SUNGAI PETANI: Hasrat Cheeng Chen Joo, 37, untuk melahirkan anak sulungnya di kampungnya di Sungai Petani tidak kesampaian apabila wanita yang mengandung lapan bulan itu maut bersama suaminya Teoh Kheng Song, 35, dalam kemalangan bas di KM 229 Lebuh Raya Utara Selatan di Bukit Gantang hari ini.
Pasangan yang baru berkahwin setahun itu dijangka menyambut kelahiran anak sulung mereka pada hari kebangsaan iaitu 31 Ogos ini dan mereka telah menempah tempat di sebuah pusat bersalin swasta di sini.
Cheeng, seorang pekerja kilang di Melaka, telah mengambil cuti untuk pulang dan beliau dijemput oleh suaminya yang bekerja di Sungai Petani dengan menaiki bas.
Menurut seorang anggota keluarga Teoh, yang enggan namanya disiarkan berkata, Teoh bertolak ke Melaka Sabtu lepas untuk menjemput isterinya itu dan pasangan itu akan tinggal lama di Sungai Petani kerana cuti bersalin.
"Teoh ada menghubungi seorang rakannya di sini malam tadi memberitahu dia dan isterinya dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani," katanya.
Beliau berkata apabila pasangan itu tidak sampai sehingga tengah hari, salah seorang anggota keluarganya menghubungi telefon bimbit Teoh dan beliau terperanjat apabila panggilan itu dijawap oleh orang yang tidak dikenali dan memaklumkan Teoh maut akibat kemalangan.
Di PULAU PINANG, isteri seorang mangsa kemalangan itu, Farhana Abdullah berkata kali terakhir beliau bercakap dengan suaminya ialah kira-kira pukul 9 malam tadi apabila suaminya, Nazri Noordin menghubungi beliau semasa berhenti makan di sebuah kawasan rehat dan rawat.
"Suami saya pesan supaya jaga anak-anak dan beritahu yang dia akan tiba awal pagi esok (hari ini). Dia juga minta untuk bercakap dengan anak ketiga, Nurul Fatihah dan beritahu Fatihah yang dia akan pulang cepat.
"Sampai pukul 7 pagi, dia masih belum tiba di rumah, jadi saya hubungi telefon bimbitnya tetapi tiada jawapan," katanya yang baru 23 hari melahirkan anak keempat mereka.
"Dalam pukul 8 pagi, saya telefon sekali lagi tetapi saya terkejut kerana telefon bimbit itu dijawab oleh suara yang tidak saya kenali. Orang itu bagi tahu yang suami saya meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi ini, tapi saya tak percaya," kata Farhana, 32, ketika ditemui di rumah ibu mertuanya di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, di sini.
Farhana, wanita Iban dari Kota Belut, Sabah itu berhijrah ke Pulau Pinang setelah berkahwin dengan Nazri kira-kira 12 tahun lalu dan pasangan itu dikurniakan empat orang anak iaitu Mohd Fitri, 11, Nurul Fatin, 10, Nurul Fatihah, 6, dan Mohd Nazrin Farha, 23 hari.
Beliau berkata suaminya yang bekerja di sebuah syarikat pengangkutan kargo di Bayan Lepas, pergi ke Melaka Jumaat lalu atas urusan kerja dan dijadual pulang hari ini.
Sementara itu, Nurul Fatihah, anak yang paling rapat dan mempunyai tarikh lahir yang sama dengan bapanya iaitu pada 25 Julai, berkata sebelum bertolak ke Melaka, bapanya ada memberitahunya bahawa beliau tidak akan balik lagi.
"Abah kata, abah nak pi (Melaka) dan abah tak balik dah," katanya.
Sementara itu, pemandu bas Rohizan Abu Bakar [foto kiri] yang turut terbunuh dalam kemalangan itu sempat berpesan kepada anak sulungnya supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjaga empat adiknya sebelum beliau keluar bekerja Sabtu lepas.
"Kamu jaga adik baik-baik dan belajar bersungguh-sungguh jika ayah tak ada... itulah pesanan ayah yang terakhir kepada saya sebelum dia keluar bekerja," kata Mohd Nor Ikhmal, 14, kepada pemberita ketika ditemui di rumah neneknya di kampung Permatang Tengah, Kota Kuala Muda, Sungai Petani.
Rohizan, 38, meninggalkan dua isteri Salina Shamsudin, 30, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Linda, 26, serta lapan anak iaitu lima daripada isteri pertama iaitu Mohd Nor Ikhmal, Mohd Fahmi, 12, Mohd Irwan, 9, Mohd Daniel, 5, dan Mohd Shakirin, 4, manakala tiga lagi daripada isteri kedua iaitu Mohd Hafifi, 5, Mohd Haikal, 3, dan Mohd Irfan, setahun.
Rohizan dikatakan baru dua tahun bekerja sebagai pemandu bas ekspres. Sebelum itu mangsa bekerja sebagai pemandu bas kilang di Pulau Pinang.
Di JASIN, seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Fadliz Ahmad, 22, tidak sempat menerima ijazahnya pada majlis konvokesyen yang dijadual Sabtu ini, apabila beliau terbunuh dalam kemalangan itu.
Bapanya Ahmad Ibrahim, 58, berkata Fadliz yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik dan Matematik) bertolak dari rumahnya di Taman Maju di sini, ke Melaka Sentral, Melaka pada pukul 8.30 malam untuk menaiki bas ekpres ke Butterworth.
"Fadliz ada menghantar SMS pada pukul 10.30 malam kepada abang iparnya (Mohd Zambri Abdullah) yang menghantarnya ke Melaka Sentral, beritahu dia telah naik bas," katanya.
Ahmad berkata Fadliz, anak keempat dari tujuh beradik, menaiki bas setiap kali pulang ke kampung atau ke universiti dan setiap kali allahyarham tiba di Pulau Pinang beliau akan telefon memberitahu keluarga bahawa beliau telah selamat sampai.
"Kali ini Fadliz tidak telefon sehinggalah anggota polis datang ke rumah saya pada waktu Zohor (tengahari) memaklumkan anak saya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Saya lewat tahu kerana televisyen di rumah saya rosak," katanya.
Ibu kepada allahyarham, Saadiah Salim, 50, pula berkata Fadliz seorang anak yang pendiam tetapi beberapa hari lepas anaknya banyak bersembang dengan keluarga dan turut membantu beliau memasak.
Beliau berkata selepas tamat belajar pada Jun lepas, anaknya bekerja sambilan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Petaling Jaya dan sempat menikmati gaji pertama.
Sementara itu isteri seorang lagi mangsa kemalangan itu, Hairiah Hashim, 37, berkata suaminya Josli Arshad, 39, kerap ke Sungai Petani untuk mengambil bekalan produk makanan kesihatan.
Beliau mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa suaminya melalui berita di televisyen sebelum anggota polis datang memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian tersebut.
"Pagi tadi, ketika saya sedang memandikan anak, tiba-tiba saya terbau wangi kapur barus, itu yang saya rasa pelik," katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampong Solok Gaung dekat sini.
Hairiah berkata beliau membuat panggilan telefon sebanyak lapan kali kepada suaminya pada pagi tadi tetapi tiada jawapan.
"Biasanya suami saya akan jawap panggilan telefon apabila sampai di sesuatu destinasi, tetapi hari ini beliau tidak menjawab," katanya.
Sementara itu, seorang pensyarah di Institut Kemahiran Mara, Kulim, Kedah, Razali Khamis, 29 terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan kedua ibubapanya yang terkorban dalam nahas jalan raya itu.
Kehilangan dua orang tersayang iaitu ibu, Zaiton Majid, 56, dan ayahnya, Kamis Said, 62, yang menaiki bas berkenaan dari Melaka untuk berkunjung ke rumahnya di Sik, Kedah.
"Petang semalam emak menelefon saya dan memberitahu akan menaiki bas kira-kira pukul 10.30 malam tadi bersama-sama ayah. Saya sangat gembira kerana mereka akhirnya dapat juga datang ke rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di bilik mayat Hospital Taiping di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua ibu bapanya memang telah lama bercadang ke rumah beliau tetapi tidak berkesempatan kerana ada hal lain yang perlu dilaksanakan.
"Saya sangat terkilan dan sedih kerana mereka tidak sempat sampai ke rumah saya setelah sekian lama berhajat untuk datang ke rumah saya," katanya.
Razali yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik, berkata jenazah ibubapanya akan dibawa balik ke kampung mereka di Masjid Tanah, Melaka untuk disemadikan di sana dan semua anggota keluarga sudah berkumpul di rumah menanti ketibaan jenazah.
Sementara itu, Shahair Saad, 29, kehilangan isteri tercinta Sharul Miza, 27, yang menaiki bas tersebut dalam perjalanan balik ke Sungai Petani selepas selesai berkursus di Melaka.
Sharul Miza bekerja di Perodua, Sungai Petani dan mengikuti kursus di Melaka selama seminggu.
Gambar-gambar Kemalangan Yang Paling Buruk Dalam Sejarah
Posted on Tuesday, August 14 @ 02:22:45 MYT by greenboc
Kemalangan yang mengorbankan seramai 20 orang manakala 10 yang lain cedera, tiga daripadanya parah, yang melibatkan sebuah bas ekspres di KM 229 Lebuhraya Utara Selatan, di Bukit Gantang amat menyayatkan hati.
Bas itu yang membawa 29 orang, termasuk pemandu dan pembantu pemandu, dalam perjalanan dari Melaka ke Butterworth. TKo membawakan kepada anda foto-foto kemalangan yang diperolehi dari Miltidimid.
Peta lokasi Bukit Gantang di mana kemalangan berlaku
Orangramai yang melihat lebuhraya yang menurun dan
berliku-liku yang memrlukan perhatian dan kewaspadaan yang lebih.
Parit yang sedalam 5 meter di mana bas tersebut
terhunjam setelah merempuh penghadang jalan sebelah kiri.
Keadaan bas yang terhunjam di dalam parit berkenaan yang mencampakkan keluar penumpang-penumpangnya.
Anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan kren bagi mengangkat bas itu yang dalam keadaan senget untuk mengeluarkan mayat penumpang yang tersepit.
Mayat-mayat bergelimpangan yang dikumpulkan di pagi
hari kemalangan sebelum bag-bag pembungkus mayat tiba
Lagi mayat-mayat yang masih belum dibungkus.
Mayat yang telah siap dibungkus untuk dibawa ke Hospital
Taiping yang terletak kira-kira 20km dari tempat kejadian.
Mengumpulkan mayat untuk dibawa ke atas trak.
Anggota Bomba dan penyelamat dengan dibantu oleh polis
menaikkan 19 mayat ke atas trak.
Menteri pengangkutan tiba ke tempat kejadian
Al Fatihah...
Mereka telah selamat pergi... Kita akan pasti menuruti samada dijangka atau tidak!!! Begitulah KeteNtuaNnya...
Sedih, mangsa nahas dilabel 'Mati Sia-Sia'
Muhammad Shafiq Tue | Aug 14, 07 | 01:14:02 PM | |
Saya tersangat kesal dan sedih membaca sebuah akhbar yang melaporkan tragedi bas terhumban ke gaung di Bukit Gantang dengan tajuk ‘MATI SIA-SIA’. Wartawan nampaknya tidak peka dengan penanggungan keluarga mangsa. Adakah wajar diletakkan tajuk besar ‘Mati Sia-Sia’? Kita tidak tahu bagaimana kemalangan berlaku. Ia sudah suratan takdir. Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Mungkin pemandu sudah membuat yang terbaik, tetapi tayar pecah misalnya, jadi bas terbabas dan terhumban. Penumpang pula ada yang dalam perjalanan untuk melakukan sesuatu yang bagus seperti pergi kerja mencari nafkah, menuntut ilmu, berjumpa anak isteri dan sebagainya. Mereka dalam perjalanan yang direstuai Ilahi. Jadi, amat tidak kena untuk menggunakan tajuk besar MATI SIA-SIA (sama dengan peribahasa MATI KATAK). Apa kata kalau mangsa kemalangan membabitkan keluarga mangsa wartawan yang menulis tajuk besar itu? Tentulah dia bertambah sedih apabila ahli keluarganya dilabel mati sia-sia. Wahai wartawan, ada perasaanlah sikit, jangan ikut sedap tangan, menulis apa saja disukai. Selain akhbar Melayu, sebuah akhbar Inggeris pula dengan sewenang-wenangnya melaporkan tragedi ini berlaku pada hari pertama sambutan Hantu Lapar. (Hungry Ghost Festival). Maka wartawannya pun menulis lebih kurang begini: Kejadian berlaku pada hari pertama sambutan Hantu Lapar di mana roh-roh berkeliaran mencari mangsa. Tulisan dan dakwaan seperti ini tentu mengelirukan kerana ada pembaca beragama Islam. Dakwaan seperti dikhuatiri boleh menjejaskan akidah mereka yang kurang kefahaman agama. Pegawai-pegawai bertanggungjawab, tolonglah pantau apa yang ditulis oleh akhbar-akhbar ini. Jangan akhbar alternatif saja dicari kesilapan, akhbar arus perdana dibiarkan bermaharajalela dengan dakwaan tidak betul dan menyalahi akidah! – lanh |
No comments:
Post a Comment