| Peniaga Melayu Suria KLCC ucap 'Salam Terakhir' | 
| Saturday, 01 September  2007 | |
| KUALA LUMPUR: Peniaga bumiputera yang berniaga di Suria  KLCC menyambut Hari Kemerdekaan ke-50 hari ini dengan mengucapkan ‘Salam  Terakhir’ kepada dua sahabat yang akhirnya terpaksa menghentikan perniagaan di  gedung beli-belah itu. Ini menjadikan jumlah peniaga bumiputera yang masih kekal di KLCC tidak  sampai sepuluh orang dan jumlah itu dijangka semakin berkurangan kerana tekanan  yang diberikan oleh pengurusan Suria KLCC yang diketuai pengurus asing. 
 Pemilik premis Kelantan Delights, Juhaidi Yean Abdullah ketika dihubungi  berkata, dia telah menyerahkan kunci kepada pengurusan Suria KLCC semalam dan  tidak tahu kepada siapa lagi harus diadukan masalahnya itu. “Ya, saya sudah serah kunci mata pencarian saya semalam, dan hari ini saya  menyambut Hari Kemerdekaan ke-50 negara dengan penuh rasa bingung. “Rasanya tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan kerana akhirnya sebuah  restoran Korea akan menggantikan Kelantan Delights yang menyajikan masakan  negara sendiri,” katanya. Beliau menambah, tiada apa lagi yang boleh dilakukan kerana dia tidak  ditawar mana-mana lot ganti tetapi diminta untuk menutup sahaja premis yang  dibuka sejak 10 tahun lalu. “Sayang kerana terpaksa melepaskan sesuatu yang kita sendiri tidak tahu  mengapa. “Entah bila peniaga bumiputera akan sampai ke tahap ini kerana tekanan  pengurusan menjadikan semua orang ‘takut’ untuk mengambil risiko berniaga di  KLCC,” ujarnya. Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah menyiarkan rasa tidak puas  hati kira-kira 12 peniaga bumiputera di Suria KLCC yang semakin tertekan apabila  pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal itu menaikkan sewa tapak lebih 50  peratus setiap tiga tahun. Menurut laporan itu, selain sewa dinaikkan pada kadar yang terlalu tinggi,  peniaga terbabit juga diberi notis berpindah ke lokasi lain selain diminta  membuat pengubahsuaian konsep dan pelbagai alasan yang tidak munasabah oleh  pihak pengurusan. Kadar penutupan premis perniagaan bumiputera adalah sekitar tiga unit  setiap tahun sama ada kerana diberi notis keluar atau dibebani kenaikan sewa  yang melampau Sementara itu, pemilik premis Levi’s-Dockers, Muhd. Redha Ahmad berkata,  premisnya di tingkat bawah juga sudah ditutup dan terpaksa berpindah ke bahagian  atas yang jelas akan menyebabkan hasil jualannya menurun. “Sudah puas saya ‘berjuang’ namun akhirnya saya akur dengan keputusan ini.  Saya akan membuka premis yang sama tetapi di tingkat tiga dalam masa kurang  daripada dua minggu,” ujarnya. Utusan | 

 
 
No comments:
Post a Comment