Prof Madya Dr Musa Fathullah Harun
Wed | Aug 01, 07 | 05:29:06 PM
Di dalam surah Al-Nisa: 17-18, Allah SWT berfirman, maksudnya:
"Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini(sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang pedih".
Para mufassirin berkata: Setiap orang yang menderhaka kepada Allah dinamakan jahil, dan perbuatannya dinamakan kejahilan. Ini kerana, kalaulah orang yang menderhaka itu menggunakan ilmunya tentang ganjaran dan hukuman yang akan dihadapi, tentunya ia tidak akan berani melakukan ma'siat.
Tetapi kerana ia tidak menggunakan ilmunya tersebut, maka menjadilah ia seperti tidak berilmu. Atas pertimbangan inilah maka orang yang menderhaka kepada Tuhannya dinamakan jahil, sama ada ma'siat yang dilakukannya itu diketahui sebagai ma'siat atau pun tidak diketahuinya.
Ini kerana, ia mungkin mengetahui bahawa perbuatan yang dilakukannya itu adalah ma'siat, tetapi dari sudut lain, ia dikatakan jahil kerana tidak mengetahui kadar seksaan atau kadar kesakitan yang akan dideritanya kemudian.
Mengenai firmanNya SWT yang bermaksud, "Kemudian mereka bertaubat dalam masa dekat", mereka bersepakat bahawa yang dimaksudkan ialah sebelum hadirnya kematian, atau sebelum melihat kematian. Dengan kata-kata lain pintu taubat terbuka bagi manusia selama rohnya masih berada dalam jasadnya, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad daripada Abdullah Bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah menerima taubat hamba selama ia belum ghargharah(sakrat menjelang maut)".
Allah SWT menamakan masa tersebut sebagai masa yang dekat, kerana:
Pertama: Kematian itu pasti datang, dan semua yang datang adalah dekat.
Kedua: Untuk mengingatkan bahawa masa umur manusia, meskipun panjang, adalah pendek, yakni dekat.
Ketiga: Manusia setiap waktu, mempunyai perasaan kemungkinan didatangi maut, dan setiap yang demikian keadaannya disifati dengan dekat.
No comments:
Post a Comment