SUNGGUH heboh dan gamat dibuatnya apabila lagu 'Negara Ku' di ubahsuaikan kepada irama remix rap pula oleh seorang penuntut keturunan Cina Malaysia, Wee Meng Chee, 24.
Wee yang berasal dari Muar, Johor, dan sedang menuntut di tahun akhir jurusan Komunikasi Awam di University Ming Chuan, Taiwan menamakan ciptaannya itu 'Negara Kuku'.
Sebenarnya perkara ini bukan sesuatu yang baru. Sejak dulu lagi ada puak-puak artis kita yang ghairah sangat menyanyi lagu orang dengan ikut cara dan gaya sendiri sehingga menukar lagu ciptaan asal.
Memang patut dikutuk dan dikecam kerana mereka ini menjadi seperti 'penceroboh' hasil karya seni orang seperti yang dilakukan oleh Wee yang menganggap lagu Negara Ku itu dia seorang saja yang empunya dan boleh dibuat apa saja. Pada hal lagu itu lagu kebangsaan kita yang dinyanyikan oleh seluruh rakyat jelata. Lagu kepunyaan semua warga Malaysia.
Filem komedi P.Ramlee "Ali Baba Bujang Lapok", misalnya, banyak memberi makna yang tersirat di sebalik aksi dan gaya persembahan. Salah satunya ialah babak watak Ali Baba (Aziz Sattar) yang bertanyakan si Ketua Penyamun (P.Ramlee) tentang lagu yang dinyanyikan untuk membuka pintu gua seolah-olah dia betul-betul meminati akan lagu itu.
Ketua Penyamun itu dengan penuh senang hati lagi memberi senikata dan iramanya kepada Ali Baba yang menyamar sebagai reporter. Untuk melengkapkan lagunya, Ketua Penyamun itu memberitahu pula kepada Ali Baba tentang lagu yang dinyanyikan untuk menutup pintu gua itu.
Lihat betapa pentingnya sesuatu lagu dengan senikata yang lengkap dan sempurna. Bila ada "pembuka", mesti ada "penutup"nya. Jangan dibuat main-main atau ambil ringan tentang sesuatu lagu.
Apa tidaknya? Padahnya menimpa kepada Kassim Baba (S. Shamsudin) yang mementingkan diri, tamak haloba, tidak sabar dan terburu-buru.
Setelah mendapat tahu cara-cara membuka pintu gua, watak abang kepada Ali Baba ini tidak menghiraukan lagu untuk menutup pintu gua yang ingin diajarkan oleh Ali Baba.
Dek kerana panik setelah terkurung di dalam gua apabila Ketua Penyamun kembali ke tempat persembunyiannya itu, Kassim Baba hilang arah dan tidak dapat menyanyikan semula lagu "pembuka pintu gua" dengan betul dan sempurna
Itulah akibat dan padahnya menyanyi dengan tidak menepati lagu dendangan asalnya. Hingga pintu gua pun tidak dapat "recognise" atau mengenali akan lagu yang dinyanyikan oleh Kassim Baba yang merapu menyanyi lagu entah apa-apa.
Jika anda pernah menonton filem ini, anda tentu tahu nasib yang menimpa Kassim Baba seterusnya.
Jadi, "moral of the story" adalah jangan sekali-kali menyanyikan sesuatu lagu ikut sesuka hati atau merombak dan mengubahsuai sesuatu lagu itu sehingga merosakkan terus akan irama dan lagu itu sendiri.
Awang Dogoi
No comments:
Post a Comment