Terdapat sepotong hadith yang amat digeruni oleh sesetengah pihak hinggakan mereka sanggup mengeluarkan pelbagai helah termasuk memalsukan fakta serta memutarbelitkan kesahihan maksud supaya tidak terkena pengertian hadith tersebut kepada mereka.
Hadith yang saya maksud itu adalah hadith yang popular disebut sebagai “hadith Najd”.
Sebelum saya teruskan penghujahan ini izinkan saya maklumkan kepada para pembaca sekelian bahawa saya bukan seorang ustaz mahupun seorang “protaz” yang mahir bab hadith. Apa yang saya cuba tulis hanyalah semata-mata setakat kadar kemampuan orang umum seperti saudara semua yang mampu untuk berfikir serta meneliti fakta yang ada secara akademik.
Saya tidak mengulas dari aspek Fiqh dan Syariah yang cukup kemas telah dihujahkan oleh ilmuan Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pendekatan saya lebih kepada “common-sense” menurut fakta geografi dan yang berkaitannya.
Hadith dari Sahih Bukhari tersebut adalah seperti berikut (terjemahannya):
Ibn 'Umar meriwayatkan bahwa Nabi s.a.w. berdoa, “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Baginda (terus) berdoa: “Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Syam kami, Ya Allah Ya Tuhanku! Berkatilah negeri Yaman kami”. Mereka (para Sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah! (Doakanlah) juga untuk negeri Najd kami”. Aku agak pada (permintaan) yang ketiga Baginda bersabda: “Padanya (Najd) (berlaku) gempa bumi, fitnah dan tempat terbit tanduk syaitan”
Hadith tersebut dengan jelas menyatakan bahawa tiada apa yang boleh diharapkan dari Najd kecuali mala petaka dan fitnah yang dahsyat serta tempat keluarnya tanduk shaytan.
Bagi menjustifikasi tempat yang dimaksudkan dalam hadith tersebut bukan terkena kepada kepada mereka yang gerun dilabel dari pengikut ajaran berasal dari Najd, mereka akan cuba mencari helah serta memalsukan fakta agar Najd itu diterjemahkan sebagai terletak di Iraq bukan di Hijaz Arab.
Bagi orang-orang arab dari zaman dahulu lagi, Najd memang difahami bahawa ianya ialah tanah tinggi sebelah timur Madinah di tengah-tengah Hijaz. Dan sememangnya terdapat tempat yang bernama sedemikian sejak dari zaman itu lagi. Malah di zaman Rasulullah s.a.w. telah pun berlaku Peperangan Najd pada tahun 4H.
Najd terletak di timur Madinah al Munawwarah
Dalam banyak hadith lain, Najd itu disebut sebagai terletak di sebelah timur Madinah. Dan sememangnya jika dilihat kedudukan koordinat geografi, Najd/Riyadh terletak pada 2443N 04644E, manakala Madinah terletak pada 2433N 03942E. Kedudukan Riyadh/Najd hampir pada garis darjah latitude yang sama (beza 10 minit sahaja – bukan ukuran waktu tetapi ukuran latitude) dengan Madinah betul-betul sebelah timur.
Helah yang digunapakai bagi mereka yang gerun dengan hadith ini ialah mereka mengatakan bahawa Iraq sememangnya di sebelah timur. Tetapi yang sebenarnya, latitude yang paling rendah bagi Iraq ialah sekitar 3040N (kota Basrah). Baghdad pula 3340N.
Dengan kedudukan latitude sedemikian, Iraq terletak di antara 0 – 40 darjah ke utara Medinah. Bukan timur. Kalau nak dikatakan timur, ianya sepatut disekitar 90 +/- 20 darjah dari Medinah.
Saya petik di sini pemalsuan fakta yang dilakukan seorang yang bergelar ustaz dalam sebuah artikel beliau “Maksud Najd”:
“Dari sudut geografi pula, kawasan Najd yang meliputi daerah Hijaz dan Al-Yamamah (tempat lahir Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab) secara tepatnya terletak di sebelah Timur Makkah, dan bukannya di sebelah Timur Madinah. Justeru oleh kerana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengisyaratkan bahawa fitnah itu datang dari sebelah Timur Madinah, maka ia sudah tentu bermaksud negeri Iraq kerana ia sememangnya terletak pada arah yang berkenaan. Dengan mengambil kira tafsiran daripada keseluruhan riwayat hadith, penjelasan para ulama, asal usul bahasa, geografi dan realiti sejarah, maka sahlah bahawa perkataan Najd yang dimaksudkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadith itu ialah negeri Iraq dan kawasan persekitarannya yang turut merangkumi negeri Iran pada masa kini.”
Bandingkan fakta geografi yang beliau kemukakan dengan apa yang telah saya perturunkan di atas. Cari di mana kedudukan Mekah dan Medinah dan bandingkan dengan kedudukan Riyadh/Najd dan Iraq. Bagaimana pula Riyadh/Najd boleh dikatakan terletak di timur Mekah?
No comments:
Post a Comment