adsense

18 August, 2007

Peserta payung terjun tersangkut di pokok



ALOR STAR: Seramai 21 penerjun dari pelbagai negara melakukan penerjunan ekstrem "base jumping", sempena Terjunan Menara ke Menara, yang diadakan di Menara Alor Star di sini hari ini.


Mohd Shamsul berada di atas sebatang dahan selama 15 minit sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba. (foto Bernama)

Seorang penerjun tempatan Mohd Shamsul Mohd Amin yang merupakan penerjun kedua menarik perhatian para hadirin apabila beliau terpaksa berada di atas pokok selama hampir 15 minit apabila penerjunannya tidak dapat dikawal lalu tersangkut di atas pokok setinggi lima meter.

Mohd Shamsul berkata beliau tidak dapat mengawal payung terjunnya semasa penerjunan menyebabkan beliau tersangkut di atas pokok, sebelum diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat, tanpa sebarang kecederaan.

"Kejadian seperti ini sudah biasa berlaku bagi penerjun walaupun penerjunan base jumping ini adalah kali ke-14 untuk saya," katanya kepada pemberita selepas beliau dibawa turun daripada pokok tersebut.

Terjunan Menara ke Menara anjuran Menara Kuala Lumpur untuk kali keenam melibatkan terjunan dari enam menara yang berbeza di seluruh Malaysia iaitu Menara Pelita (Sarawak), Menara Tun Mustapha (Sabah), Menara Alor Star (Kedah), Menara Komtar (Pulau Pinang), Menara Kuala Lumpur dan Menara TM.

Di samping dapat menyaksikan penerjunan para penerjun tanpa henti di Menara Alor Star, pelbagai aktiviti lain diadakan pada hari ini dan esok termasuklah acara bola sepak jalanan, konsert mini, peraduan melukis serta mewarna kanak-kanak.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin