KESAN LETUPAN: Seorang wanita berjalan di hadapan
kedai yang rosak dalam dua serangan bom ke
atas peminat bola sepak Iraq di
Baghdad, kelmarin.
BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 58 orang terbunuh, manakala 90 lagi cedera dalam dua serangan bom ke atas peminat bola Iraq yang meraikan kejayaan pasukan itu melangkah ke separuh akhir Piala Asia, kelmarin.
Kegembiraan mereka bermula sebaik kemenangan Iraq ke atas Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti di Kuala Lumpur kelmarin, yang disusuli sambutan kibaran bendera, sorakan dan tembakan raifal ke udara di sekitar jalan raya Baghdad.
Malangnya, ketika majoriti rakyat Iraq hampir di seluruh pelusuk negara yang bergolak itu meraikan berita gembira berkenaan, penyerang melancarkan serangan menggunakan kereta sarat dengan bom di tengah-tengah kesesakan orang ramai.
Jurucakap tentera penceroboh, Amerika Syarikat yang berpangkalan di Baghdad, Kapten Dawn Williams, berkata sekurang-kurangnya 50 penduduk awam Iraq dan seorang anggota polis maut dalam letupan itu.
SIAP SEDIA: Pemain bola sepak Iraq menunggu
penerbangan ke Indonesia untuk meneruskan cabaran Piala
Asia bertemu Arab Saudi di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Sejumlah 18 kenderaan lain turut musnah.
Ada antara mayat itu berkemungkinan sudah dialihkan dari kawasan terbabit ketika anggota keselamatan Iraq memberikan angka kematian lebih tinggi.
Pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, 58 orang maut manakala sumber Kementerian Pertahanan pula mendakwa seramai 53 orang terbunuh.
Tidak jelas siapa bertanggung jawab walaupun ada pihak menyalahkan kumpulan Sunnah yang didakwa mencetuskan keganasan bagi menjejaskan pentadbiran disokong Amerika.
Sementara itu, petugas perubatan di hospital Kindi, Yarmuk dan Ibn Nafees sekitar Baghdad, melaporkan mengenai 126 mangsa cedera dalam serangan di Mansour dan Zayuna, kini dirawat. – AFP
No comments:
Post a Comment