Posted on Monday, July 23 @ 16:12:34 MYT by greenboc
Oleh zul_mz
Parti Kebajikan dan Pembangunan - AKP memenangi pilihanraya umum Turki yang diadakan pada 22 Julai 2007.
Sejumlah laporan menyebutkan AKP, yang berdasarkan politik Islam, memenangkan hampir 48% suara secara nasional.
Partai pembangkang utama berada pada kedudukan kedua dengan 20 peratus undi suara, setelah 80 peratus undi sudah dikira.
Harian Metro menyiarkan tulisan Al-Abror Mohd Yusuf menulis apalah malang sebuah negara bernama Turki...Ketika Adalet ve Kalkinma Partisi (Parti Kebajikan dan Pembangunan - AKP) mahu menguasai kerajaan negara itu, mereka tidak diberikan laluan mudah. Pemimpinnya, Recep Tayyip Erdogan-ketika itu berjawatan Datuk Bandar Istanbul-pernah dipenjara pada 2002 gara-gara bersajak mengenai masjid.
Dia menggunakan analogi masjid sebagai tempat perteduhan (“Khemah kami,” katanya), menaranya sebagai syiar kekuatan (bayonet) dan orang beriman sebagai “tentera kami”. Recep disentak dengan hukuman penjara 10 bulan kerana menghina sekularisme Turki.
Bagaimanapun, dengan pendekatan berhikmah AKP, mereka masih berjaya menguasai kerajaan. Reccep yang sepatutnya tidak boleh memegang jawatan dalam kerajaan, akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri. Dengan sokongan ahli Parlimen AKP yang menguasai Parlimen, Recep menguruskan negara itu sebaik mungkin.
Ketika dia mempertahankan pegangan agama, Recep terpaksa berpencak dengan penganut totok sekular yang berjaya didoktrinkan Mustafa Kemal Ataturk dan sekutu jahatnya.
Kini AKP dan pemimpinnya sekali lagi menghadapi ujian. Penganut idealogi ‘ataturkisme’ itu melolong menolak pencalonan Abdullah Gul sebagai presiden negara itu.
Bagi penganut sekular yang menguasai sesetengah kerusi di Turki, mereka memang menggunakan apa saja kesempatan yang ada untuk merosakkan rancangan Recep.
Antaranya adalah mahkamah.
Justeru, Mahkamah Perlembagaan Turki pun bersidanglah. Hakim mengisytiharkan pusingan pertama pemilihan presiden baru Turki pada Jumaat lalu sebagai tidak sah.
Dan untuk memastikan sekular di Turki terpelihara, perlembagaan negara itu menghalang sebarang keputusan mahkamah berkenaan dirayu.
“Saya menarik diri,” kata Abdullah Gul akhirnya, semalam.
Buat sementara waktu Presiden Ahmet Necdet Sezer yang menjadi antara pemuka paling atas melindungi sekular di Turki terus kekal sebagai presiden.
AKP yang membawa citra Islam itu berkuasa di Turki melalui pilihan raya yang sah. Parti itu melalui banyak cabaran dan halangan sebelum diterima majoriti penduduk Turki.
Namun, dalam proses demokrasi itu juga ada ruang untuk pihak berbeza pendapat bersuara. Selagi ia dibuat dalam lingkungan yang dibenarkan undang-undang, demokrasi itu dianggap terpelihara.
Bagaimanapun, perlu difahami bahawa demokrasi itu bukan maksum sifatnya. Ia terdedah kepada salah guna dan salah urus oleh mana-mana pihak berkepentingan.
Demokrasi juga boleh dijadikan cerminan untuk melihat kebodohan serta kehodohan sesebuah masyarakat.
Iraq, misalnya, pernah memartabatkan Parti Baath melalui ‘demokrasi’ itulah. Ketika hayatnya, Saddam Hussein membenarkan rakyat mengundi dan merasai pengalaman ‘demokrasi’.
Apabila keputusan diumumkan, Parti Baath itulah yang menang dan menang lagi. Ia tidak pernah kalah di bawah Saddam. Malah ia tidak pernah merasai penyusutan sokongan yang ketara.
Ketika Orde Baru Suharto dulu, demokrasi di Indonesia diberikan wajah yang unik. Ada pilihan untuk ratusan juta warganya mengundi. Cuma pilihan itu dihadkan kepada tiga parti – Golongan Karyawan (Golkar), Parti Demokrasi Indonesia (PDI) dan Parti Pembangunan Persatuan (PPP).
Untuk ‘mencantikkan’ demokrasi ala Suharto yang mewakili Golkar, pemimpin parti politik juga ditentukan oleh hukum itu.
Maknanya, kerajaan menentukan siapa yang boleh mengetuai sesuatu parti politik yang bakal ditentangnya dalam acara puncak demokrasi, iaitu pilihan raya.
Dan tetaplah Golkar yang menguasai Parlimen Indonesia dan ahlinya bersemayam di Istana Presiden kerana mendapat ‘mandat’ dalam pemilihan negara itu.
Maka di Turki, walaupun AKP berkuasa, presidennya itu masih berada di peringkat atas hierarki pemerintahan. Dia menentukan bagaimana Turki harus diwajahkan, walaupun bagi sesetengah orang tindakan itu tidak lebih daripada sebuah lelucon yang membosankan.
Abdullah Gul tidak diperkenan bertanding untuk kerusi presiden. Antara alasan yang dihujahkan untuk menolaknya adalah kemungkinan dia akan mengubah Turki yang sekular itu.
Penganut Ataturkisme juga sangat risau melihat isteri Abdullah Gul, Hayrunisa, yang bertudung (gambar). Sebelum ini pun, isteri Recep, Emine dicurigai kerana tudungnya.
Walaupun Emine akhirnya dapat masuk ke rumah perdana menteri Turki tanpa perlu mengorbankan tudungnya, Ataturkis di Turki sangat gamang dan histeria jika istana presiden di negara itu dijijak seorang wanita bertudung.
Ketika ini presiden Turki bernama Ahmed Necdet Sezer. Jika bukan kerana ulahnya yang menentang pengaruh agama dalam kerajaan, tidak ada sesiapa boleh menghidu kecurigaannya terhadap pegangan hidup seseorang.
Dalam bahasa Arab, Ahmad dan Muhammad itu berakar pada kata dasar yang sama dan membawa maksud yang sama juga. Bahawa Muhammad itu adalah seorang rasul, terlalu ironi sebenarnya melihat seorang manusia bernama Ahmed (lafaznya tetap Ahmad) menjadi pendengki ajaran yang dibawa Muhammad.
Masalahnya, keadaan itu tidak disedari sebahagian manusia. Ketika seluruh dunia cenderung mencari agama sebagai jalan menyelesaikan kemelut kehidupan, kelompok yang ‘masih tidur’ dan ‘berdengkur’ itu tetap berpegang kepada sekularisme.
Pun begitu, tidak adil meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada masyarakat yang lena itu. Seperti petikan sajak di atas, selalunya manusia tidur dengan lena apabila diulit mimpi indah.
Untuk mencelikkan mata dan berfikir sedetik dua pun mereka enggan.
Jika di Turki, pihak yang menjadi saudagar mimpi itu adalah orang yang menanamkan fahaman Ataturkisme itu puluhan tahun lalu dan ia diwarisi penganutnya yang kental.
Dan di sana juga ada kelompok tentera yang menjadi pengawal setia sekularisme. Barangkali ada antara anggota tentera itu yang memberontak jiwanya dengan anutan sesat itu, tetapi cengkaman perlembagaan dan kuasa presiden mengolah persetujuan mereka terhadap Ataturkisme itu.
Kemenangan Parti Kebajikan dan Pembangunan - AKP di bawah pimpinan Recep Tayyip Erdogan di Turki ini diharap memberikan momentum baru untuk semua parti politik yang berteraskan Islam di seluruh dunia tetutama untuk PAS di negara Malaysia ini.
Setelah penat tidur
aku sangka anak-anakku
akan segera bangkit
alau dengan malas
akibat lamanya lena
aku masih berharap
dia bangun dan
sekurang-kurangnya
duduk di birai
katil dan berfikir
malangnya dia masih
nyenyak berdengkur
mimpinya diindahkan
barangkali
Abdullahjones - Kudos Kepada Pencipta Mimpi
No comments:
Post a Comment