adsense

25 July, 2007

Eropah, AS bertembung isu sekatan Iran



Haris Zalkapli
Tue | Jul 24, 07 | 11:59:33 AM


Rusia dan China, dua ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga kini tidak sehaluan dan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam cara menangani Iran, menghalang sekatan lebih komprehensif terhadap Tehran.

Moscow dan Beijing masih menjadi penghalang utama kepada Washington dalam usahanya mengenakan sekatan lebih menyeluruh ke atas Iran.

Kini, AS terpaksa berdepan cabaran baru dalam kempennya meningkatkan tekanan ke atas Iran. Di Eropah, beberapa institusi kewangan dan bank semakin tertekan dengan desakan AS supaya mengurangkan atau menamatkan aktiviti di Iran.

AS telahpun mempunyai undang-undang yang membolehkan tindakan dikenakan ke atas syarikat asing yang melabur melebihi AS$40 juta dalam pembangunan sumber petroleum di Iran. Kini, kongres AS sedang berusaha meningkatkan lagi tekanan ke atas syarikat yang berurusan di Iran.

Majlis Keselamatan PBB telah mengenakan sekatan ekonomi dan perjalanan ke atas Iran yang agak terhad. Sekatan yang lebih menyeluruh sehingga kini tidak dapat dikenanakan kerana tidak dipersetujui Rusia dan China.

Melalui undang-undang baru yang sedang dicadangkan, Iran boleh menghadapi tekanan teruk walaupun tanpa sekatan PBB. Tom Lantos, pengerusi jawatankuasa hal ehwal luar Dewan Perwakilan AS dilapor berkata, "Matlamat kita ialah pelaburan asing sifar (di Iran.)"

Cadangan baru itu menimbulkan kemarahan institusi kewangan dan bank Britain dan Eropah yang telah menjadi mangsa tekanan Washington itu. isu ini mungkin boleh berlanjutan sehingga mendorong Eropah bertindak balas.

Tindakan keras ini mampu menjejaskan hubungan AS dengan sekutunya di Eropah, terutama Britain yang marah kerana aktiviti banknya di Iran diambil alih oleh syarikat Eropah lain yang tidak tunduk kepada tekanan AS. Eropah kini sedang melobi menentang rang undang-undang itu daripada diluluskan. Kempen mendesak bank asing berurusan di Iran ini juga dilakukan secara senyap-senyap oleh Washington, untuk cuba tidak menjejaskan hubungan dengan Eropah.

Tekanan Washington telah terbukti mampu mendatangkan kesan yang dikehandaki, lebih daripada apa yang mampu dihasilkan daripada sekatan PBB. Beberapa institusi kewangan dan bank Eropah telah mengurangkan atau menamatkan aktiviti mereka di Iran. Tetapi Washington mahu tekanan lebih kuat dikenakan.

Kebanyakan bank terbabit turut mempunyai cawangan di AS, yang tertakluk kepada tindakan yang boleh menjejaskan mereka.

Mei tahun lalu, semasa kempen ini baru dimulakan, empat bank terbesar Eropah, UBS, Credit Suisse, ABN Amro dan HSBC mula mengurangkan aktiviti di Iran, dan mendedahkan aktiviti mereka di negara itu. Bank-bank tersebut berdepan risiko dikaitkan dengan perlanggaran undang-undang antiterorisme dan perbankan. Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, institusi kewangan terbabit boleh dikaitkan dengan bekerjasama dengan rejim yang menyokong terorisme.

UBS dari Switzerland dan ABN Amro dari Belanda pernah didenda masing-masing AS$100 juta dan AS$80 juta kerana berurusan dengan Iran dan Libya, melanggar sekatan ke atas negara tersebut.

Sejak itu, Jabatan Perbendaharaan dan Jabatan Negara AS meneruskan dan meningkatkan kempen menghalang institusi kewangan dan bank Eropah daripada berurusniaga di Iran, walaupun dilaporkan Jabatan Negara tidak bersetuju dengan langkah terbaru meningkatkan tekanan terhadap Eropah.

Sekarang, lebih 40 institusi kewangan dan bank dari seluruh dunia termasuk bank besar Eropah seperti Standard Chartered dari Britain dan Commerzbank dari Jerman telah menghentikan atau mengurangkan operasi di Iran, dan mendatangkan kesan yang dikehendaki AS.

Menurut laporan media, ada pemerhati berpendapat disebabkan harga minyak tinggi yang merupakan sumber pendapatan kerajaan Iran, kesan halangan itu tidak seberapa. Tetapi, kemudian dilaporkan tindakan itu telah menyukarkan import dan menghalang kemasukan pelabur ke Iran.

Pentadbiran George W Bush juga pernah mengeluarkan amaran kepada syarikat yang melabur dalam sektor minyak dan gas di Iran. Peminggiran Iran dari sistem perdagangan global melalui cara ini mampu mendatangkan kesan, antaranya kerana melibatkan banyak pihak.

Bagaimanapun, Iran tidak berdiam diri menghadapi tekanan AS ini. Satu tindakan Tehran ialah mengurangkan peranan dolar AS sebagai matawang perdagangan minyak. Terbaru, sebuah syarikat Jepun telah bersetuju untuk berurusniaga dengan Iran menggunakan matawang yen, mengurangkan pegangan dolarnya. Iran sebagai salah sebuah negara pengeksport minyak utama dunia mampu mengajak negara yang membeli sumber minyaknya untuk tidak menggunakan dolar.

Walaupun berdepan tekanan, Rusia, China dan beberapa negara lain seperti Perancis terus mahu terlibat dalam sektor tenaga Iran, atas alasan keselamatan bekalan tenaga yang perlu diutamakan untuk kepentingan negara. Walaupun dikenakan sekatan, banyak pihak mahu melabur di Iran kerana sumber minyaknya yang banyak.

Hal ini memperlihatkan cabaran kepada AS yang sering mengaitkan perdagangan dengan politik, dan negara-negara sekutunya yang mahu bekerjasama dengan AS tetapi tidak mahu mengorbankan terus peluang pelaburan di Iran.

AS telah berjaya mencapai beberapa matlamat melalui kempen ini, tetapi turut disertai tentangan yang semakin kuat dari sekutunya di Eropah. Masa akan menentukan setakat mana tentangan Eropah ini. - mks.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin