adsense

18 August, 2007

Ibu Azlina mohon umat Islam doa, solat hajat buat anaknya




Ibu Azlina Jailani (Lina Joy) merayu umat Islam seluruh negara supaya terus melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya anaknya itu kembali semula ke pangkuan Islam.

Berucap dalam keadaan sedu sedan dan suara tertahan-tahan ibu Azlina yang uzur itu dengan menitiskan air mata berharap sangat supaya anaknya itu kembali kepangkuan Islam.

“Sebagai ibu, saya merasa sangat sedih dengan keadaan yang berlaku kepada anak saya itu,” katanya di Forum Islam dan Cabaran Masa Kini di Malaysia’ anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) yang dihadiri oleh beribu-ribu umat Islam di Majlis Al-Falah USJ 19 Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kata ibu Azlina, dia sendiri tidak tahu di mana anaknya itu berada sekarang kerana beliau hanya berjumpa anaknya lebih setahun lalu.

Forum tersebut disertai oleh Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz, Azmi Abd Hamid (Teras) sebagai pengerusi, Yusri Mohd (Abim), Zainur Zakaria (Peguam Pembela Islam), Prof. Dr. Abd Aziz Bari (pensyarah undang-undang), Dato’ Mustafa Ma (Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia). Turut berucap peguam Pawanchik Marican.

Bapa saudara Azalina yang turut berucap di majlis tersebut memberitahu bahawa sudah banyak usaha dilakukan oleh keluarga dan pelbagai pihak untuk mengembalikan Azalina kepangkuan Islam, tetapi setakat ini belum berjaya. Bagaimanapun usaha ini perlulah diteruskan.

Katanya, Azalina, dibaptiskan di ebuah gereja di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.

Bagi pihak keluarga Azlina, katanya, beliau mengucapkan terima kasih terhadap umat Islam yang selama ini berdoa dan menyatakan simpati kepada keluarganya.

Yusri dalam ucapannya berkata, keputusan mahkamah baru-baru ini yang tidak membenarkan nama Islam dipotong dalam kad pengenalan Azlina memang disambut baik. Namun katanya, cabaran belum berakhir dan kita akan terus menerus berusaha supaya Azlina akan kembali kepada Islam.

Zainur Zakaria yang berucap dengan suara tegas berkata, kini umat Islam dicabar sedemikian rupa, justeru itu umat Islam mestilah waspada dan berusaha keras memelihara akidah dan mempertahankan kemuliaan agama Islam dari dicabar.

Dato’ Mustafa Ma pula mengingatkan umat Islam supaya mengertikan benar-benar tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah dan mematuhi semua hukum-hakam Islam.

“Kita semua adalah Abdul Allah, iatu hamba Allah dan mestilah mematuhi perintah Allah. Memang tidak ada paksaan seseorang memeluk Islam, tetapi apabila menganut Islam, mereka mestilah mematuhi sepenuhnya hukum Islam dan tidak semudah itu boleh keluar masuk Islam,” katanya,

Prof Dr Abdul Aziz Bari mengingatkan umat Islam supaya mengkaji sedalam-dalamnya segala tafsiran mengenai Islam dalam Perlembagaan Malaysia supaya mereka benar-benam mengetahui kedudukan agama Islam di tanah air kita.

“Umat Islam kini sedang menghadapi cabaran berat, dari itu kita mestilah sentiasa waspada dan berusaha mempertahankan Islam,” katanya.

Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz pula mengingatkan umat Islam, khususnya para ibu bapa supaya mengawasi benar-benar anak-anak remaja mereka, mengawasi kawan-kawan mereka, pergaulan mereka, kenalan mereka dan memberikan didikan agama yang sempurna kepada mereka supaya remaja mereka tidak terjebak dengan perangkap musuh Islam.

Ibu Azlina yang datang bersama keluarganya sentiasa dikerumuni para jamaah, menyatakan sipmati terhadap apa yang dialaminya dan keluarganya.

Selepas majlis forum tersebut, para hadirin menunaikan solat hajat berimamkan Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin