Terburuk: 20 maut dalam nahas bas ekspres
13-08-2007 08:20:38 PM
TAIPING: Seramai 20 orang terbunuh manakala 10 yang lain cedera, tiga daripadanya parah, apabila sebuah bas ekspres terbabas sebelum terjunam ke dalam sebuah parit di KM 229 Lebuhraya Utara Selatan, di Bukit Gantang dekat sini hari ini.
Kesemua 20 mangsa termasuk pemandu bas dan dua lelaki, dipercayai rakyat Indonesia, terbunuh di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira 4.30 pagi tadi.
"Ini kemalangan paling buruk dalam sejarah negara," kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy kepada pemberita sejurus selepas melawat tempat kejadian dan menziarah mangsa yang dirawat di Hospital Taiping.
"Tiga mangsa telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping, enam dimasukkan ke wad dan hanya seorang sahaja cedera ringan dan menerima rawatan pesakit pesakit luar. Ini kemalangan yang sangat serius," katanya.
Polis sedang mengenal pasti 19 mayat, ditemui terbunuh di tempat kejadian, yang telah dialihkan ke atas jalan raya berdekatan kawasan kemalangan. (foto The Star oleh Saiful Bahri)
Bas itu yang membawa 29 orang, termasuk pemandu dan pembantu pemandu, dalam perjalanan dari Melaka ke Butterworth.
Menurut jurucakap polis, kemalangan ngeri itu berlaku semasa bas ekspres "Super" itu sedang menuruni bukit sebelum terbabas, merempuh penghadang jalan sebelah kiri dan terjunam ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter.
Jurucakap polis itu berkata kebanyakan penumpang maut berikutan bas ekspres itu remuk dan bumbungnya tercabut, mengakibatkan ada penumpang tercampak dan sebahagiannya tersepit di dalam bas itu.
Anggota bomba dan penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu berjaya mengeluarkan sebahagian penumpang yang cedera dan memberikan rawatan kecemasan sebelum menghantar mereka ke Hospital Taiping yang terletak kira-kira 20km dari tempat kejadian.
Bomba juga terpaksa menggunakan kren bagi mengangkat bas itu yang dalam keadaan senget untuk mengeluarkan mayat penumpang yang tersepit.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Raja Musa Raja Razak memberitahu pemberita di sini identiti kesemua mangsa sedang disiasat kerana dokumen pengenalan diri mereka bertaburan di tempat kejadian. [ Lihat: Senarai mangsa nahas dekat Bukit Gantang ]
Bas ekspres tersebut tiada bumbungnya lagi selepas berjaya dikeluarkan dari kawasan tragedi terburuk sejarah kemalangan jalan raya . (foto The Star)
Ini nahas bas ekspres paling buruk di negara ini selepas kejadian ngeri yang mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan 28 penumpang apabila dua buah bas bertembung di Jalan Kuala Lipis-Merapoh, Kuala Lipis, Pahang pada November 2003.
Menteri Pengangkutan berkata siasatan awam mendapati kemalangan hari ini dipercayai akibat kecuaian manusia.
"Punca kejadian daripada siasatan awal adalah kecuaian manusia tetapi ia belum dapat dipastikan. Siasatan terperinci telah dimulakan oleh semua jabatan dan agensi terbabit seperti polis, bomba dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan)," katanya.
Beliau berkata siasatan akan dijalankan bagi mengetahui aspek kesihatan pemandu yang kemungkinan keletihan, mengantuk atau membabitkan penggunaan dadah.
Siasatan terperinci itu turut melibatkan keadaan struktur bas dan reka bentuk jalan, katanya.
Chan berkata bas yang terlibat dengan nahas itu telah didaftarkan pada 1987 dan dimiliki oleh Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Sdn Bhd dari Taiping.
"Bas ini sudah berusia 20 tahun. Bas telah diperiksa dan mendapat kelulusan Puspakom pada Mei lepas," katanya.
Chan berkata bas berkenaan bertolak dari Melaka kira-kira 10.30 malam tadi dan telah melakukan perjalanan kira-kira 400 kilometer.
"Bas ini mempunyai pemandu dan pembantu pemandu. Kita akan siasat sama ada pertukaran pemandu telah dilakukan kerana mengikut peraturan, pertukaran perlu dibuat selepas perjalanan lebih dua jam," katanya.
Chan juga berkata beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai nahas tersebut.
"Perdana Menteri telah mengarahkan tindakan segera diambil bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini," katanya.
Chan berkata kementerian akan melaksanakan segera beberapa program meningkatkan keselamatan jalan raya yang telah dirancang sebelum ini seperti cadangan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang kenderaan persendirian.
Sementara itu, operasi mengeluarkan semua mayat yang terperangkap dalam bas itu mengambil masa kira-kira tiga jam.
Pasukan bomba terpaksa mendapatkan bantuan kren untuk mengangkat bas sebelum mengeluarkan mayat yang tersepit dan terperosok.
Pegawai penguatkuasa Balai Bomba Taiping Mazlan Zainal berkata anggota bomba dari Taiping dan Kuala Kangsar tiba di tempat kejadian kira-kira 4.50 pagi.
Beliau berkata pasukan itu telah mengeluarkan mangsa yang cedera daripada bas sebelum dibawa dengan ambulans ke Hospital Taiping.
PLUS turut menutup lorong sebelah kiri lebuh raya bagi membolehkan operasi mengeluarkan mangsa dijalankan. BERNAMA
Berita berkaitan:
Saksi: Bas dipandu laju
Pemandu bas terima 13 saman, dua waran tangkap
Senarai mangsa nahas bas ekspres
Berita berkaitan:
Saksi: Bas dipandu laju
Pemandu bas terima 13 saman, dua waran tangkap
Senarai mangsa nahas bas ekspres
No comments:
Post a Comment