adsense

08 July, 2007

Pencarian Anak Gemilang Malaysia oleh Astro


DI MATA sebilangan besar rakyat Malaysia, mereka meletakkan Siti Nurhaliza dan Mawi sebagai Anak Gemilang Malaysia. Di mata sebilangan lagi rakyat Malaysia, mereka meletakkan Mokhtar Dahari sebagai Anak Gemilang Malaysia. Siapa Anak Gemilang Malaysia di mata anda ?

Keputusan terkini internet menunjukkan Tun Abdul Razak Hussein mendahului dengan hampir 40% sebulat suara memikirkan beliau layak dengan gelaran tersebut. lebih-lebih lagi dengan publisiti yang amat meluas terhadap keluarganya sejak akhir-akhir ini, tidak mustahil Bapa Pembangunan Malaysia ini mendahului dengan jarak yang agak jauh.

Satu perkembangan yang menarik apabila Dr. Hamzah Dolmat turut sama dalam senarai teratas. Begitu juga dengan Tan Sri Mohd Asri Haji Muda. Siapa mereka ini ? Seorang pemain biola yang terkenal di Malaysia dan seorang lagi merupakan bekas Presiden PAS.

Keputusan Terkini Internet
1. Tun Abdul Razak Hussein: 37%
2. Tan Sri P. Ramlee: 13%
3. Dr. Hamzah Dolmat: 7%
4. Dato' Onn Jaafar: 7%
5. Sudirman Haji Arshad: 6%
6. Tun Hussein Onn: 3%
7. Aminuddin Baki: 3%
8. Datin Seri Endon Mahmood: 2%
9. Tan Sri Mohd Asri Haji Muda: 2%
10. Mokhtar Dahari: 2%

Tun Dr. Ismail pernah berkata, "Jangan sapu ke bawah permaidani". Peribahasa ini timbul berikutan permasalahan ekonomi orang Melayu yang sangat daif tetapi cuba ditutup begitu sahaja, sehingga akhirnya tercetus Peristiwa 13 Mei.

Aminuddin Baki pula lebih dikenali dalam bidang pendidikan dan turut dikenali sebagai Bapa Pendidikan Malaysia. Manakala Dr. Burhanuddin Al-Helmy pula menyatukan pemikiran dari pelbagai aliran Islamik dan nasionalis dengan hasrat untuk memperkenalkan satu pemahaman nasionalis yang luas dan universal. Beliau bermula dengan kepimpinan PAS.

Zaaba atau lebih dikenali sebagai Pendeta Zaaba terkenal dalam bidang penulisan. Tun Mohamed Suffian Hashim jaguh dalam bidang kehakiman dan dikenali sebagai seorang hakim yang bijaksana. Keadilan beliau dalam membuat keputusan amat dikenali.

Siapa HR Storey ? Memang ramai yang kurang mengenali beliau. HR Storey merupakan seorang insan kurang upaya yang menjadi penggiat utama sukan orang kurang upaya (OKU) dan menjadi nadi kepada sukan bina badan negara pada era 70-an sehingga 80-an. HR Storey dilahirkan di Great Britain tetapi mendapat kerakyatan Malaysia.

Seorang lagi orang putih yang tersenarai ialah Tan Sri Hutson atau nama sebenarnya V.M Hutson merupakan tokoh pencinta haiwan yang menjadi tulang belakang di atas penubuhan Zoo Negara pada tahun 1963 dan seterusnya berusaha keras dalam membangunkan Zoo Negara. Kenal ? Kenal Datuk Ismail Hutson, pelakon drama handalan suatu ketika dahulu. V.M.Hutson ialah bapa angkatnya dan kini beliau meneruskan khidmat beliau sebagai Pengerusi Zoo Negara Malaysia.

Tan Sri Dr. Tan Chee Khoon bukan calang-calang tokoh di Malaysia. Walaupun mewakili parti pembangkang, kehebatan beliau turut digeruni oleh pihak Kerajaan sehingga pihak Kerajaan melabelkan beliau sebagai seorang pembangkang yang berilmu dan berhemah.

Saya terpanggil untuk berkongsi dengan anda tentang Anak Gemilang Malaysia. Ramai juga yang bertanya perkara yang sama di laman web rasmi Anak Gemilang Malaysia. Persoalan utama yang berlegar-legar di kepala mereka tentunya sebab kenapa tiadanya nama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Dr.Mahathir Mohamed.

Ada dua sebab berbeza kenapa nama-nama agung tersebut tidak disenaraikan. Pertamanya tokoh-tokoh Anak Gemilang Malaysia adalah dari tokoh-tokoh yang telah meninggal dunia. Oleh yang demikian secara automatik Tun Dr. Mahathir tidak disenaraikan.

Beliau masih mencurahkan jasa-jasanya kepada Malaysia tanpa henti walaupun setelah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Keduanya, Almarhum Tunku Abdul Rahman merupakan Bapa Kemerdekaan Malaysia. Nama beliau akan sentiasa tersemat di hati rakyat Malaysia sebagai anak emas Malaysia. Jasanya tiada tolok bandingnya.

Anda telah buat pilihan ? Ada banyak cara untuk anda buat pilihan. Siapa saja boleh buat pilihan menggunakan pelbagai kaedah yang disediakan. Anda boleh membuat pilihan di laman web rasmi dan pilihlah seberapa kali pun yang anda suka. Siapa yang ada duit lebih kalau nak guna SMS pun boleh, tapi dah alang-alang boleh guna internet free apa salah guna internet saja.

Untuk mengundi pilihan anda sila layari http://www.astro.com.my/agm/

Sumber

No comments:

Blog Widget by LinkWithin