adsense

18 August, 2007

Raihan terbang semakin tinggi




KUMPULAN nasyid Raihan kini kurang mendapat liputan media tempatan namun itu tidaklah bererti bahawa kumpulan yang telah melakar pelbagai sejarah industri hiburan ini tunduk kepada kehadiran kumpulan-kumpulan nasyid lain mahupun populariti genre muzik yang pop yang lebih digemari oleh masyarakat tempatan.

Bukan tidak inginkan liputan media tempatan tetapi Raihan yang kini dianggotai oleh Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza, memang jarang dapat memenuhi undangan wawancara bersama media kerana sibuk dengan jadual persembahan yang kebanyakannya di luar negara.

Misi berdakwah melalui lagu-lagu nasyid mereka kini dikembangkan ke seluruh pelusuk dunia termasuklah di benua Afrika dan Eropah.

Pada awal tahun ini, mereka kerap berulang alik ke Indonesia dan Thailand demi memenuhi permintaan peminat-peminat setia mereka di sana.


Raihan turut memasyurkan namanya di Perancis
(Foto dari fail Raihan)

Di Indonesia contohnya, Raihan bertapak kukuh di jiwa peminat negara itu bila mana hampir setiap dua bulan mereka akan menjejaki ke seluruh pelusuk Indonesia termasuklah Sumatera, Jawa, Sulawesi, Batam, Riau dan lain-lain.

Malah setiap kali menjelang bulan Ramadan, Raihan terus sahaja sibuk dengan undangan persembahan konsert dan rancangan televisyen Indonesia.

Persiapan telah dibuat untuk Raihan ke sana selama lebih seminggu bermula minggu kedua Ramadan, Raihan akan menghiburkan penonton melalui Rancangan TV Indosiar, NTV7, TransTV, RCTI, SCTV dan Lativi.

Di akhir minggu tersebut, Raihan akan bersama Opick (pencipta lagu Dealova) mengadakan sebuah konsert secara besar-besaran di kota Jakarta.

Tidak hairanlah bilamana judul lagu-lagu Raihan menjadi tajuk bagi beberapa drama dan rancangan televisyen di Indonesia.

Di kala artis-artis Malaysia yang lain cuba memasuki pasaran Indonesia, Raihan sudahpun menguasai bukan sahaja peminat peminat nasyid di sana malah muncul di kaca televisyen mereka.

Begitulah yang penulis dapat katakan mengenai kesibukan kumpulan nasyid yang banyak menempa anugerah bagi kategori lagu nasyid sebelum ini setelah menyelesaikan konsert Sounds of Light di Australia pada bulan lepas.

Selama 11 tahun menceburi bidang seni muzik ini, Raihan bukan sahaja dikenali di kalangan masyarakat Malaysia, Indonesia dan Australia malah mereka telah 'melebarkan sayap' di Hong Kong, Perancis, Russia, United Kingdom, Kuwait, Dubai, Kanada, Afrika Selatan dan Trinidad &Tobago.

Begitu juga dengan Thailand, negara gajah putih ini sudah tidak menjadi asing lagi bagi mereka.

Jika sebelum ini mereka tertumpu hanya di Selatan Thailand, setelah berlaku pergolakan di daerah terbabit, ianya tidak sedikit pun mematahkan semangat peminat Raihan di Thailand.

Ini terbukti bila mana beberapa siri persembahan Raihan telah dianjurkan di Phuket, Nakhon Sitammarat dan Satun selepas di Bangkok kebelakangan ini.

Malah pada bulan puasa ini juga Raihan akan mengisi beberapa rancangan televisyen Thailand sempena siaran bulan tersebut.

Tidak lama dahulu Raihan juga pernah terlibat dalam pembikinan klip video lagu-lagu mereka versi Bahasa Thai demi memenuhi pasaran masyarakat Islam di sana.

Aktiviti Raihan tidak terhenti di situ sahaja, penghujung tahun ini mereka telah dipelawa untuk ke Kanada, Amerika Syarikat dan Amerika Latin dalam siri konsert mereka di bumi Amerika Utara itu.

Raihan ketika menjalani pengambaran klip video di Kanada
(Foto dari fail Raihan)

Bersempena dengan Historical Month of Islam anjuran Canadian Islamic Congress pada Oktober nanti , Raihan telah mendapat jemputan dari Malaysia High Commission of Canada yang berpusat di Ottawa sebagai sumbangan negara terhadap program tersebut.

Raihan turut terlibat dengan artis dari negara lain dalam program Celebrity Tour di bandar Ottawa, Toronto dan Montreal.

Dimaklumkan, pihak High Commission Malaysia akan menyediakan tempat tinggal, makanan dan perjalanan dalam negeri semasa Raihan di sana.

Program itu tentu sekali akan lebih berjaya sekiranya ada pihak yang sanggup membiayai perjalanan pergi balik Raihan ke Kanada itu sebagai sumbangan demi mengharumkan nama negara.

Seterusnya Raihan akan terus ke Amerika Syarikat bagi memenuhi acara Eid Celebration di New Jersey. Setelah itu Raihan akan terbang ke Trinidad & Tobago buat kali kedua dalam rangka konsert di Pulau Caribbean itu.

Pihak penganjur juga merancang untuk mengadakan konsert di Surinam dan Venezuela buat kali pertama di negara tersebut.

Menyentuh tentang dunia lakonan, Raihan juga sedang dalam proses menjayakan filem terbaru Majid Majidi, pengarah yang terkenal dengan filem Story of the shoes.

Filem yang mendapat kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) akan melalui proses perbincangan apabila Majid datang ke Malaysia sempena Festival Filem Kuala Lumpur pada bulan November depan.

Malah pada pertengahan tahun 2008 pula Raihan telah diintai oleh beberapa penganjur “world music tour” bagi jelajah Afrika Utara yang merangkumi negara-negara Maghribi, Algeria, Mauritania,Tunisia, Libya dan Mesir.

Penjelajahan Raihan pada masa akan datang ini pastinya 'membuahkan' banyak pengalaman yang menarik kepada kumpulan yang telah melahirkan 10 buah album itu.

Antara pengalaman bermakna di awal kemunculan mereka ialah bertemu dengan Prince Charles di Scotland pada tahun 1997, Ratu Elizaberth sempena Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun 1998 dan berduet dengan Yusuf Islam dalam lagu God Is The Light petikan dari album kedua, Syukur.


No comments:

Blog Widget by LinkWithin