adsense

06 September, 2007

Sidek Hussin reda anugerah Tuhan



OLEH KHADIJAH IBRAHIM


Inilah papan yang digunakan oleh Sidek Hussin sewaktu belajar di Sekolah Kebangsaan Kuang, Selangor.

KELEBIHAN atau kekurangan yang dimiliki oleh individu merupakan ketentuan daripada Allah. Sebagai insan yang menumpang di bumi ini, kita harus terimanya dengan tabah.
Bersandarkan pada prinsip tersebutlah maka pelakon terkenal Sidek Hussin,56, tidak berhasrat untuk membuang ketumbuhan di pipinya.
Kata Sidek, ketumbuhan sebe! rat satu kilogram itu membawa rezeki dan merupakan identitinya.
¡§Di Malaysia ini siapa yang ada wajah macam ini, hanya Sidek Hussin seorang. Ini memudahkan orang untuk mengingati saya,¡¨ katanya sambil mengusap ketumbuhan yang dihidapinya sejak usia 20 tahun.
Sidek yang ditemui di Ipoh, Perak berkata, pada tahun 1979, dia pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tersebut.
Bagaimanapun tiga tahun kemudian ketumbuhan tersebut muncul semula. Kata Sidek, dia pernah bertemu dengan beberapa pakar namun setelah mendapat penerangan doktor, dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja ketumbuhan tersebut.
¡§Doktor kata memang boleh buang ketumbuhan tersebut tapi akan memberi kesan kepada mata saya. Bila fikir balik, ketumbuhan ini bukannya sakit, jadi buat apa saya nak cari penyakit.
¡§Lagipun berdosa kalau kita mengubah ciptaan-NYA. Saya ingin kembali ke sisi-NYA dengan wajah yang asli. Apa yang berlaku kepada saya adalah satu anugerah,¡¨ katanya positif.
Sidek yang berlakon sebagai Paiman menerusi drama bersiri Raksasa arahan Raja Ahmad Alauddin dan kini disiarkan di TV3, setiap Ahad pukul 9 malam berkata, buat masa sekarang dia lebih bersikap selektif untuk berlakon.
Dia yang mula berlakon pada tahun 1972 menerusi drama Hujan Batu Di Rantau, arahan Allahyarham Roslee Jalil memberitahu minat berlakon timbul apabila sering menonton filem-filem Tamil.
¡§Sejak kecil saya suka menonton. Saya akan pergi ke estet-estet untuk menonton filem Tamil. Filem Melayu hanya ditayang sebulan sekali di kawasan Hospital Kusta, Sungai Buloh. Dari situlah timbul minat berlakon.
¡§Dulu saya selalu tanya diri sendiri, orang terimakah aku berlakon sebab aku tidak handsome seperti orang lain. Alhamdulillah, sehingga kini saya masih lagi kekal sebagai pelakon,¡¨ katanya yang pernah belajar berlakon di Taman Budaya di bawah tunjuk ajar Othman Hafsham.
Menurut anak ketiga daripada 12 beradik itu, untuk menjadi pelakon mesti ada ilmu dan bukan bersandar pada wajah yang jelita dan kacak sahaja.
Dia yang sering diberi watak jahat berkata, pelakon harus menghayati watak dan bukan sekadar mengungkap dialog.
¡§Untuk menampakkan lakonan realistik, kita perlu ikut keadaan. Mana mungkin orang yang ada masalah, wajahnya ceria. Perkara yang sekecil itu pun perlu diambil kira untuk menampakkan watak lebih hidup,¡¨ kata suami kepada Salbiah Sulaiman.
Sidek yang seangkatan dengan pelakon Abu Bakar Omar dan Razali Buyong itu berkata, pada masa ini dia sering meluangkan masa menulis skrip.
Skrip pertamanya, Lambaian yang diarah oleh Rashid Sibir bakal menemui penonton pada hari raya ini.
Sidek yang sedang menyiapkan skrip Luncai berkata, dia mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan Lambaian.
¡§Lambaian berkisar cerita lelaki buta yang ditinggalkan isteri dan kemudian bertemu dengan seorang wanita yang sudi menjadi isterinya. Dalam Lambaian saya berlakon sebagai lelaki buta, memang banyak menangis. Drama itu sungguh menyentuh hati,¡¨ katanya yang turut sebak sewaktu bercerita tentang plot Lambaian.
Selain berlakon, Sidek juga pernah meminjamkan suaranya untuk alih suara siri kartun Ultraman di RTM pada tahun 1972 hingga 1974. Sidek yang sudah membintangi lebih daripada 100 buah drama pernah menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada anugerah Sri Angkasa 1978 menerusi drama Menara Condong.
Kata ayah kepada Hairul Nizam, 29, Siti Hajar, 26, Umi Kalsom, 25, Siti Mariam, 23 dan Mohd. Adam, 18, dia tidak banyak berlakon filem.
Filem pertama lakonannya ialah Kisah Seorang Biduan pada tahun 1978. Lain-lain filem ialah Potret Maria, Toyol, Bintang Malam, Sumpah Semerah Padi dan Orang Minyak.
Selain itu, Sidek juga berlakon teater. Teater pertama lakonannya ialah Anak Cucu Tamin pada 1976. Menerusi teater tersebut dia dipilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Pertandingan Drama Peringkat Wilayah Persekutuan.
Sidek juga pernah menjadi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Teater Mati (1977) dan Raja Pengemis (1978). Teater terakhir lakonannya ialah Ronggeng Rokiah yang pernah dipentaskan di Istana Budaya.
Sekarang ini Sidek sibuk menguruskan perniagaan barangan antik dan terpakai di Memory Lane, Ipoh pada setiap hari Ahad.

.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin