ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
26 September, 2007
Mendidik Anak Untuk Hari Tua Atau Untuk Tuhan?
Bagi kebanyakan manusia, termasuk orang Melayu,anak-anak yang masih
kecil dianggap sebagai cahaya mata, belahan hati, penawar jiwa,
intan payung dan macam-macam lagi. Sangat disayang dan
dimanjakan.Apabila besar sikit, disediakan anak-anak itu untuk
menghadapi tuntutan hidup. Diberi pelajaran dan kemahiran setinggi-
tingginya supaya apabila besar nanti dapat kerja, dapat jawatan dan
dapat gaji lumayan. Mereka rasakan itulah tanggungjawab mereka
terhadap anak-anak. Mereka mahukan anak-anak mereka berjaya dan
senang dalam hidup.
Kadang-kadang terselit juga di hati ibu ayah, kalau-kalau anak-anak
sudah besar dan berjaya, maka akan senanglah hidup ibu ayah. Anak-
anak akan membantu dan membela mereka. Anak-anaklah menjadi tempat
mereka bergantung apabila tua kelak. Anak-anaklah yang menjamin masa
depan mereka. Mereka bersandar kepada anak-anak mereka untuk hari
tua.
Memang anak-anak patut membela dan berkhidmat kepada ibu ayah
setelah mereka tua. Ini tuntutan fitrah. Ini juga tuntutan agama.
Tuhan pun memang hendak begitu. Tetapi patutkah ibu ayah mendidik
anak-anak untuk tujuan ini semata-mata.Patutkah ibu ayah mendidik
anak-anak untuk kepentingan diri mereka sendiri? Patutkah anak-anak
itu dianggap sebagai satu pelaburan untuk kebaikan dan kesenangan
masa depan ibu ayah? Kalau begitu, anak-anak tidak ubah sebagai
haiwan ternakan. Dibela, diternak supaya akan dapat merasakan untung
dan hasilnya satu hari nanti. Kalau begitu mendidik anak tak ubah
seperti satu usaha komersial atau satu penanaman modal atau satu
kegiatan ekonomi.
Konsep ini perlu dikikis dan dibuang jauh-jauh. Ia tersimpang dari
kehendak agama dan kehendak Tuhan. Anak-anak itu adalah amanah
Tuhan. Mereka perlu dididik untuk Tuhan.Mereka perlu dididik untuk
mengenal, mencintai dan takutkan Tuhan.Mereka perlu dididik supaya
menjadi hamba Tuhan selepas itu menjadi khalifah Tuhan dimuka bumi.
Mereka perlu dididik untuk mengabdi diri kepada Tuhan dan menjadikan
cinta agung mereka. Mereka perlu dididik supaya menjadi orang yang
beriman dan bertaqwa yang hidup mati mereka hanyalah untuk Tuhan.
Anak-anak itu anugerah Tuhan. Oleh itu, kenalah didik mereka untuk
Tuhan.
Kalau ini dilakukan, barulah anak-anak itu akan menjadi orang-orang
soleh yang berakhlak dan berjasa. Orang yang beriman dan bertaqwa
sudah tentu akan berkhidmat kepada Tuhannya dan sesama manusia,
lebih-lebih lagilah kepada kedua-dua ibu dan ayah mereka. Soal anak-
anak menjaga dan membela ibu ayah mereka akan terjadi dengan sendiri
setelah anak-anak itu menjadi hamba-hamba yang beriman dan bertaqwa.
Apabila anak-anak dididik hanya untuk mengejar dunia dan tidak untuk
mengenal, mencintai dan takut dengan Tuhan, maka dunialah yang akan
menjadi matlamat hidup mereka. Keinsanan mereka tidak akan terbina,
nafsu mereka akan menjadi rakus dan segala sifat-sifat mazmumah yang
keji seperti tamak, haloba, hasad, dengki, bakhil, pemarah dan lain-
lain yang bersarang dihati mereka.
Mereka tidak akan mempedulikan halal atau haram, hak atau batil,
benar atau salah, adil atau zalim, manusia ataupun Tuhan. Kalau
Tuhan pun mereka tidak pedulikan, apakah harapan mereka
memperdulikan ibu ayah mereka, jauh sekali untuk membela dan
berkhidmat kepada mereka. Ibu ayah akan menjadi penghalang untuk
mereka mengejar dunia mereka. Mereka akhirnya derhaka kepada ibu
dan ayah.
Di Akhirat nanti anak-anak ini akan menjadi orang yang muflis.
Mereka akan menentang dan menjadi seteru kepada ibu ayah
mereka.Mereka akan menuntut hak yang tidak diberikan kepada mereka.
Mereka akan menyalahkan ibu ayah mereka kerana tidak mendidik mereka
untuk Tuhan. Ibu dan ayah yang tidak mendidik anak-anak mereka untuk
Tuhan pasti akan rugi di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat. Di
Akhirat nanti anak yang mereka sayang itu akan bertukar menjadi
musuh.
Kalau anak-anak dididik untuk Tuhan hingga mereka menjadi orang-
orang yang beriman dan bertaqwa mereka akan menjadi aset kepada
kedua ibu ayah mereka. Mereka akan menjadi aset di dunia dan aset di
Akhirat. Di dunia mereka akan berkhidmat dan membela kedua ibu ayah
mereka. Apabila mati kedua ibu dan ayah, anak seperti ini akan
mendoakan mereka. Doa mereka tidak terhijab. Ibu dan ayah juga kan
terus mendapat pahala yang mengalir ke dalam kubur hasil dari
amalan soleh yang dibuat oleh anak mereka di dunia berkat dididkan
dan ilmu yang telah mereka curahkan kepada anak mereka itu.
Hadis ada menyebut:
" Bila mati anak Adam, akan terputuslah segala amalannya kecuali
tiga perkara iaitu sedekah jariah yang dibuatnya, ilmu yang
bermenafaat yang diajarnya dan anaknya yang soleh."
Kita harus ingat bahawa anak kita itu adalah hamba Tuhan. Tuhan
lebih berhak ke atasnya daripada kita. Hanya Tuhan mengamanahkan dia
kepada kita. Oleh itu, kita perlu didik dia untuk Tuhan, bukan untuk
kita.
Anak kita hanya anak kita sementara di dunia. Di Akhirat, dia bukan
anak kita lagi. Di Akhirat, anak tak peduli ayah, anak tak peduli
ibu. Ibu ayah juga tak pedulikan anak. Masing-masing sibuk dengan
urusan masing-masing. Setakat mana kita mampu mendidik anak-anak
kita untuk Tuhan, setakat itulah manfaatnya untuk diri kita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment