adsense

02 February, 2008

Memulihkan sayang yang pudar



Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Perhubungan suami isteri mempunyai banyak cabarannya. Ada kala suka, ada kala duka. Namun kebijaksanaan kedua-duanya mengatasi segala-galanya. Jika bijak menanganinya maka rumah tangga itu akan bahagia tetapi jika sebaliknya, maka berantakan.

Bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga suami isteri harus sama-sama tahu bagaimana untuk mengukuhkannya. Sekiranya kasih sayang nampak semakin pudar, cepat-cepatlah pulihkannya.

Ini kerana jika dibiarkan, akan terus melarat sehingga mendatangkan masalah yang boleh meruntuhkan bahtera perkahwinan itu.

Teringat kisah seorang kawan yang sedang menghadapi krisis dengan suaminya iaitu Noraini (bukan nama sebenar) dan suami, Ismail (bukan nama sebenar).

Menurut Noraini, mereka tidak bergaduh tetapi dia cuma berasa suaminya tidak menyayanginya lagi. Namun begitu Ismail masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai ayah kepada dua orang anak.

Masalah di sini, Noraini merasakan bahawa agak sukar untuknya menjadi isteri yang terbaik kepada Ismail apabila kasih sayang itu tidak diperoleh.

Kata Noraini, Ismail cuma mahu dirinya bertindak sebagai ibu kepada anak-anaknya dan bukannya sebagai wanita, isteri dan rakan karib.

Namun, Noraini yakin Ismail masih menyayanginya dan sayangnya pada suami juga masih kental seperti awal perkahwinan, cuma masing-masing tidak pandai untuk meluah atau membajai kasih sayang tersebut membuatkan ia semakin pudar.

Inilah antara asam garam kehidupan rumah tangga yang sentiasa berada dalam ranjau dan duri, jika tidak dibaja oleh perasaan dan ikatan yang ada sebaik mungkin, maka ia akan layu dan gugur ke tanah.

Bagi membantu Noraini dan wanita lain yang mengalami nasib sama, berikut beberapa tip yang mungkin boleh memulihkan semula rumah tangganya yang semakin pudar supaya bahagia dan sejahtera.

Apa yang anda boleh dilakukan

Ø Luahkan masalah yang selama ini dipendam, pilihlah masa yang sesuai untuk berbincang mengenainya.

Ø Sentiasa mendengar apabila suami bercakap, jangan sesekali memotong atau menyampuk percakapannya. Jadi teman mendengar yang setia.

Ø Mendahulukan keperluan dan permintaan suami daripada kehendak pihak lain sekali pun anak atau saudara mara.

Ø Menjauhi kata-kata dan tingkah laku yang boleh menyinggung perasaan suami.

Ø Bercuti atau menghabiskan masa berdua tanpa anak-anak bagi mengeratkan perhubungan suami isteri.

Ø Berhias dan memakai bau-bauan untuk suami.

Ø Berbicara dengan nada lembut dan baik ketika bersama suami.

Ø Pamerkan wajah riang dan senyuman manis ketika suami pulang.

Ø Tunjukkan gambar-gambar di saat gembira terutama pada hari perkahwinan dan percutian bersama- sama anak-anak.

Ø Berusaha untuk melayan suami mengikut kegemaran dan kesukaannya sama ada dari segi makanan dan keperibadian.

Ø Ketika suami sedang marah, isteri perlu mendiamkan diri kerana akan meredakan kemarahannya dan menghindari daripada pertengkaran.

Ø Tidak mudah merajuk dan mengeluh tetapi haruslah bersabar terutama ketika hati disakiti oleh suami.

Ø Selalu berdoa kepada Allah supaya kasih sayang berpaut dan suami kembali kepada kita.

Ø Fikirkan kebaikan pasangan selama ini. Jangan cari kelemahan tetapi keistimewaan yang ada padanya sehingga jatuh cinta kepadanya dahulu. Ini akan menimbulkan kembali kasih sayang yang mendalam terhadap pasangan.

Wanita ibarat bidadari dalam rumahtangganya…..

No comments:

Blog Widget by LinkWithin