adsense

06 July, 2007

Sirul letupkan Altantuya -- Azilah beritahu



Sirul letupkan Altantuya -- Azilah beritahu Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah – Mastor

Oleh AMIRUDDIN HARUN, NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM


CIF Inspektor Azilah Hadri yang hanya membuka bahagian hidungnya untuk bernafas, terus berselindung pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Shah Alam. – Gambar HAZRUL EDHAM.

SHAH ALAM 5 Julai – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri telah mendedahkan bahawa Koperal Sirul Azhar Umar adalah orang yang membunuh Altantuya Shaariibuu dan meletupkan mayat wanita Mongolia itu.

Azilah, tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya, menyatakan demikian kepada Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan semasa soal siasat dijalankan pada November tahun lalu.

Asisten Komisioner Mastor Mohd. Ariff, 45, yang menyambung keterangannya dalam pemeriksaan utama sebagai saksi pendakwa ke-11 berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Syed Ismail kepadanya ketika Syed Ismail mengarahkan beliau membawa Sirul Azhar pulang dari Pakistan pada November tahun lalu untuk tujuan siasatan.

Ketika itu koperal polis berkenaan bertugas mengiringi lawatan Perdana Menteri ke Pakistan.

Menurut Timbalan Komander UTK Bukit Aman itu, beliau memaklumkan mengenai pendedahan Azilah kepada Sirul Azhar semasa mereka menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Bangkok ke Kuala Lumpur pada pukul 11.20 pagi 6 November tahun lalu.

“Masa dalam pesawat, saya telah beritahu dia bahawa saya telah diarahkan oleh Datuk Syed Ismail supaya membawa dia pulang ke Malaysia untuk disiasat berhubung kes kehilangan wanita Mongolia.

“Datuk Syed Ismail beritahu saya bahawa masa disoal siasat, Azilah telah mendedahkan bahawa wanita Mongolia tersebut telah dibunuh dan diletupkan dengan bahan letupan.

“OKT1 (Orang Kena Tuduh pertama) telah menyatakan bahawa dia (Sirul Azhar) adalah orang yang telah melakukan pembunuhan itu dan meletupkan mayat tersebut,” kata Mastor.

Di peringkat ini, peguam bela Azilah, Hazman Ahmad dan peguam bela Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul Azhar mengemukakan bantahan.

Menurut Kamarul Hisham, beliau percaya kenyataan Mastor itu adalah pengakuan anak guamnya dan ia perlu dibuktikan terlebih dahulu sama ada ia dibuat secara sukarela atau paksaan dan beliau memohon prosiding bicara dalam perbicaraan diadakan.

Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, apa yang diberitahu oleh saksi tersebut kepada Sirul Azhar boleh diterima dan bicara dalam perbicaraan hanya melibatkan pengakuan Sirul Azhar.

Hazman pula menegaskan, jika saksi itu terus memberi keterangan, ia akan dimasukkan dalam rekod mahkamah dan ini akan menimbulkan prejudis kepada mahkamah kerana ia adalah keterangan dengar cakap.

Katanya, selagi Syed Ismail tidak dipanggil menjadi saksi, keterangan tersebut seolah-olah menunjukkan tertuduh pertama itu ada membuat pengakuan kepada Syed Ismail.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin kemudian memerintahkan supaya bicara dalam perbicaraan dimulakan.

Prosiding bicara dalam perbicaraan dengan Mastor sebagai saksi pendakwa pertama diadakan bagi menentukan sama ada pengakuan yang dibuat oleh Sirul Azhar kepada Mastor di dalam pesawat MAS itu dibuat secara sukarela atau paksaan.

Perbicaraan kes berprofil tinggi itu yang turut membabitkan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya masuk hari ke-14 hari ini.

Pada prosiding bicara dalam perbicaraan, Mastor berkata, beliau menceritakan pendedahan Azilah itu kepada Sirul Azhar dalam nada suaranya yang sangat tegas sebagai seorang ketua dan selepas itu, Sirul Azhar ada memberikan respons atau jawapan tetapi bukan atas desakan atau paksaan beliau.

Tun Abdul Majid: “Adakah kamu beri tekanan kepada OKT2 untuk memberi respons?”

Mastor: “Saya bertanya dan mengharapkan jawapan daripada dia.”

Tun Abdul Majid: “Ada guna apa-apa cara?''

Mastor: “Saya bertanya dan minta jawapan.”

Tun Abdul Majid: “Apakah perkataan yang kamu gunakan?''

Mastor: “Saya hanya bertanya dan meminta dia ceritakan perkara sebenar. Cerita ini telah terdedah dan Azilah telah memberitahu cerita sebenar dan tidak ada apa yang hendak disembunyikan.”

Menurutnya, Sirul Azhar agak lambat memberi respons kepada pertanyaan itu dengan mengambil masa antara dua hingga tiga minit.

Saksi itu berkata, beliau tidak memberikan apa-apa janji, membuat ugutan, dorongan atau memujuk Sirul Azhar untuk memberikan respons.

Menggigil

Mastor memberitahu, Sirul Azhar juga dilihat berada dalam keadaan gelisah dan menggigil selepas beliau memaklumkan perkara sebenar.

‘‘Selepas Sirul Azhar memberikan respons, saya tidak ada memberitahunya apa-apa,” kata beliau.

Jelasnya, beliau tidak mencatatkan respons Sirul Azhar kerana pertanyaan itu dikemukakan olehnya sebagai seorang ketua yang ingin mengetahui perkara sebenar dan bukan sebagai pegawai penyiasat.

Beliau juga tidak menyatakan kepada Sirul Azhar tentang apa yang beliau akan buat mengenai respons tertuduh itu.

Setibanya di Malaysia dari Bangkok, kata Mastor, beliau telah membawa Sirul Azhar keluar dari lapangan terbang dan terus membawanya ke pejabat Cawangan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dengan kenderaan polis.

Semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau telah menghubungi Syed Ismail melalui telefon bimbit untuk memaklumkan mengenai respons Sirul Azhar.

Pada peringkat awal prosiding tersebut, Mastor memberitahu, beliau yang ketika itu memegang jawatan sebagai Pegawai Pemerintah Unit Perjawatan Khas PDRM menaiki pesawat MAS MH 0785 bersama Sirul Azhar di Lapangan Terbang Bangkok serta ditemani oleh dua anggota UTK, Sarjan Jelima Tasiran dan Koperal Zamri Abu Bakar.

Menurutnya, beliau pada asalnya duduk di tempat duduk berasingan manakala Jelima dan Zamri duduk bersebelahan dengan Sirul Azhar tetapi selepas pesawat berlepas, beliau telah berpindah ke sebelah Sirul Azhar sementara dua anggota UTK itu beralih ke tempat lain.

Saksi pendakwa pertama dalam prosiding itu berkata, Sirul Azhar setuju mengikutinya pulang ke tanah air setelah beliau pada awalnya memberikan alasan bahawa bekas isteri lelaki itu telah membuat laporan polis berhubung masalah rumah tangga mereka.

Tun Abdul Majid: “Adakah dia mempercayainya?”

Mastor: “Jika saya beritahu alasan tersebut, pada pendapat saya, dia akan mempercayainya.”

Menurutnya, Sirul Azhar ada bertanya alasan sebenar mengapa dia dibawa pulang semasa transit di Lahore dan Bangkok tetapi beliau menyatakan perkara itu hanya akan diberitahu apabila mereka menaiki pesawat dari Bangkok ke Kuala Lumpur.

Ketika dalam perjalanan dari Islamabad ke Bangkok, katanya, keadaan fizikal Sirul Azhar agak resah walaupun dia tidak menyatakan yang dia tidak sihat.

Menjawab soalan lain, Mastor berkata, tugas Jelima dan Zamri adalah untuk mengiringi kepulangan Sirul Azhar dan mereka hanya mengetahui alasan sebenar tertuduh itu dibawa pulang dari Pakistan semasa dalam penerbangan ke Malaysia.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama, Mastor turut memberitahu, Sirul Azhar berlepas ke Pakistan pada 31 Oktober 2006 dan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur hanya melibatkan dua transit iaitu di Lahore dan Bangkok.

Semasa dalam pesawat dari Bangkok ke Kuala Lumpur, katanya, tertuduh ada menyerahkan kepadanya serangkai tiga anak kunci, sebuah telefon bimbit dan sehelai jaket kulit.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin