adsense

11 February, 2008

SPR: 50 ribu peti undi lutsinar, 48 ribu botol dakwat khas diedar




Oleh BHM
Ahad, 10 Februari 2008


KL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula menghantar 50,000 peti undi telus cahaya dan 48,000 botol dakwat khas ke pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dijangka tidak lama lagi.


Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata peti undi telus cahaya dan dakwat khas itu kali pertama digunakan pada pilihan raya umum di negara ini selaras dengan komitmen SPR untuk meningkatkan tahap ketelusan pilihan raya.

“Setiap tempat mengundi pula diperuntukkan dua botol dakwat khas,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, di sini semalam.

Sementara itu, laman web SPR menerusi alamat www.spr.gov.my menyatakan peti undi telus cahaya akan menggantikan peti undi lama yang diperbuat daripada logam yang dicat hitam.

Berhubung penggunaan dakwat khas, semua pengundi dikenakan tanda pada kuku jari, dengan dakwat itu sebelum diberi kertas undi.

Dengan cara itu, seseorang itu tidak dapat menggunakan identiti orang lain untuk mengundi lebih daripada sekali kerana kesan dakwat akan kekal pada kuku jari pengundi sekurang-kurangnya 48 jam.

Menerusi kaedah itu, kerani kedua akan mencalit dakwat hitam pada jari telunjuk tangan kiri pengundi selepas identiti pengundi dipastikan kerani pertama.

Kerani ketiga pula akan memberikan kertas undi yang ditindik selepas tanda kuku dibuat. Bagi pengundi yang tidak ada jari, calitan dakwat akan dibuat atas tunggul lengan.

Bagaimanapun, kaedah dakwat tanda itu tidak terpakai terhadap pengundi pos yang dikawal dengan prosedur keselamatan lain.

Dianggarkan, sebanyak 36,000 unit botol dakwat khas akan digunakan pada pilihan raya umum kali ini.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan dakwat khas dari India itu yang kekal untuk beberapa hari tidak melanggar hukum syarak atau menjejaskan ibadat orang Islam.



No comments:

Blog Widget by LinkWithin