adsense

20 July, 2007

Amy Search menangis melihat Kaabah

APABILA penyanyi rock terkemuka yang pernah berambut panjang, beranting-anting dan memakai kalung di leher memutuskan menunaikan umrah baru-baru ini, ramai terkejut.

Pelbagai tanggapan timbul, kononnya pemergian Amy ke Makkah adalah suatu yang pelik kerana imejnya sebagai penyanyi rock sukar dikaitkan dengan ilmu agama.

Malah Amy sendiri mengakui semasa di sana, beliau turut diuji apabila terdengar kata-kata orang yang mempertikaikan kehadirannya di situ hasil wang nyanyian yang disifatkan 'tidak bersih'.

'Dalam sibuk beribadat, masih ada orang sempat memperlekehkan insan lain. Saya terdengar perbualan seseorang mempertikaikan kehadiran saya di tanah suci. Barangkali maksudnya saya ini penyanyi, maka wang yang saya perolehi tidak halal.

'Alhamdulillah, saya sedikit pun tidak melenting kerana umrah urusan saya dengan Yang Maha Esa. Dia Maha Mengetahui, Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Bijaksana. Sama ada saya diterima atau tidak, itu hak Allah.

'Yang pasti, sewaktu mengambil keputusan ini dulu, hati saya sudah bulat dan saya berserah dengan apa pun dugaan yang bakal ditempuhi,' luah Amy dalam laporan akhbar Harian Metro.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 49 tahun, berada di Makkah bersama isteri, Hasniza Hassan atau mesra dipanggil Norish, 26 tahun, dari 29 Mei hingga 11 Jun lalu.

Menurut beliau, keinginannya mengerjakan umrah sudah terdetik sejak beberapa tahun lalu.

'Paling seronoknya sepanjang mengerjakan umrah saya dapat sembahyang Jumaat dua kali iaitu di Masjid Nabawi, Madinah, dan Masjidil Haram, Makkah.

'Selama empat hari di Madinah, saya berpeluang solat di Raudhah, salah satu taman syurga. Bukan mudah merebut peluang bersembahyang di Raudhah kerana kawasannya amat terhad dan tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai,' tambahnya.

Ketika tiba di Makkah, Amy mengucap syukur sebaik melihat Kaabah.

'Ia cukup indah hingga saya menangis. Selesai berehat, saya terus melakukan tawaf. Saya juga mengorbankan rambut. Malah saya berikrar mahu kekal dengan imej begini selama-lamanya kerana dengan cara ini hati saya sentiasa terkenangkan Makkah,' kata Amy.

Mengenai doanya ketika di Makkah, Amy berkata, beliau memohon kepada Allah swt agar ditetapkan hatinya supaya tidak malas bersolat dan mematuhi segala yang termaktub dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.

Kini beliau berhasrat untuk melakukan umrah Ramadan pula. BHS



No comments:

Blog Widget by LinkWithin