Wan Nordin Wan Yaacob Mon | Aug 06, 07 | 09:45:28 AM | |
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Keputusan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) tidak mahu membuka perniagaan selepas jam 10.00 malam menimbulkan persoalan berhubung krisis ekonomi dan keselamatan di negara ini yang kian parah, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar. "Cadangan mereka ini menimbulkan persoalan, kerajaan kononnya menyatakan ekonomi di negara ini semakin baik, sedangkan dari keluhan pengusaha minyak menyatakan betapa mereka mengalami kerugian jika meneruskan operasi di waktu malam,"tegasnya kepada Harakahdaily hari ini. Sementara keadaan keselamatan yang kini kian meruncing dengan pelbagai jenayah berlaku setiap hari membuatkan peniaga takut untuk meneruskan operasi mereka hingga larut malam, kata Kamarudin yang juga ahli Parlimen Tumpat. Setiap hari rakyat boleh mendengar laporan mengenai jenayah rompakan, pembunuhan dan sebagainya di merata-rata tempat menyebabkan keadaan semakin tidak selamat, katanya. Selain itu beliau melihat, jika sedikit masa dahulu rakyat dan golongan peniaga cukup sukar untuk membuka perniagaan atau kerana pelbagai karenah dalam mendapatkan lesen. Tetapi hari ini peniaga mula bimbang dengan keselamatan perniagaan mereka selain ramai yang 'gulung tikar' kerana kegawatan ekonomi yang berlaku dalam pemerintahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, katanya. Malah hari ini dalam kes pengusaha minyak, kerajaan pula dilihat mendesak golongan ini untuk meneruskan operasi stesen minyak sedangkan keadaan tidak mengizinkan,katanya. Hakikatnya kata beliau kemelut ini hanya akan menyebabkan pengguna menghadapi masalah, katanya. Sementara itu, semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yakin PDAM akan membatalkan cadangan untuk mengehadkan waktu operasi stesen minyak di seluruh negara kepada 7.00 pagi hingga 10.00 malam. Menterinya, Dato' Mohd Shafie Apdal berkata, ahli-ahli PDAM tahu risiko yang bakal dihadapi termasuk dibatalkan lesen operasi stesen minyak sekiranya mereka meneruskan cadangan itu. Pihak kementerian pula, katanya, telah mengadakan pertemuan dan menghantar surat kepada semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat minyak yang memiliki kira-kira 90 peratus stesen minyak di negara ini supaya tidak membuat tindakan sendiri. "Mereka tahu apa yang kita boleh buat. Saya menerima ribuan permohonan untuk mendapatkan lesen mengusahakan stesen minyak. "Bukannya seorang tetapi ribuan orang, jadi saya yakin mereka (ahli-ahli PDAM) tidak akan bertindak sesuka hati dengan mengehadkan operasi perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Telok Kemang semalam. Rabu lalu, mesyuarat PDAM meluluskan usul mengehadkan operasi stesen minyak dari pukul 7.00 pagi hingga 10.00 malam dengan alasan operasi 24 jam sehari tidak memberikan keuntungan yang setimpal kepada ahli-ahlinya. - mks. |
ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
07 August, 2007
Had operasi stesen minyak, membayangkan ekonomi dan keselamatan yang makin parah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment