Mahkamah Tinggi Temerloh, Khamis menolak dengan kos permohonan anggota exco kerajaan Pahang, Datuk Shahiruddin Ab Moin, serta enam yang lain bagi mengetepikan saman seorang peniaga terhadap mereka.


Penolong Kanan Pendaftar, Ida Rahayu Sharif, yang membuat keputusan itu di dalam kamarnya, menetapkan 8 Ogos ini bagi mahkamah mendengar permohonan injunksi peniaga terbabit, Razali Hassan, yang mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berhubung penggunaan tanah seluas empat hektar milik kerajaan di bandar Raub.


Melalui peguamnya, Mohd Harris Abdullah, peniaga itu memfailkan saman pada 21 Feb lepas menamakan syarikat Coralfare serta Shahiruddin, selain Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Batu Talam, Abdul Aziz Kiram, Naib Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Azinudin Abdul Rahim, Ketua Wanita Umno Bahagian Raub, Asmah Ismail, Setiausaha Barisan Nasional Raub, Ahmad Sabri Zainal Abidin, dan Yayasan Raub, sebagai defendan.


Bernama melaporkan, dalam pernyataan tuntutannya, Razali memohon satu injunksi bagi melarang Coralfare daripada terus mengusahakan tanah itu, serta memohon satu perintah bahawa perjanjian yang dimeterai antara Coralfare dan kerajaan Pahang pada 23 Ogos 2004 adalah tidak sah dan terbatal dari awal lagi, selain menuntut ganti rugi am dan khas yang ditaksirkan oleh Penolong Kanan Pendaftar.


Beliau turut mendakwa Shahiruddin, Abdul Aziz, Asmah dan Ahmad Sabri bersubahat dengan Coralfare untuk mengelirukan Pejabat Tanah dan membenarkan syarikat itu memohon hak milik-hak milik itu di atas nama syarikat berkenaan sedangkan mereka semua mengetahui bahawa Yayasan Raub telah dilantik sebagai rakan usaha sama, dan permohonan perlu dibuat secara bersama.

Permohonan bagi mengetepikan saman itu difailkan pada 27 Mac lepas.- 5/7/2007