adsense

20 March, 2007

Isu Hangat : Saham Neraka



Harian Metro, Ahad, 18 Mac 2007

Ketepikan hukum agama untuk jadi OKB

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah untuk menjadi ‘orang kaya baru’ atau OKB, ada umat Islam di negara ini sanggup mengetepikan hukum agama dengan mengambil risiko melabur di dalam skim pulangan ekspres di internet.

Walaupun menyedari ia berbentuk skim cepat kaya dan pelaburan mereka berisiko berikutan hanya bersandarkan urusan di internet dan satu nombor telefon, habuan lumayan dijanjikan skim itu menjadikan mereka ‘kelabu mata’.

Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Penasihat Syariah sebuah institusi kewangan Islam antarabangsa di Malaysia, Zaharuddin Abdul Rahman, memberi amaran, pulangan yang diterima daripada skim di internet adalah haram.

Beliau yang juga penulis tamu untuk ruangan An-Nur di Metro Ahad berkata, selepas tiga minggu berturut-turut membicarakan mengenai pelaburan di internet di ruangan itu, banyak maklum balas diterima daripada orang ramai.

“Ramai menelefon dan menghantar e-mel untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Malah, saya diminta membentangkan kajian saya mengenai pelaburan di internet dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, 10 Mac lalu.

“Selain saya, seorang lagi yang juga bekas pelabur di dalam skim pelaburan internet turut membentangkan pengalamannya,” katanya.

Zaharuddin berkata, pada mesyuarat itu, jawatankuasa berkenaan memutuskan pelaburan di internet sebagai haram.

“Apabila saya maklumkan keputusan ini kepada mereka yang menelefon dan menghantar e-mel, ada yang terkejut dan menangis kerana selama ini menggunakan wang haram.

“Yang jelas, jangan kata makan minum atau membeli aset, wang berkenaan juga haram meskipun digunakan untuk membayar hutang, termasuk cukai.

“Ini kerana Majlis Fekah Sedunia memutuskan, wang yang difatwakan daripada hasil yang haram harus disedekahkan kepada badan kebajikan awam atau surau dan masjid selain golongan fakir,” katanya.

Bagaimanapun, Zaharuddin berkata, kajian ulama dan pakar ekonomi Islam mendapati, ada beberapa ciri di dalam pelaburan berkenaan yang jelas bertentangan dengan Islam, menyebabkan ia difatwakan sebagai haram.

“Yang jelas, ia tidak mempunyai Penasihat Syariah. Selain itu, banyak helah di dalam skim pelaburan berkenaan, sekali gus menimbulkan risiko besar kepada pelanggan, yang mana keadaan ini tidak dibenarkan di dalam Islam.

“Semua skim ini tidak ada kontrak atau perjanjian sempurna, sebaliknya hanya berurusan di internet tanpa butiran sebagai bukti, menyebabkan risiko untuk orang ramai tertipu adalah besar dan mudah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan beberapa skim menetapkan kadar faedah untuk tempoh tertentu juga bertentangan dengan hukum Islam kerana berkonsepkan riba.

Zaharuddin berkata, tiada jalan penyelesaian, selain umat Islam yang terjebak dengan skim berkenaan mengeluarkan semua wang mereka dan mengambil semula modal sebenar yang dilaburkan.

“Wang keuntungan pula perlu diserahkan untuk kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika diteliti, banyak skim pelaburan di internet mengamalkan konsep skim piramid.

Di dalam satu kenyataan, beliau berkata, ada skim meminta pesertanya menarik peserta lain untuk menyertainya dengan menawarkan insentif tinggi dengan lebih ramai berjaya ditarik, maka lebih tinggi insentif diperoleh.

“Persoalannya, peserta yang mengikuti skim ini tidak tahu di mana wang mereka sebenarnya dilaburkan. Apa sebenarnya berlaku ialah, wang pelabur ini dijadikan pusingan untuk membayar pelabur lain.

“Pada satu peringkat, wang berkenaan tidak lagi dijadikan sebagai pusingan sehingga menyebabkan pelabur tidak menerima insentif diharapkan,” katanya sambil menambah, tidak wujud undang-undang pada masa ini yang menjamin pelabur seperti ini mendapat semula wang mereka jika berlaku penyelewengan terhadap skim berkenaan.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin