edaran yang lebih baru.Ini kerana kesukaran untuk mendapatkan bas tersebut yang laku macam pisang goreng panas.

Nak diceritakan, lamanya aku menjadi penumpang setia bas Transnasional ini tidaklah sehebat rakan-rakan lain yang rata-rata telah mencapai lebih 10 tahun berulang alik dengan menggunakan khidmat bas tersebut.

Aku hanya sekitar tiga tahun sahaja berulang alik dari Seremban ke KL untuk bekerja dan ketika belajar di Universiti Malaya (UM) sekitar tahun 1998-2002, aku juga sering menaiki bas ini lebih-lebih lagi ketika itu bas yang disediakan baru-baru belaka.

Berbalik kepada peristiwa 31 Julai 2007.Gementar dan berdebar tak terkata tatkala bas sejak dari mula bergerak dengan 'gear' satu itu tersengguk-sengguk dan terhenti di atas bukit Matahari berhampiran Sekolah Anglo Chienesse (ACS) di belakang Terminal One.

Apa yang peliknya, muka pemandu itu seperti tidak bersalah apabila ditegur oleh seorang rakan penumpang yang bingkas bangun meluru ke arah pemandu menjerkah dengan nada yang tinggi.

"Kau tahu ke tidak memandu ni, dari tadi (15 minit dari Terminal One ke ACS yang sepatutnya ambil masa 2 minit) asyik gear satu sahaja, kau tahu ke tidak masuk gear ni.Kalau macam ni tiga jam pun belum tentu sampai KL, kami ni nak kerja faham tak,"penumpang yang berkaca mata dan bertopi itu menegur.

"Saya baru sahaja nak bawa bas ini, tak tahu macam mana gearnya,"pemandu itu menjawab selamba.

Dari arah belakang bas, beberapa kenderaan yang mengikut dari belakang membunyikan hon dua tiga kali bertempik, dan ada yang memotong dengan menunjukkan 'sign' tertentu ke arah pemandu tanda marah dengan tindakan pemandu itu memberhentikan bas di tengah-tengah jalan yang berbukit.

Wah, senangnya dia menjawab, bagaikan nyawa kami ini tidak berharga dan mungkinkan baginya nyawa kami ini bernilai RM4.70 sen sama seperti nilai tiket bagi perjalanan sehala?

Jika benar dia seorang pemandu bas, masakan gear bas pun tak tahu corak penggunaanya? Mustahil! Pening aku memikirkannya.

Rakan di sebelah aku (seorang yang berbangsa Tiong Hua berumur lingkungan 55 tahun) tidak henti-henti mengeluh sambil memegang erat beg berwarna birunya.

Terpancar di wajahnya kebimbangan dengan kegagalan pemandu bas itu memasukkan 'gear'.Berkali-kali gear yang cuba dimasukkan akhirnya terarah kepada gear 'reverse'(undur) yang menjadikan bunyi gigi 'gear' bising.

Kreok...kreok'..., ah bunyi ini memang merunsingkan aku dan penumpang lain.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai jantung aku mula bergerak laju, memikirkan banyak kemungkinan jika pemandu yang sama meneruskan perjalanan itu ke kuala lumpur.

ImageBagaimana jika dia berhadapan dengan situasi kesesakan lalulintas di Jalan Sungai Besi menuju ke Jalan Tun Razak, apakah kami 44 penumpang akan berada dalam keadaan selamat atau kami akan mengalami nasib terbabit dengan kemalangan kerana kegagalan pemandu itu mengawal kenderaan dengan baik seperti pemandu lain.

Fikiran aku mula meronta memikirkan sesuatu, terbayang wajah anak-anak dan isteri yang segar menghiasi kamus hidupku, manalah tahu jika nasib tidak baik, aku menjadi mangsa 'Nahas Transnasional' kerana kegagalan pemandunya mengawal bas.

Tiba-tiba seorang rakan penumpang lain bangun mencadangkan kepada pemandu agar berpatah balik ke Terminal One bagi menukar pemandu yang benar-benar tahu memandu.

"Abang, pusing semulalah ke Terminal One, kami tak sanggup nak bas macam ni, apa cerita dengan nyawa kami,"katanya lembut.

Akibat desakan itu pemandu itu akhirnya akur, berpatah balik ke Terminal One dengan menggunakan 'gear' satu tersengguk-sengguk.

Lega rasanya hati aku bila sampi ke Terminal One, dan menukar bas yang lain dengan pemandu lain yang berbaju seragam Transnasional dan segak gayanya sebagai seorang pemandu.

Bas meluncur laju meninggalkan Terminal One, rakan di sebelah aku tak henti-henti bercerita dengan aku melahirkan rasa marahnya atas apa yang terjadi.

Aku hanya mendengar dan menjawab jika ditanya, bukan kerana aku tidak mahu melayan apa yang dicakapkan, tetapi kelopak mata aku terlalu berat untuk dibuka, mengantuk dan perasaan lega bercampur menyebabkan aku terus terlena.

Akhirnya aku tiba jam 9.00 pagi di Central Market dengan perasaan yang berbaur cemas memikirkan apa yang berlaku pagi tadi.Alhamdulillah aku tidaklah menjadi mangsa atau terbabit dengan kemalangan kerana kegagalan pemandu mengawal kenderaan dengan baik.

Dalam masa yang sama aku terbayang wajah-wajah enam anggota TUDM yang terkorban dalam nahas Nuri 13 Julai lalu.Mereka terkorban kerana menaiki Nuri yang mempunyai rekod pesawat yang amat mengecewakan.

Nasib baiklah Allah maha penyayang, pengasih lagi mengasihani hambanya, hari ini tidak menjadi 'permulaan' nahas Transnasional jika tidak nama aku akan terpahat sebagai salah seorang mangsanya yang mungkin akan tersiar dalam akhbar arus perdana.

Nasib aku tidak seperti enam anggota Nuri, walaupun nama mereka terpahat sebagai pejuang negara dan dilaporkan di dada-dada akhbar, tetapi keluarga mereka masih menangisi pemergian mereka.Aku seperti biasa akan pulang dengan ceria bertemu anak sulung dan bongsu serta isteri tercinta.

Catatan ini memang khas aku ukirkan buat pemandu itu kerana rasa marah aku tidak akan kuluahkan di hadapan orang ramai memandangkan aku juga diajar oleh ibu bapaku adab menjaga aib muka orang di hadapan khalayak. - mks.

Source

No comments:

Blog Widget by LinkWithin