adsense

29 July, 2007

Malaysiaku...Konsert sampai mati..



Baca dan renunglah, dari manakah punca kerosakan masyarakat Malaysia? Jawapannya ada di dalam benak masing-masing. Adakah kerajaan yang memberi lesen? Penganjur? Penyanyi? Penonton? Unit Teknikal? Fikirkan.

Peminat puas tonton konsert MLTR di Genting (Berita Harian 24 Julai)
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


Sebanyak 25 lagu dipersembahkan dalam tempoh dua jam di Arena Of Stars, Jumaat lalu

TIADA gimik. Tidak ada kejutan sekadar sebuah konsert biasa. Mungkin agak keterlaluan tetapi itulah realitinya konsert trio dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, Jumaat lalu.


Seorang teman yang pernah menonton konsert MLTR dua tahun lalu juga berpendapat sama. Umpama menonton sebuah konsert ulang tayang tetapi itu hanyalah pendapat mereka yang mungkin tidak meminati trio yang dianggotai Jascha Kichter (vokalis), Mikkel Lentz (gitar) dan Kaare Wansher (dram).


Bagi peminat MLTR, tentu sekali persembahan penyanyi kesayangan mereka itu bagus. Hampir 4,000 yang memenuhi Arena Of Stars, nampak cukup teruja ketika MLTR memulakan persembahan pertama mereka. Corak persembahan MLTR juga tidak berubah, walaupun menyanyikan hampir 25 lagu, ia berlangsung dengan cukup pantas.


Tidak sampai dua jam, persembahan sudah berakhir. Tetapi pujian harus diberikan kepada MLTR terutama vokalisnya Jascha, yang menyanyi ke semua lagu tanpa henti. Tidak ada sesi rehat, jika terasa dahaga dia akan meneguk botol air yang diletakkan di belakang pentas.


Sebagaimana dikatakan tiada sebarang gimik, mereka menghiburkan peminat dari satu lagu ke satu lagu. Hanya sesekali saja mereka berkomunikasi. Ayat yang keluar daripada mulut seperti biasa, ayat klise yang digunakan artis luar apabila bertandang ke negara kita.


“Anda sihat? Rasa seronok dapat menghiburkan peminat di Malaysia yang sporting,” kata penyanyi utamanya.


Bagi penggemar lagu balada, malam itu adalah malam paling indah. Malam yang mengimbau sejuta kenangan buat mereka kerana masih berpeluang melihat kumpulan kegemaran mereka beraksi setelah sekian lama tidak muncul dengan buah tangan terbaru. Kehadiran MLTR umpama mengubati kerinduan peminat yang teramat sangat terhadap mereka.


MLTR cukup terkenal di kalangan peminat di Asia terutama Taiwan, Hong Kong dan banyak lagi negara lain. Jadi tidak hairanlah, penonton yang memenuhi arena itu kebanyakannya berbangsa Cina. Tambah menyebabkan peminat ini teruja apabila MLTR mendendangkan lagu Take Me To Your Heart lagu milik penyanyi Hong Kong, Jacky Cheung.


Semua lagu dibawakan MLTR juga tidak banyak bezanya dengan konsert mereka dua tahun dulu. Cuma bezanya, hanya satu lagu yang mungkin berbeza iaitu lagu terbaru berjudul It’s Only Love yang dirakamkan di India beberapa minggu lalu kata penyanyinya. Lagu berkenaan akan dimuatkan di dalam album terbaru mereka yang bakal diluncurkan tidak lama lagi.


Mereka memulakan persembahan dengan lagu Salvation diikuti Final Destination, Angel Eyes, Complicate Heart, I Still Carry On, Strage Foreign Beauty dan Romantic Balcony. Diteruskan pula dengan The Actor yang memuncakkan nama trio itu di sini, dan apabila lagu itu mula berkumandang peminat mula nampak cukup gembira dan teruja.


“Saya tidak tahu berapakah usia anda ketika pertama kali lagu ini diperdengarkan dan berapakah pula umur anda semua sekarang. Kami dapati orang di Malaysia romantik menyebabkan kami tidak jemu menulis lagu-lagu yang romantik,” kata vokalisnya ringkas.


Hiburan diteruskan lagi dengan lagu Naked Like The Moon, Out Of The Blue, Blue Night, Something You Shoud Know, Laugh and Cry, Sleeping Child, You Took My Heart Away, 25 Minutes, Love Will Never Lie dan berakhir dengan Someday.


Sebaik selesai mendendangkan lagu Someday, mereka bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada peminat yang masih belum puas. Ternyata gimik itu tidak menjadi, itu adalah gimik biasa yang sering dilakukan mana-mana artis setiap kali membuat persembahan. Peminat tidak lagi tertipu dan terus setia menanti kemunculan semula MLTR kerana masih ada beberapa lagu berhantu yang belum didendangkan.


Mereka kemudiannya muncul semula ke depan pentas bagi menghabiskan tiga lagu yang masih belum didendangkan iaitu Paint My Love yang cukup popular di sini. Seterusnya lagu Wild Women dan yang terakhir That’s Why You go Away, lagu berhantu milik kumpulan ini yang menjadi penutup kepada persembahan hampir dua jam mereka.


Konsert ini tidak akan menjadi titik noktah MLTR ke sini, mereka pasti kembali apatah lagi album terbaru mereka bakal hadir. Kehadiran mereka pasti akan terus dinantikan, peminat mereka juga masih lagi kuat dan ramai di sini. Jika tidak masakan peminat sanggup menanti di pintu pagar laluan di mana mereka di bawa keluar dengan kenderaan mewah hanya kerana tidak puas dengan konsert hampir dua jam itu.


Cuma mungkin mereka harus menampilkan material yang baru dan segar sekiranya mengadakan konsert sekali lagi di sini.

fikrah



No comments:

Blog Widget by LinkWithin