adsense

26 July, 2007

Cinta beralih arah...salah siapa?



Tatkala matahari menyerlahkan sinarnya, tiba-tiba mendung berarak kelabu. Suami yang dikasihi tiba-tiba beralih perhatian kepada si dia. Kasih beralih arah selalunya disebabkan oleh keadaan rumah tangga yang hambar. Hubungan yang kian longgar membuat suami beralih arah kepada orang ketiga yang dirasainya lebih menyenangkan. Sebelum anda mencari salah siapa, renungkanlah 12 cara mengembalikan keharmonian rumah tangga di bawah. Jika semua perkara itu sudah anda lakukan dan perkahwinan anda masih tidak bersinar, mungkin anda perlu ambil langkah drastik kerana memang sudah tidak ada jodoh!
  1. Perkahwinan kerana Iman - Renungi kembali mengapa anda berkahwin. Jika perkahwinan anda dahulu disebabkan oleh nafsu dan cinta, tentunya sukar mempertahankan keharmonian rumah tangga. Hal ini kerana cinta dan nafsu boleh berkurangan & lupus. Sekiranya perkahwinan yang anda lakukan itu di atas dasar iman, sudah pasti anda dan pasangan sedaya upaya menerangi rumah tangga dengan cahaya keimanan. Semakin kuat iman anda semakin erat hubungan anda suami isteri. Perkahwinan di atas dasar keimanan menjadikan anda dan pasangan bertanggungjawab sepenuhnya pada tugas-tugas yang diberikan dan disarankan oleh agama. Bagi pasangan yang berkahwin kerana nafsu dan cinta, ubah persepsi itu sekarang.
  2. Belajar Ilmu Perkahwinan - Berjaya mendapat sijil Kursus Perkahwinan bukanlah tanda yang anda kini sudah mampu menjadi suami dan isteri yang baik. Banyak lagi perkara yang perlu anda tahu tentang ilmu perkahwinan. Misalnya belajar dari orang yang lebih tua dan berpengalaman. Ketahui hukum-hukum syarak perkahwinan. Ikut petua-petua rumah tangga yang boleh diperoleh dari orang terdahulu.
  3. Niat - Simpan niat berkahwin hingga ke hujung hayat. Bukan hingga ke anak cucu shaja! Mohom pada Allah agar keharmonian rumah tangga anda kini berada dalam keadaan yang dirahmati.
  4. Campur tangan orang luar - Jika anda mempunyai masalah rumah tangga, jangan biarkan orang luar campur tangan. Tidak kira samada ahli keluarga, kawan-kawan atau sesiapa sahaja. Masalah keluarga biar anda dan pasangan yang selesaikan. Hal ini kerana tidak semestinya orang luar boleh menyelamatkan keadaan. Malah keadaan lebih merbahaya jika orang luar itu menyokong satu pihak sahaja. Berjumpalah dengan kaunselor keluarga jika masalah yang anda berdua hadapi tidak mampu diselesaikan bersama dan memerlukan orang ketiga. Kaunselor adalah orang yang paling sesuai kerana mereka mempunyai etika yang tidak bias kepada sesiapa.
  5. Keterampilan - Jangan salah anggap selepas menjadi suami atau isteri, kebersihan dan keterampilan diri tidak perlu dijaga. Sebaiknya apabila kita bergelar isteri atau suami, penampilan perlu lebih baik terutama apabila di hadapan pasangan. Jangan pula bila keluar anda bergaya, di rumah pakai apa yang ada!! Jaga keterampilan anda supaya sejuk mata pasangan memandang.
  6. Belajar tolong menolong - Jika dahulu, kebanyakan isteri tidak bekerja. Tugas sebagai surirumah memerlukan isteri membuat kerja rumah sendirian. Namun, atas desakan ekonomi pada masa kini menyebabkan isteri terpaksa turut serta mencari nafkah. Oleh kerana kerja isteri semakin bertambah, suami perlu menolong isteri melakukan kerja-kerja ringan di rumah. Misalnya membasuh baju, menyidai dan melipat. Atau tugas paling mudah suami boleh lakukan adalah menjaga anak semasa isteri sedang membuat kerja rumah. Sekiranya suami dan isteri mampu, upahlah pembantu. Pembantu rumah boleh menolong isteri menyelesaikan tugas-tugas di rumah tanpa rasa tertekan. Kurang stress akan mengurangkan ketegangan hubungan suami isteri.
  7. Intim - Jangan jadikan anak sebagai penghalang hubungan suami isteri. Sebaiknya, anak adalah penyambung kepada ikatan keintiman anda berdua. Pasangan yang kurang intim selalunya kurang memberi perhatian kepada pasangan. Kajian mendapati 60% pasangan yang bercerai adalah disebabkan masalah keintiman atau seks.
  8. Jaga Kesihatan - Kebanyakan masalah rumah tangga berpunca daripada masalah kesihatan. Kesihatan di sini bukan tertumpu kepada kesihatan fizikal sahaja tetapi lebih daripada itu seperti kesihatan mental dan emosi. Misalnya, masalah stress perlu ditangani segera. Elakkan dari dijangkiti penyakit yang membahayakan kesihatan khususnya yang berkaitan dengan seks. Banyak pasangan yang ingin bercerai disebabkan oleh masalah kesihtan, jadi jangan anggap masalah ini ringan.
  9. Kurangkan Syak - Jangan terlalu cemburu atau berprasangka pada pasangan. Cemburu, syak dan berprasangka hanyalah mainan minda yang mungkin tidak sama dengan realiti. Perasaan ini selalunya menjadi punca kepada pergaduhan, murung dan hilangnya kosentrasi terhadap tanggungjawab sebagai suami maupun isteri.
  10. Berpandangan Jauh - Ingat, perjalanan hidup anda jauh lagi. Pasangan bukanlah rakan anda untuk satu ketika sahaja tetapi teman yang akan duduk di sebelah anda dari hari anda bernikah sehingga ke hujung nyawa. Jika anda berpandangan sebegini, maka anda tidak mudah melakukan perkara-perkara yang menyakitkan hati pasangan.
  11. Cari Persamaan - Cari persamaan anda dan pasangan kerana persamaan ini dpat membantu anda dan pasangan terus mencintai antara satu sama lain. Begitu juga persamaan tingkah laku ketika bercinta dan selepas bergelar suami isteri. Jika sebelum berkahwin boleh bersuap-suapan ketika makan, mengapa kini tidak lagi? Jika dahulu suami akan memimpin tangan isteri semasa melintas jalan, kenapa kini berjalan jarak sebatu antara satu sama lain? Ingat kembali detik indah ketika bercinta dan wujudkan kembali detik itu walauun sudah menjadi pasangan yang sah dan sudah beranak-pinak.
  12. Bersyukur dan terima seadanya - Tidak bersyukur dengan apa yang ada pada pasangan adalah tanda-tanda mulanya rumah tangga bermasalah. Sana tak cukup...sini salah...situ kurang...dan sebagainya. Bahkan, jerawat tumbuh di atas hidung pasangan pun menjadi masalah besar. Mengapa perlu merungut? Sebaliknya, berterima kasih kerana anda dijodohkan dengannya kerana setiap pasangan itu mempunyai keserasian. Apa yang perlu anda lakukan adalah mencari di mana keserasian itu bersembunyi.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin