ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
13 June, 2007
Menyeberangi alam barzakh
Assalamualaikum..
Kengkawan sume..
Cerita kat bawah ni mengisahkan apa yang terjadi pada seseorang.
mungkin ianya kisah benar atau sebaliknya tapi bagi aku itu tidak
penting.
cerita ini benar2 memberi impak kepada aku.insaf rasanya bila
membaca.
so aku nak share dengan korang. biar kita sama2 insaf. takut untuk
menghadapi kematian. astaghfirullahalazim... semoga kita dapat
mengambil
ikhtibar dan meningkatkan amal kita. insya'allah...
----------------------------------------------------------------------
Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami
kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii.. menung
nampak? Apasal?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi
penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.
"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah,"
saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang
ke kepala.
Mari gi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja,
gaji,overtime. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah
Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.
"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung.
Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya
termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya.
Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini
makin mendesak.
Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal
Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita
tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal
simati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau
bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah...
Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur
dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas
itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.
Eee... seramnya. Macam mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah
badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya?
Kalau
dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking
datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak
boleh,kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal azim...
Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda
saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas
dan mengacau fikiran.
Pergi... pergi sekarang! Johar, masa nilah kalau nak cuba . Kawan-
kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.
Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala
kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan
jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di
telinga.
Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?'
Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Alah,
bukannya kena tangkap, bukannya boleh mati...
Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu
cerita orang aja. Entah ya entah tidak. Engkau orang muda, kuat
semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!
Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun
dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja
digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur
sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak
kematian sekali gus, taklah timbul masalah.
Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah,
lailahaillallah, lailahaillallah...
Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau
tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya
betul-betul gemuruh.
Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah
dan segala seksaan yang pcrnah didengar daripada guru-guru agama
terbayang di depan mata.
Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran
dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu.
Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar
pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.
Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa
saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya
memang gila, mana boleh manusia hidup menycberangi ke alam barzakh, tapi
saya ingin juga merasainya.
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi
kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.
GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!!
Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi
sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.
"Ya Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini?" saya menggeletar kerana
bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti
hendak mengalir.
GGGRRRRUUUMMM...
Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit.
Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada
tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan
bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku.
Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku
ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.
ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK
Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia
sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di
kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.
AARRKKK... UUURRRKKGGH!!!
Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati
tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar
daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak
mampu ditembusi.
Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba...
PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai.
PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!
Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai
lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu,
kedengaran pula tulang-temulang patah!
Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah
yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit
tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang
selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang
mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering
apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah
berderap-derap.
Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu
deruan angin yang maha dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan
telinga.
Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam
seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam
yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang
membara, merah menyala.
Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis,
namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan.
Aduh,panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan
dagingnya
masak.
"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila
lembaga itu memukul kaki saya.
Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai
hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu
membakar daging paha saya.
"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga
hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi
panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.
Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit
menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda
gempa.
Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai
dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku
kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi
panas.
Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa
sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga
hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki
mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.
"Johar... Johar!!" sayup-sayup nama saya dipanggil.
Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan
terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.
"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan
digoncang-goncang.
Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak
Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.
Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar
beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta
mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama
mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.
"Engkau menepis sana , mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau
tumbuk. Aku ambil air, aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan
baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.
Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa
yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.
Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat
badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang
tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa
berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.
Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka
berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu.
Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan,
mimpi dan igauan semata-mata.
Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah
saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat
itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya
mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.
Yang penting keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai.
Peristiwa pada pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang
benar-benar mendalam di hati saya.
Sesungguhnya janji ALLAH itu benar...MATI itu benar...SYURGA - NERAKA
itu benar....dan..azab kubur ...itu juga benarrrr.....
Semoga ALLAH terima segala amalan kita dan mengampubi dosa-dosa
kita....
AMIN YA RABBAL A'LAMIN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment