ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
18 August, 2007
KERANA SATU KLIK MALAPETAKA BERTERUSAN DITERIMA HINGGA HARI KIAMAT
Oleh: Ismail Abu Bakar
Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan email hampir
ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga kerajaan
termasuk kepada pelajar-pelajar di kolej dan universiti. Kemudahan
internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah
menyebabkan kemudahan email ini menjadi semakin popular.
Pernahkah kita terfikir dengan satu KLIK sahaja akan menyebabkan
mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari
kiamat.
Apa yang penulis akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadis
Sahih berikut.
Mafhumnya::
Ibnu Masud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. : Tiada suatu jiwa
yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama
dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia
yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.(Diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil
terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin
dengan kembarnya yang lebih cantik.
Mafhumnya:
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang
mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala
(sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun
dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka
menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak
mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun. (Diriwayatkan oleh Imam
Muslim)
Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan
berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita
ambil iktibar dari kisah berikut.
Zack baharu tamat belajar di sebuah universiti kemudian di terima
bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan
komputer, alamat email dan internet akses bagi memudahkan urusan kerja
seharian.
Zack mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui email setiap
hari. Masa lapang Zack diisi dengan melayari laman web lucah.
Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu
kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui email.
Dia mempunyai email group dan ada 50 alamat email kawan-kawannya di
dalam emailgroup tersebut. Sekali menghantar email, dia akan
menghantar kepada emailgroup tersebut.
Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula email yang
diterima daripada rakan yang lain ke emailgroup. Di antara kandungan
email itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video
klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam
periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya
adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan
melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam
Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Zack terlibat dengan
kemalangan jalan raya dan kembali kerahmatullah di tempat kejadian.
Di dalam Islam telah sepakat ulama bahawa hukum melihat gambar-gambar
lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram
serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya.
Untuk memudahkan kefahaman, katakan Zack telah mendapat satu dosa
kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar
tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui email. Kesemua
kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan
Zack maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap
kawannya itu juga diberikan kepada Zack jadilah sekarang dosa Zack
1+50 = 51.
Setiap kawan-kawan Zack itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10
orang lagi, maka sekarang dosa Zack akan bertambah lagi menjadi
1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi
kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Zack menjadi
1+50+500+5000=5551. Begitulah seterusnya.
Zack telah meninggal dunia, email nya masih lagi tersebar, maka akan
berterusanlah dia mendapat dosa selagi email itu berlegar di ruang
cyber hingga hari kiamat.
Begitulah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang berlaku kepada
Qabil, setiap jiwa yang mati dibunuh kerana hasad dengki manusia, maka
dosa membunuh itu akan juga sampai kepada Qabil hingga hari kiamat.
Bayangkanlah berapa ramaikah jiwa yang telah kena bunuh dengan zalim
sejak dari zaman nabi Adam hingga sekarang? Dan berapakah dosa yang
terpaksa ditanggung oleh Qabil di akhirat kelak?
Berbalik kepada kisah Zack, katakan sebelum meninggal dunia, Zack
telah sempat bertaubat, insyaAllah dosa manusia terus dengan Allah,
seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan
tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan
tersebut mengampunkan kita. Zack telah menyebarkan perkara yang
menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak mintak ampun
dengan semua yang menerima email tersebut? Selagi mereka semua tidak
mengampunkan Zack maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga
kiamat kelak.
Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali
klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita.
Sebab itu setiap kali apabila kita menerima email, hendaklah
berhati-hati, jika kandungan email itu adalah gambar lucah atau yang
mengaibkan seseorang muslim lain atau sesuatu fitnah hendaklah segera
dibuang dan jangan ada sedetik pun didalam hati untuk seronok dengan
benda yang haram bagi mengelakkan kita dan pengirim dari berdosa.
Yang sebaiknya jika yang diterima itu haram, nasihatkanlah pengirim
supaya bertaubat dan berhati-hati di masa-masa akan datang.
Sebaliknya jika kita menyebarkan perkara-perkara yang baik dan diredai
oleh Allah SWT yang pastinya ganjaran pahala yang di terima pasti
mencurah-curah selagi ia masih terus di sebarkan.
Wallahhualam
*Sampaikan kepada teman-teman supaya tidak menjadi seperti Zack
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment