adsense

25 July, 2007

Kenderaan exco ditahan, penduduk bantah cadangan ternak ayam



Salman Hussin
Tue | Jul 24, 07 | 05:52:00 PM


LABIS, 24 Julai – Lebih 10 ribu penduduk di beberapa kampung dekat sini, mendakwa Kerajaan Negeri telah membenarkan sebuah syarikat ladang ternakan ayam beroperasi secara besar-besaran di atas tapak seluas 200 ekar berhampiran kampung mereka.

Dakwaan penduduk ini tambah berasas lagi apabila Exco Kerajaan Johor, Ahmad Zahri Jamil, mengadakan lawatan ke kawasan terbabit di Kampung Tenang, baru-baru ini, turut mengiringi beliau Adun Tenang, Dato’ Sulaiman Taha serta beberapa pegawai kerajaan lainnya.

ImagePenduduk yang mendapat maklumat berhubung lawatan ini telah berkumpul sejak awal pagi menunggu kehadiran rombongan diketuai Ahmad Zahri yang akan melawat ke tapak tersebut.

Kehadiran berpuluh-puluh penduduk yang mewakili beberapa kampung terbabit telah menahan kenderaan dinaiki beliau, ini memaksa beliau turun dari kenderaan dan bersemuka dengan penduduk.

Beliau yang ditanya penduduk berhubung cadangan pembinaan ladang ternakan ayam ini bagaimana pun telah menafikan perkara ini.

Beliau memberitahu, "Kerajaan Negeri telah pun menolak permohonan syarikat ini, isu ladang ternakan ayam ini tidak timbul lagi kerana kerajaan telah pun membatalkan cadangan ini.

Bagaimanapun timbul rasa sangsi di kalangan penduduk apa tujuan sebenar beliau melawat tapak ini jika tiada tujuan tertentu.

Ketika diajukan persoalan ini, Ahmad Zahri memberitahu, lawatan ini dibuat untuk mempastikan tapak ini digunakan sebagai padang ragut untuk ternakan lembu sepenuhnya, bukan untuk kegunaan lain seperti tanaman kelapa sawit atau lain-lainnya.

Difahamkan tapak seluas 200 ekar milik Jabatan Haiwan ini telah diberikan kepada seorang pengusaha ternakan lembu sejak tujuh tahun lalu, dianggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 100 ekor lembu milik pengusaha ini.

Pengusaha ternakan lembu ini sudah tentu akan berhadapan dengan masalah sekiranya tapak ini diberikan kepada pengusaha ladang ternakan ayam ini.

Sementara itu rata-rata penduduk yang ditemui bimbang sekiranya projek ini diteruskan juga sudah tentu akan mengundang berbagai masalah kepada penduduk beberapa kampung berhampiran.

Selain kedudukannya yang terlalu hampir dengan rumah penduduk yang jaraknya cuma sekitar 100 meter sahaja, ianya juga akan menyebabkan pencemaran air sungai berhampiran sekiranya sistem rawatan air kumbahan najis ayam ini tidak dilakukan dengan betul.

“Kami juga bimbang suatu hari nanti kampung kami tidak lagi ‘tenang’ disebabkan lalat yang berpunca dari reban ayam ini,"jelas seorang penduduk yang ditemui.

Sehubungan itu penduduk mendesak kerajaan membatalkan projek ini, walaupun penduduk dijanjikan dengan peluang pekerjaan namun ianya tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana pengusaha ayam ini sudah tentu lebih berminat untuk mengambil pekerja asing yang boleh dibayar gaji pada kadar yang rendah berbanding rakyat tempatan. - mks.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin