adsense

15 June, 2007

Ann Wan Seng sebar dakwah menerusi perniagaan




MEMELUK Islam tanpa dirancang menyebabkan Ann Wan Seng tidak menukar nama asalnya, malah mendaftarkan Ann Abdullah sebagai nama Islam tetapi selesa dikenali dengan nama Cina sehingga kini.


Beliau merasakan tidak perlu menukar kepada nama lain kerana dengan mengekalkan nama Cina membuktikan beliau hanya menganut Islam tetapi masih mengekalkan keturunan Cina yang diwarisi daripada kedua ibu bapanya. Selain itu, ia juga membuktikan beliau tetap mengekalkan hubungan kekeluargaan walaupun selepas memeluk Islam.


Menceritakan pengalamannya dibuka hidayah Ilahi untuk menerima Islam, beliau sebenarnya mengenali, mempelajari, mengkaji dan menguasai Islam selama lebih 10 tahun sejak di sekolah menengah.


Segala-galanya bermula apabila beliau mengambil subjek Sejarah Islam ketika di Tingkatan Enam sebagai subjek wajib bagi pelajar jurusan sastera.


“Siapa sangka ia adalah titik mula yang membuka minat saya untuk lebih mengenali dan mendekati Islam, malah menjadi pelajar terbaik subjek terbabit. Dalam diam, saya mula mengkaji Islam lebih mendalam.


“Bagaimanapun, sering kali berlaku beberapa persoalan mengenai kemusykilan yang diajukan kepada rakan sekolah tidak dapat dijawab dengan baik oleh mereka. Keadaan itu mendorong saya mencari dan akhirnya menerima Islam,” katanya.


Menyedari minatnya terhadap Islam semakin mendalam, beliau mengambil keputusan menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam pengkajian berkenaan Gerakan Islam pada 1992 hingga 1996 di Universiti Malaya.


Dalam tempoh itu, hatinya tidak terbuka untuk menganut Islam kerana belum menemui apa yang benar-benar memberikan keyakinan untuk memulakan langkah pertama, ditambah dengan masalah ingin menjaga hati keluarga yang menentang keras hasrat ahli keluarga memeluk Islam.


“Sepuluh tahun saya belajar mengenai Islam secara senyap. Saya ambil kertas Sejarah Islam di Tingkatan Enam pun ibu bapa tidak tahu. Begitu juga ketika membuat kajian untuk pengajian sarjana, mereka tidak tahu.


“Maklumlah, masyarakat Cina memang memberi kebebasan kepada anak mereka memilih jalan hidup sendiri tetapi agak bertegas berkenaan agama. Tambahan pula, belum ada dalam sejarah keluarga saya yang memeluk Islam.


“Masyarakat Cina di negara ini beranggapan Islam hanya milik Melayu dan tanggapan itu menjadi penghalang. Berbeza dengan penerimaan mereka terhadap Buddha walaupun hakikatnya agama itu berasal dari India,” katanya.


Menceritakan langkah pertamanya memeluk Islam, peristiwa pada 1996 itu boleh dikatakan berlaku secara tidak disangka apabila hatinya tergerak menelefon rakannya di Perkim, Ustaz Shafie Patt. Apabila pertemuan diatur, beliau terus melafazkan syahadah yang sudah lama dihafalnya.


“Inilah yang dinamakan kuasa hidayah. Bayangkan selama 10 tahun saya mengenali dan mendekati Islam, saya tidak berasa apa-apa. Hanya selepas itu, pada satu pagi, hati saya terbuka untuk menerima Islam.


“Saya percaya, semua ini terjadi kerana saya dapat merasakan keindahan dan nikmat yang ada dalam Islam. Namun, halangan selepas itu masih ada kerana saya terpaksa merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.


“Saya tetap tinggal dengan mereka kerana pada peringkat awal menamatkan pengajian, saya belum mampu hidup sendiri. Selama tiga tahun saya terpaksa tinggal dengan mereka dan makan bersama mereka.


“Saya terpaksa makan dalam pinggan yang sama dihidangkan makanan tidak halal walau saya tidak memakannya. Ketika itu, hati ini meronta kerana terpaksa berdepan dengan semua keadaan itu,” katanya.


Ann berkata, mereka yang lahir sebagai umat Islam seperti orang Melayu sepatutnya bersyukur kerana tidak perlu melalui pelbagai halangan untuk menjadi seorang Islam. Mereka sudah berasa nikmat Islam sejak lahir dan terus hidup dalam lingkaran agama yang kuat.


Menyorot kembali detik 10 tahun mempelajari Islam, Ann yang banyak menghasilkan penulisan berkenaan Islam malah, pernah dijemput memberi ceramah. Surau Al-Muttakim di Gombak adalah tempat pertama beliau menyampaikan pandangan berkenaan Islam pada 1994.


“Ketika itu, ramai membantah dan mempertikaikan bagaimana bukan Islam dibenarkan memberi ceramah di dalam surau. Tetapi jika dipandang daripada sudut positif, mendengar sesuatu pandangan dari bukan Islam mengenai agama ini akan membawa makna lebih besar kerana ia membuktikan ada kajian bersungguh daripada agama lain mengenai Islam.


“Malah, ramai tidak tahu sebenarnya ramai pakar penyelidik menulis buku mengenai keindahan Islam di Eropah adalah bukan Islam dan ini semua berlaku atas kehendak-Nya.


“Selagi Allah belum membuka hati mereka untuk memeluk Islam, ia takkan berlaku walau mereka sudah cukup mengenali Islam,” katanya.


Ann yang kini berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agong Kehormat Perkim Kebangsaan turut aktif menulis buku berkenaan Islam malah beliau sudah menghasilkan lebih 30 judul buku dan 4,000 artikel.


Antara hasil penulisannya ialah Rahsia Bisnes Orang Cina – The Bamboo Network, yang paling berjaya kerana sudah diulang cetak lebih 10 kali, malah berjaya menembusi pasaran Indonesia dan dicetak sebanyak empat kali dalam dua bulan.

Beliau yang baru menulis buku Rahsia Kegemilangan Islam di China itu berkata, kini hasratnya untuk menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat menggunakan pendekatan dan formula yang pelbagai supaya sesuai dengan semua peringkat usia dan kaum.

“Melalui Persatuan Cina Muslim Malaysia, kami kini mampu menjalinkan hubungan lebih erat dengan beberapa pertubuhan Cina, termasuk Dewan Perniagaan Cina. Kami juga berjaya memasuki Pulau Ketam untuk menjalankan seminar walaupun penduduk di situ sukar menerima tetamu Islam,” katanya.

PROFIL

Nama: Ann Wan Seng

Umur: 39 tahun
Status: Berkahwin
Pendidikan: SMK Datuk Hamzah, Pelabuhan Klang.
SMK Tengku Ampuan Rahimah (STAR).
Sarjana Muda (kepujian) Sastera, Universiti Malaya; 1988-1991
Sarjana Sastera (Antropologi dan Sosiologi), Universiti Malaya; 1992-1996

Kerjaya:

– Bekas tenaga pengajar di Jabatan Antropologi, Universiti Malaya.
– Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
– Kolumnis di majalah Dewan Siswa, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Dewan Pelajar, Dewan Masyarakat, Majalah i, Minda dan Sarina.
– Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia.
– Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan.
– Penasihat Asrama Baitu Ummah.
– Penceramah, pakar motivasi, penyelidik dan penulis.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin