adsense

09 July, 2007

Ambil tindakan jika CTOS langgar BAFIA, kata PM



PULAU PINANG 8 Julai — Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini meminta pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap Syarikat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) jika syarikat itu didapati melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA).

“Kita minta pihak yang berkenaan mengambil tindakan jika CTOS melanggar undang-undang,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Kesedaran Alam Sekitar di sini.

Perdana Menteri berkata, timbalan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan kenyataan mengenai CTOS yang tidak seharusnya menimbulkan masalah atau menghalang orang ramai mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

Najib semalam dipetik sebagai berkata, CTOS tidak patut menjadi penghalang atau mencengkam seseorang itu daripada mendapatkan pinjaman.

Katanya, CTOS perlu memastikan maklumat yang disimpan adalah lengkap dan terkini bagi mengelak orang ramai yang disenaraikan dalam sistemnya menghadapi masalah.

Kenyataan itu adalah sebagai susulan pendedahan yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas bahawa CTOS telah menyebabkan ramai pengguna menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

Kayveas turut mendakwa syarikat itu tidak menghantar laporan kewangan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sepanjang tempoh 10 tahun lalu dan kali terakhir berbuat demikian pada 1997, dengan menyatakan memperoleh pendapatan RM1.2 juta.

Menurutnya, kira-kira 90 peratus daripada 780,000 individu yang tersenarai dalam sistem CTOS adalah Melayu dan sejak beberapa hari lepas, beliau menerima lebih 400 e-mel yang mengadu masalah berkaitan CTOS. - Bernama

No comments:

Blog Widget by LinkWithin