adsense

13 December, 2007

Antara demokrasi dan demonstrasi




" Demonstrasi adalah satu kaedah untuk menyampaikan mesej. Antara tujuannya adalah untuk menarik perhatian umum, selepas apa yang disuarakan selama ini tidak mendapat perhatian. Demonstrasi dianggap berjaya, bila ia menjadi perhatian, dan mesejnya difahami, lebih-lebih lagi jika apa yang disuarakan itu disokong masyarakat.


Yang berdemostrasi ialah rakyat. Kerajaan tidak perlu berdemostrasi sebab suara mereka adalah kuasa.

Apa yang kerajaan mahu, boleh dilaksanakan. Tetapi rakyat lain. Kadang-kadang suara rakyat diambil kira. Kadang-kadang diabaikan. Lantas rakyat mula bersuara. Melalui kenyataan media. Melalui memorandum. Atau kadang-kadang melalui YB-YB masing-masing. Tapi jika keperluan dan hasrat mereka tidak diendahkan, mereka mahu suara mereka didengari oleh lebih ramai pihak. Lalu berlakulah demonstrasi. Yang berdemonstrasi bukan sahaja orang politik, kumpulan pembeli-pembeli rumah terbengkalai pun pandai juga berdemostrasi. Ini lah sebahagian dari demokrasi.

Demokrasi itu adalah pemerintahan melaui suara rakyat. Abraham Linchon kata 'democracy is a rule of people, for people and by people'. Ikut teorinya, yang berdaulat itu rakyat. Rakyat berkuasa atas pemerintahan. Berkuasa mementukan kerajaan dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan.

Zaman Greek dulu, demokrasi dilakukan secara langsung. Rakyat diajak berhimpun untuk membuat keputusan. Hari ini, mustahil 26 juta rakyat Malaysia bermesyuarat untuk buat keputusan harian, bulanan atau tahunan. Jadi demokrasi hari ini berlaku melalui perwakilan. Rakyat memilih wakil rakyat dalam pilihanraya. Wakil rakyat melantik kerajaan. Kerajaan pula perlu memerintah dengan mengambil kira pandangan rakyat.


Maknanya pilihanraya sahaja belum jadi bukti demokrasi. Saddam Hussein juga buat pilihanraya. Dia sentiasa menang 98% ke atas. Memang lah dia akan menang sebab siapa yang lawan, maknanya mencari nahas.


Demokrasi berlaku masa pilihanraya, sebelum pilihanraya dan selepas pilihanraya. Demokrasi juga berlaku antara setiap pilihanraya. Demonstrasi adalah satu kaedah rakyat bersuara. Jadi, demonstrasi juga sebahagian dari demokrasi. Demonstrasi yang aman, terkawal dan punya mesej murni adalah satu simbol demokrasi. Sebagaimana pilihanraya itu simbol demokrasi, begitu lah juga demonstrasi.


Dalam sebulan ini kita dihidangkan dengan Himpunan 100,000 Bersih dan Himpunan Hindraf. Nampak negara seperlu kelam kabut. Juga tidak konsisten. Himpunan Bersih berlaku dahulu, tapi penganjurnya ditangkap selepas penganjur himpunan Hindraf ditangkap. Jika mereka yang berhimpun demi Hindraf dikaitkan kesalahan cubaan membunuh, penganjur Bersih pula didakwa atas kesalahan 'berhimpun tanpa permit'.

Kelam kabut berlaku sebab kerajaan gagal mengemukakan garis panduan perhimpunan aman. Hari ini kempen kerajaan seolah-olah semua perhimpunan atau demonstrasi adalah jahat, haram dan menyusahkan. Seolah-olahnya tiada sebarang permit akan diberikan untuk perhimpunan awam seperti itu. Yang peliknya kerajaan masih mendabik dada mengaku mengizinkan kebebasan berhimpun.


Bayangkan jika himpunan Bersih di Dataran Merdeka diberikan permit. Masing-masing datang bawa kawan dan keluarga. Berhimpun sambil mendengar ucapan pemimpin. Kemudian, berjalan ramai-ramai menuju Istana Negara. Bila memorandum selesai disampaikan, masing-masing pulang dengan selamat. Peniaga bukan sahaja tidak terganggu, bahkan rezeki mereka boleh berlipat kali ganda dengan kunjungan peserta perhimpunan yang ramai itu. Tak perlu membazir tenaga keselamatan yang terpaksa berlatih berbulan-bulan. Tak perlu trak FRU atau sekatan jalan raya. Tak payah membazir gas pemedih mata dan air kimia. Kalau kena gayanya, himpunan begini bukan sahaja aman, bahkan boleh menjadi pesta yang meriah bagi ibukota negara. Namun ini semua mimpi. Perhimpunan Bersih diganggu dan disabotaj oleh kerajaan.


Antara himpunan Bersih dan Hindraf tentu ada bezanya. Satu punya mesej hak menuntut keadilan dan kebebasan pilihanraya. Satu lagi menuntut hak berasaskan ras. Satu berjalan dengan aman. Satu lagi berjalan dengan ganas. (mungkin kerana gagal mengawal provokasi SB). Yang satu bertujuan untuk mengadap YDPA. Satu lagi menghantar memo kepada the Queen of England. Namun pihak berkuasa seolah-oleh memejam mata atas perbezaan ini. semua dipukul borong. Semua perhimpunan awam dikira ganas, jahat dan haram.


Selagi tiada garis panduan yang jelas, selagi permit perhimpunan tidak diberikan kepada yang layak, dan selagi kerajaan mengambil sikap pukul borong, selagi itulah konflik ini tak boleh dirungkai.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin