adsense

15 July, 2007

Iran pun ada Yahudi?





Haris Zalkapli

Fri | Jul 13, 07 | 05:30:57 PM


Baru-baru ini, akhbar Tehran Times melaporkan Yahudi Iran menaffikan laporan bahawa terdapat tawaran kewangan untuk berpindah ke Israel, negara musuh Iran yang paling kuat menentang negara Parsi itu.

semalam, akhbar Guardian pula melaporkan insentif ditawarkan berjumlah lebih AS$10,000 bagi individu dan sehingga lebih AS$60,000 bagi keluarga itu bersumber daripada dana yang ditubuhkan hartawan Yahudi asing untuk menggalakkan perpindahan Yahudi Iran ke Israel.

Dilaporkan tawaran itu dibuat dengan restu kerajaan Israel yang ada memberikan bantuan kewangan kepada Yahudi yang berhijrah ke Israel. Kerajaan Israel dikatakan telah menubuhkan dana sebanyak AS$1 juta untuk menggalakkan Yahudi Iran bepindah ke Israel.

Persatuan Yahudi Iran dilaporkan marah dengan tawaran itu yang disifatkan sebagai usaha membeli kerakyatan dan identiti mereka dengan sejumlah wang. Kata persatuan itu dengan bangganya, Yahudi Iran ialah antara warga Iran terawal. Iran mewarisi empayar Parsi yang hebat pada masa dulu. Walaupun kini sebahagian besar tidak mewarisi agama empayar Parsi, kebanggaan sebagai warga Iran masih kuat.

Kenyataan rasmi itu ditandatangani Morris Motamed, satu-satunya wakil rakyat berbangsa Yahudi di parlimen Iran dan Siamak Sedq, pengerusi Persatuan Yahudi Tehran.

Walaupun elemen liberalisme semakin meluas di negara dikuasai ulama konservatif itu, Iran memang jelas sekali sebuah negara yang rakyatnya berbangga dengan identiti mereka. Iran ialah salah sebuah negara di dunia yang meletakkan bahasa mereka sendiri pada tempat yang istimewa.

Kekuatan ini kemungkinan menjadi satu faktor yang menyebabkan Iran mempunyai warga Yahudi kedua teramai di Timur Tengah selepas Israel. Tetapi bezanya, tidak seperti Israel, warga Yahudi Iran ialah antara penduduk asal Iran, tetapi warga Yahudi Israel sejumlah besarnya ialah imigran dari negara lain.

Penolakan tawaran tersebut oleh warga Yahudi Iran tersebut, dengan satu kenyataan terbuka, merupakan satu tindakan politik yang tepat. Akibat situasi politik Timur Tengah dan permusuhan Israel dengan Iran, warga Yahudi Iran tidak dapat mengelak daripada menjadi mangsa keadaan. Bagaimanapun, sehingga kini tidak ada lagi laporan tentang dasar tidak adil terhadap Yahudi di Iran. Sekiranya ada, pasti isu itu telah diperbesarkan, sebagai sebahagian kempen menentang Iran.

Ketika Presiden Mahmoud Ahmadinejad mempertikaikan beberapa fakta berhubung peristiwa Holocaust, Ahli Parlimen Motamed membuat kenyataan memprotes kenyataan itu.

Walaupun tidak wajar dikemukakan sebagai bukti keunggulan demokrasi di Iran, hal itu memperlihatkan Yahudi Iran mempunyai suara, dan dapat disampaikan kepada pemimpin negara.

Warga Yahudi Iran semakin berkurangan sejak kebangkitan rakyat pada 1979 yang membawa kepada penubuhan Republik Islam Iran. Iran juga pernah menghukum sekumpulan warga Yahudinya atas tuduhan merisik untuk Israel. Tetapi hal itu tidak menerangkan segalanya tentang Yahudi di Iran.

Insiden perisikan tersebut diperbesarkan media antarabangsa, walaupun hakikatnya hal yang sama boleh berlaku kepada warga yang bukan Yahudi. Ada kalanya, isu terbabit tidak sepatutnya difokuskan pada Yahudi atau bukan Yahudi. Media antarabangsa sebahagiannya memandang isu ini dari sudut yang salah, sama seperti meletakkan masalah sosial imigran di Eropah di bawah tajuk seperti "Islam di Eropah."

Di mana-mana negara, hal melibatkan perisikan boleh melibatkan sesiapa sahaja, sama seperti imigrasi ke negara lain, walaupun disebabkan faktor sosio-politik dan sosio-ekonomi tertentu, mungkin satu-satu bangsa lebih cenderung untuk terlibat berbanding bangsa lain.

Apa yang didedahkan melalui laporan tawaran itu ialah kekurangan penduduk Yahudi di Israel, berbanding warga Palestin yang sentiasa meningkat. Warga Palestin itu pula berpotensi menyertai kumpulan-kumpulan yang menentang kerajaan Zionis Israel, atau sekurang-kurangnya mengundi kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepentingan Israel.

Kenyataan Persatuan Yahudi Iran yang menjelaskan identiti mereka tidak boleh dibeli dan mereka tidak mahu berpindah ke Israel bukanlah sesuatu uang mengejutkan dan perlu diraikan dengan berlebihan sebagai bukti kesetiaan Yahudi Iran. Yahudi tidak semestinya boleh dikaitkan dengan mudah dengan Israel.

Bagi satu jumlah yang besar Yahudi, New York, Maine atau Connecticut jauh lebih menarik berbanding Israel yang hanya akan mendedahkan mereka kepada ancaman bom Hamas dan Hizbullah. Sumbangan mereka kepada Israel juga mungkin jauh lebih besar dari luar berbanding sekiranya mereka berpindah ke Israel dan tinggal di penempatan-penempatan yang tidak dijamin akan kekal.


Ads by AdGenta.com
Powered by Qumana

No comments:

Blog Widget by LinkWithin