adsense

07 August, 2007

Apabila Naib Canselor Universiti Malaya kena "boo"



Roslan SMS
Tue | Aug 07, 07 | 12:55:04 AM


Mahasiswa kita di IPTA dan IPTS sering dikatakan lesu dan tidak bermaya. Puncanya kerana sikap aktivisma mereka dikatakan dibendung, diganggu dan disekat oleh berbagai-bagai peraturan dan undang-undang yang akhirnya melahirkan satu kelompok robot yang berada di menara gading semata-mata untuk mengejar segulung ijazah.

Tidak seperti senior mereka pada tahun 60-an hingga awal 80-an yang peka dan memperjuangkan isu-isu masyarakat, langkah mereka hari ini terbatas dan sering dipantau.

Rupanya sekatan ini membakar hangat di dalam dada mereka sehingga apabila terbit peluang untuk meluahkannya, mereka berani ke depan dan memuntahkan rungutan mereka itu secara terbuka.

Itulah yang berlaku sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar kali pertama yang diadakan di Kuala Lumpur semalam. Ketika sessi dailog bersama Naib Canselor Universiti Malaya Dato' Rafiah Salim, para peserta telah menyorak "boo" apabila beliau mengatakan yang para pelajar di IPTA memiliki kebebasan untuk menyuarakan pandangan dan idea mereka.

Beliau sebelum itu mengatakan soal pelajar tidak berhak menyuarakan pandangan mereka tidak berbangkit.

Rafiah ternyata marah apabila menerima sorakkan sedemikian lalu beliau membentak bahawa perangai (menyorak beliua) seumpama inilah yang mengakibatkan ramai tidak menghormati anda (mahasiswa).

Demikianlah bukti betapa kroniknya tekanan yang dilakukan terhadap suara dan aktivisma pelajar. Rafiah tidak sepatutnya marah-marah kerana Sidang Kemuncak seumpama inilah sessi ataupun forum yang paling sesuai untuk mendengar keluhan para pelajar.

Siapa yang tidak pernah "diboo" oleh para pelajar? Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussien malah Tun Dr Mahathir pun biasa "diboo".

Itu merupakan senjata pelajar dan saya tahu Tunku dan Tun Dr Mahathir pun pernah melakukan demikian semasa zaman muda mereka dahulu (mungkin Rafiah tidak pernah melalui pengalaman sebegitu).

Dari kita marah-marah kerana kena "boo" lebih baik kita kaji atau mungkin mengakui akan benarnya keluhan para pelajar itu.

Saya ucapkan syabas kepada mereka ini dan saya berharap agar tidak ada seorang pun dari mereka yang diambil tindakan kerana jika ini berlaku terbuktilah memang kebebasan bersuara pelajar di Malaysia telah mati.

II. Mari kita ambil pendekatan baru
Apabila saya membaca artikel Wong Chun Wai dalam ruangan tetapnya "On the Beat" dalam akhbar The Sunday Star saya agak marah. Artikel beliau yang berjudul "Pick on a worthy issue", tertumpu kepada bantahan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia atau PKPIM terhadap konsert artis Amerika Gwen Stefani yang dijadualkan pada 21 Ogos 2007 ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Wong menulis bahawa pimpinan PKPIM mendesak agar pihak kerajaan membatalkan konsert ini kerana persembahan dan pakaian Stefani adalah tidak cocok dengan budaya masyarakat Malaysia.

Apa hak Wong untuk mengajar PKPIM apa yang patut dan tidak patut dibuat?

Walau bagaimanapun setelah membaca dua tiga kali artikel Wong itu, saya mula melihat isu ini dari perspektif yang berbeza. Saya bukannya mahu bersetuju dengan Wong (yang sememangnya sentiasa bias dan tidak pernah memberikan gambaran yang baik terhadap Islam), ataupun mahu menghalang PKPIM dasri kerja-kerja amar makruf nahi mungkar mereka.

Namun kita perlu melihat sesuatu itu dari skop yang lebih luas agar kita tidak terperangkap di dalam jerangkap samar musuh yang sememangnya tidak senang dengan kehadiran kita.

Hakikatnya maksiat dan budaya kuning serta keruntahan akhlak khususnya di kalangan remaja bukan cuma dicetuskan dengan kehadiran Stefani di tanahair. Ia telah sedia wujud, menular subur dan berkembang biak, lantaran kelonggaran dan subahat kerajaan BN yang diterajui Umno.

Sistem pendidikan kita ternyata gagal melahirkan remaja yang teguh moral dan jati dirinya. Sebaliknya apa yang dihasilkan adalah golongan remaja yang cenderung kepada hiburan keterlaluan dengan mengenepikan segala tuntutan dan peraturan akhlak dan sakhsiyah yang diajar oleh Islam.

Stefani sekadar satu titik kecil dalam kolam keruntuhan akhlak dan moral yang luas yang telah disenyawakan oleh kerajaan yang gagal dan porak-peranda ini. Pada 21 Ogos nanti, Stefani sekadar akan mempamirkan aksinya di hadapan beberapa ribu penonton di Stadium Putra sedangkan puluhan juta di luar Stadium Putra terus sesat dan tenat.

Perluaskanlah lagi jangkauan kita. Jangan sekadar mengeluarkan kenyataan dan membuat bantahan, sedangkan di luar sana jutaan remaja perlu didekati, didakwah dan diajak agar kembali ke jalan yang benar.

Sekadar berprotes sebegini hanya menempah kritikan dan serangan percuma dari manusia seumpama Wong yang memiliki dan mengawal media arus perdana.

Akhirnya dengan kepintaran bakat spin (putar alam) mereka, kerja-kerja pencegahan mungkar yang cuba kita lakukan digambarkan begitu hodoh sehingga kita pula dianggap musuh kepada masyarakat sedangkan niat kita adalah untuk memperbetulkan masyarakat.

Oleh itu PKPIM harus mengambil pendekatan baru, dalam suasana sebegini ENGAGEMENT lebih baik dan bijak dari tindakan sebegini.

Dalam suasana gawat ini PKPIM seharusnya terbit dengan formula penyelesaian yang komprehensif dan efektif, bagi menyelamatkan seluruh golongan remaja Malaysia dari terus lalai dan sesat di bawah kedurjanaan Umno-BN ini.

Perbanyakkan program mendekati golongan seperti ini yang sebenarnya dahagakan bimbingan dan pertolongan.

Mari kita kali ini mengambil pendekatan yang berbeza. Mudah-mudahan dengan langkah proaktff kita nanti kesannya dapat dilihat secara langsung ke atas sasaran kita, dan masyarakat khususnya golongan remaja akan nanti semakin senang dan mendekati kita dengan penuh yakin.

Bantahan dan protes menurut batas undang-undang perlu diteruskan, tetapi dalam waktu yang sama langkah mendekati golongan remaja perlu diusahakan tanpa lengah. Selamat mencuba!

No comments:

Blog Widget by LinkWithin