adsense

21 August, 2007

Nilai Kemerdekaan


Kedut muka seorang tua
itulah ayahku
yang punyai sejarahnya sendiri
disebalik mimpi kemerdekaan tanah air
yang bergelar tanah Melayu.

Dalam susah payahnya
ketika remaja makan ubi kayu rebus
dan pucuk ubi rebus menggalas perut
dengan tabah hati menjadi remaja terjajah
sesekali hatinya marah dan geram
dengan keadaan ketika itu.

Penduduk diugut komunis
dengan gertakan dan ancaman
ada ibu-ibu yang diseret ke hutan
jadi hamba seks
ada lelaki yang dipaksa menjadi tali barut
semata-mata demi perjuangan
yang kononnya membebaskan tanah air.

Hari ini kedut muka ayahku
dalam kepuasan sendiri
jiwanya tidak tersekasa lagi
oleh rentetan sejarah silam
gangguan komunis
penjejahan Jepun
semuanya meninggalkan kenangan.

Hari ini katanya kepadaku
anak-anak lahir pada tahun kemerdekaan
dan lahir selepas merdeka
dengan seribu kesenangan
dan lahir penuh belaian manja.

Namun kehidupan dalam aman ini
kata ayahku anak bangsa kita
tidak pernah merasakan kesusahan lampau
sebagai sempadan hidup
anak-anak hari tidak langsung mahu tahu
erti kemerdekaan sebenar
yang mereka tahu kemerdekaan itu
hanya berseronok di dataran merdeka
hingga lewat pagi tanpa sedikit pun doa
untuk memakmurkan negara kita
yang sudah merdeka sekian lama.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin