Faisal Tehrani Wed | Jul 18, 07 | 03:35:44 PM | |
(Edisi khas Milla Margono sempena meraikan 'stupid debate' Kolej Kediaman ke-12 Universiti Malaya. Ya Rabbi, sejak kami keluar dari UM inikah generasi yang mendiami kubu intelektual ini!) ADA seorang teman Milla, namanya entah apa. Selalu benar bila berbahasa melayu itu dipelat-pelatkan seolah-olah tak berapa nak jelas jati diri bangsanya. Padahal, temannya itu orang Jempol Negeri Sembilan. Alasan temannya itu ialah kerana dia berdarah minang, tionghua, India dan arab juga. Aneh sungguh, bak kata Milla, melayu manalah di Malaysia ini yang tidak ada darah campur mengalir dalam pembuluh darahnya. Tetapi elok sahaja berbahasa ibunda. Mak Ungku dan pak Ungku Aziz itu lebih pekat darah Turkinya tapi elok saja jadi melayu. Sebenarnya teman Milla itu tidaklah matang pun, budak sahaja lagi. Baru berusia 20 tahun agaknya. Tetapi entah siapa yang salah kita pun tidak tahu. Dia sungguh mengagungkan budaya yang bukan budaya diri sendiri. Memanglah zaman beredar, masa berubah tetapi nilai-nilai tradisional yang baik mesti dipertahankan kerana nilai-nilai itu telah terbukti berjaya. Macam takkanlah kerana zaman sudah berubah dan dunia sudah moden, maka kita boleh kurang ajar dengan mak bapak? Teman Milla itu selalu berbual-bual dengan bahasa Inggeris yang tak cukup makan. Bila nampak dari jauh sesiapa yang beri salam, macam tak suka pula tapi kalau laung dari jauh, how are you, you look gorgeous, thank you, oh my God you are so beautiful, not very muchlah… Mak oiii, kalau ya pun nak kebaratan takkanlah nak tanggalkan semua daki berkarat di badankan? Milla memang macam tak masuk sedikit dengan budak itu. Dia buat-buat macam pandai dan intelektual bercakap tentang isu penjajahan dan betapa Barat menggunakan budaya mereka untuk menyerang bangsa Timur. Tetapi alahai nampak macam pandai tapi berderai. Milla bukan konservatif maut, Milla bukan tradisionalis ekstrim atau jenis ortodoks. Milla sederahana, macam yang pernah saya ceritakan dulu, dia seimbang. Milla misalnya hormat dengan penyanyi senior Anita Sarawak. Selain disiplin tinggi, selangit sejulang mana pun kak Nita sungguh rendah diri. Dia duduk bertahun-tahun di luar negara tetapi tak hilang bahasa dan budinya. Masih makan belacan dan bila ditanya tentang pengharaman Botox, kak Nita kata haram baguslah buat apa nak lawan sebab yang eloknya perempuan Melayu gunakan akar-akar kayu! Milla seimbang, dia tak melenting tiba-tiba, kalau ada usaha nak malukan bangsanya, melayu-jawa, memang Milla akan berang. Teman Milla yang masih budak itu sebetulnya macam keliru sebab kawan dengan orang yang salah. Kawan-kawan budak itu ada kaki syabu, ada lelaki tak cukup sifat, ada minah ronggeng dan macam-macam lagi. Mungkin mak atau bapak budak itu pula percayakan anaknya habis-habisan. Ada orang menyampaikan yang anaknya duduk cium-cium mulut dekat gerai nasi lemak Taman Greenwood pun dia anggap fitnah, padahal orang di Medan Selera itu rasa mual dan rasa macam nak muntah. Semoden mana pun masyarakat kita, bak kata Milla, masih ada kriteria moral yang tunggal untuk digunapakai. Garis panduan moral itu ialah samada adat, tradisi atau agama. Dalam agama Buddha sekalipun ada garis panduan supaya umatnya tidak berbuat perkara jenayah. Dalam agama Kristian sekalipun ada dorongan untuk melakukan yang baik. “Kau tahu budak itu macam bangang pulak aku tengok. Dia nak ikut moral mana? Moral Hollywood? Kau tahu bila Janet Jackson terlondeh baju sebelah dan terdedah separuh dadanya dalam satu konsert dengan Justin Timberlake, masyarakat Amerika mengecamnya. Filem tak bermoral macam Brokeback Mountain meski baik dari segi struktur filemnya tetap tak dapat filem terbaik berbanding Crash yang mereka rasakan lebih tidak memberi mudarat dari segi moral. Satu masa dulu bila filem Pulp Fiction ditayangkan di Amerika dan jadi calon filem terbaik untuk oscar, Oprah Winfrey bertanya soalan dalam rancangannya, ‘takkan kita nak menangkan filem yang tidak bermoral seperti ini? Dah teruk sangat ke moral dan mentaliti rakyat Amerika?” Saya faham apa yang Milla maksudkan. Saya akui saya seorang konservatif (sebenarnya saya liberalis bertempat!) tetapi Milla bukan begitu. Milla seorang yang suka hal-hal budaya. Suka mengumpul songket dan kebaya dan benar-benar tergiur untuk menjadi perempuan melayu yang jelita. Kata Milla lagi, “Perempuan Melayu nampak cantik selagi berbudaya, bila duduk mengangkang di Starbuck Coffee sambil merokok kerana rasa itu macam kelas, alangkah ruginya.” Milla kadang-kala merujuk kepada aktres Indonesia, Dian Sastrowardoyo, menurut Milla, saya tak tahu betul atau tidak, Dian sungguh bersopan, pandai berbahasa dan kalau bercakap berhati-hati tak sampai menimbulkan konntroversi. Bila Dian masuk Islam, dia memberitahu dia mahu mendalami agama barunya tanpa ada desakan dan tanggapan. Dalam keadaan hari ini di mana ada banyak filem yang merosakkan fikiran kita, atau cereka televisyen yang sungguh mengelirukan, di tambah dengan novel-novel yang hanya bercerita dan berasaskan hiburan tanpa ilmu, pengajaran dan nasihat, jadilah masyarakat kita kosong spiritualiti. Petang itu bila saya ketemui Milla, saya kagum melihat dia berbaju kurung sempurna dan memberitahu saya dengan lembut tetapi ayu, ”Sebenarnya Zal, bila kita jadi manusia, ada dua hal yang kita mesti faham. Manusia ini terbahagi kepada fizikal atau jasad dan juga kepada spiritual atau roh. Fizikal manusia memerlukan makanan. Kita makan nasi lemak, nasi goreng, tom yam dan lain-lain atau vitamin dan sebagainya. Tetapi manusia juga ada roh yang memerlukan makanan. Hal-hal agama, kesenian, kebudayaan seperti inilah makanan roh atau spiritualiti kita. Budak yang tak tahu bahasa itu adalah contoh budak yang lapar spiritualitinya. Aku kasihan melihatnya…” Benar kata Milla, untuk jadi kelas bukan dengan kita tahu bahasa asing tetapi tak tahu bahasa ibunda. Untuk jadi kelas, bukan dengan angkuh terikut-ikut budaya Barat. Untuk jadi kelas ialah dengan megah apa yang kita ada iaitu budaya sendiri, agama sendiri, bahasa sendiri, budi sendiri dan jati diri sendiri. Orang yang malu mengaku mak sendiri mak adalah orang yang cabul. Orang yang malu mengaku tanahairnya sendiri pesaka tanah bangsa adalah orang yang cemar dan orang yang berani menghina budaya sendiri atau agama sendiri, dan keliru jati diri kerana terpengaruh dengan falsafah-falsafah yang ada, maka sayang sekali…mereka terus keliru kerana tak mahu mencari kebenarannya. Petang itu saya bangga sekali lagi dengan Milla. Dan menyenanginya sebagai perempuan paling kelasan! - mks. |
ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
18 July, 2007
Jamilah margono dan cintanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment