adsense

14 June, 2007

Awas!! Jangan Percaya 100% Tuan Rumah Anda



Posted on Monday, June 11 @ 08:26:10 MYT by SongkokPutih
Bahan Rencah Oleh Khairunnisa Kamarudin

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 19 pelajar perempuan sebuah kolej swasta dekat sini, bimbang gambar mereka mandi diedarkan kepada umum berikutan penemuan kamera televisyen litar tertutup (CCTV), dalam tiga bilik air di rumah sewa mereka, kelmarin.

Kamera itu dipercayai dipasang pemilik rumah berkenaan ketika membaiki lampu di semua bilik air terbabit kira-kira tiga bulan lalu. Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dari Taman Greenwood, Gombak, yang bekerja sebagai kontraktor bagi membantu siasatan.



Seorang daripada pelajar itu yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka semua bimbang gambar mereka sudah dirakam kamera terbabit dan diedarkan pihak tidak bertanggungjawab melalui internet atau telefon bimbit.

“Perbuatan seperti ini (memasang CCTV di dalam bilik air) amat mengaibkan. Saya kesal dan bimbang apa akan terjadi selepas ini jika rakaman video atau gambar kami ketika dalam bilik air itu tersebar.

“Kami amat takut dan malu dengan insiden ini dan berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukannya. Ini soal maruah dan masa depan kami,” kata pelajar berusia 20-an itu, ketika ditemui semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner K Kumaran, berkata suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin selepas menerima laporan pelajar itu. Dia direman lapan hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Katanya, lelaki itu ditahan di rumah yang disewakan kepada 19 pelajar kolej itu di Taman Bullion Mewah, Jalan Ipoh, di sini, selepas polis menerima laporan mangsa yang mendakwa terjumpa kamera dipasang dalam bilik air rumah berkenaan.

“Polis memasang perangkap dengan meminta mangsa berpura-pura menelefon suspek untuk datang ke rumah bagi membaiki kerosakan di rumahnya.

“Kira-kira jam 12 tengah malam, polis dapat menahan suspek. Kami masih mencari video yang mungkin dirakam melalui kamera CCTV itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, seorang lagi pelajar berkata, dia ternampak wayar dan mengesyaki sesuatu ketika memasuki bilik air dan memberitahu rakan-rakannya sebelum memanggil jiran untuk membuka benda hitam yang selama ini disangkakan soket mentol.

“Kami terkejut apabila soket itu dibuka, ada kamera yang masih berfungsi di dalamnya. Saya tak sangka ada kamera dipasang dalam ketiga-tiga bilik air rumah ini. Kami sudah lama perasan benda hitam yang disangkakan soket tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

“Sejak tinggal di sini dua tahun lalu, pemiliknya bersikap baik dengan kami dan sering datang ke rumah bersama isteri dan dua anaknya. Beliau malahan sanggup membaiki sendiri sebarang kerosakan yang berlaku,” katanya.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin