Sunday, 08 July 2007 | |
Mel dengan imej baru Salinan dari Berita Harian Singapura NAMANYA Ismail Zainuddin. Tentu ramai tidak kenal kerana beliau lebih dikenali sebagai Mel, bekas penyanyi utama kumpulan Wings yang menggantikan Awie ketika artis itu meninggalkan kumpulannya. Tapi dengan Wings pun tidak lama. Beliau tinggalkan kumpulan itu dan menyepi diri selama 10 tahun. Hari ini, Mel kembali memperkenalkan album barunya, sebuah album solo berjudul ‘Dunia Baru’.Menariknya tentang Dunia Baru, ia berkonsepkan rock tetapi sarat dengan mesej tentang ketuhanan. Wah, apa yang berlaku kepada anak Teluk Intan ini? Tentu anda ingin mengetahui apa yang merubah Mel menjadi orang baru? Sebentar lagi, saya akan berkongsi kisah menarik tentang Mel dengan ‘Dunia Baru’ bersama anda. Geng Batu Giling Productions Saya menemui Mel, yang kini bergerak secara berjemaah bersama beberapa rakannya dalam Batu Giling Productions termasuk penerbit eksekutif, Hussein Ali dan Shanazron, penerbit dan jurutera rakam yang pernah menerbitkan album Teacher’s Pet. “Jemaah itu rahmat, berpecah itu bala,” ujar penyanyi rock berusia 41 tahun itu membuka bicara. Beliau hanya mengenakan jeans dengan baju putih, menyerlahkan wajah bersihnya. Kebetulan pertemuan kami berlaku selepas solat maghrib. Setiap orang ada cara dakwahnya, seperti juga Akhil Hai dan Azmil Mustapha. Cara Mel adalah melalui lagu rock. Adalah tidak sukar sebenarnya untuk memahami mengapa beliau memilih untuk berdakwah melalui muzik. Cara beliau dibesarkan memungkin semua itu. Bapanya adalah imam masjid manakala ibunya mengajar kanak-kanak mengaji. Beliau sendiri selalu bersama-sama bapanya ke masjid, menjadi tukang azan bila masuk waktu. “Soal hidayah bagi saya ia datang pada 1996. Masa dengan Wings mengajar saya banyak tentang hiburan. Saya sendiri boleh rasa bezanya, mungkin masa itu saya sudah dapat hidayah. “Masa itu saya duda beranak dua. Saya terfikirkan apa akan jadi pada mereka berdua, tentu akan kecundang kerana hiburan ini boleh membawa kita dekat dengan maksiat. Kalau kita ini tidak pandai elak, kita akan sesat. Makin lama makin jauh dan bila kita sudah keras, kita jadi tidak ingat Tuhan. Di situlah bila tidak ada keyakinan, akan hanyut dan sesatlah hidup ini. Ini bukan pandangan fanatik saya, tapi inilah punca segala penyakit sosial kita hari ini. Seks bebas, rogol menjadi-jadi sebab perasaan takut pada Tuhan sudah tidak ada kerana kita tidak bersandarkan pada Allah,” kata Mel yang juga belajar tasauf. Menurutnya, selepas meninggalkan Wings, selama 10 tahun beliau berusaha membuat kerja lain. Beliau mencuba bermacam jenis perniagaan secara kecil-kecilan. Dari niaga batu cincin, kain pelikat dan jual durian di sekitar Ampang hinggalah membuka kedai makanan laut di Teluk Intan kerana beliau bukan saja suka bahkan pandai memasak. Hari ini, kedai makan di Teluk Intan masih kekal dikendalikan oleh kakaknya. “Yang penting adalah buat apa saja yang termampu, yang halal dan saya tidak malu melakukannya. Bayangkan dari penyanyi glamour menjadi penjual durian di kaki lima. Tapi apa salahnya, tidak ada apa yang mesti disegankan kerana segan itu, adalah pujukan syaitan, supaya kita jadi orang sombong.” Bersambung bahagian kedua Selasa 10 Julai 2007 Rencana ini adalah tulisan Saodah Ismail untuk kolum Salam dari KL yang disiarkan setiap Ahad oleh Berita Harian Singapura. - Pengarang |
ISU-isu SEMASA gambar VIDEO link CERITA info RESEPI pepatah KELAKAR gambar artis DAN macam-MACAM ada YANG HANGAT-HANGAT BELAKA....!!!!
25 July, 2007
Dunia baru Mel selepas Wings
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment