adsense

16 July, 2007

Bola: Semua Mesti Bertanggungjawab



KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina
Othman Said berkata, prestasi buruk skuad bola sepak
negara dalam Piala Asia sepatutnya dipikul oleh semua
pihak dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan
badan naungannya dan bukan hanya Tengku Abdullah yang
meletak jawatan semalam.

Katanya, bukan Timbalan Presiden FAM itu sahaja yang
seharusnya menanggung tanggungjawab terhadap kemalapan
sukan bola sepak negara tetapi ia sepatutnya dipikul
oleh semua pihak yang terlibat dengan badan yang
menguruskan bola sepak.

“Adalah menyedihkan kerana begini akhirnya yang
berlaku kerana bukan hanya Tengku Abdullah seorang
yang bertanggungjawab terhadap jatuh bangun bola sepak
negara dan kekalahan dalam Piala Asia. Ia adalah
tanggungjawab bersama.

Kehilangan

“Kita kehilangan seorang pemimpin sukan yang
berkebolehan tetapi saya percaya Tengku Abdullah telah
membuat keputusan ini setelah berfikir
semasak-masaknya.

“Saya harap penggerak bola sepak akan mendapat
kesedaran dan melakukan sesuatu yang positif daripada
keseluruhan episod duka ini,” kata Azalina.

Tengku Abdullah melepaskan kesemua jawatannya dalam
FAM menerusi sepucuk surat semalam tanpa memberikan
alasan.

Bagaimanapun Tengku Abdullah diketahui hampa dengan
prestasi skuad negara yang menjadi budak belasahan
dalam Piala Asia. Malaysia kalah 5-1 kepada China pada
perlawanan pembukaan Kumpulan C Selasa lepas dan
kelmarin kalah 5-0 kepada Uzbekistan.

Mengulas perkara yang sama, Ketua Pengarah Majlis
Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong berkata
tindakan Tengku Abdullah itu tidak bermakna masalah
bola sepak negara ini telah selesai.

“Kita kena tengok secara keseluruhan konsep
pembangunan bola sepak kita... sehingga ke akar umbi.
Walau siapapun yang mengisi tempat itu selepas ini
perlu melihat kepada program pembangunan,” katanya.

“Tindakan Tengku Abdullah ini bukan jalan
penyelesaian, tetapi saya tabik kepadanya kerana
sanggup memikul tanggungjawab ini,” kata Zolkples.

Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Paduka Basri Akil yang
sering lantang mengkritik badan induk bola sepak
negara itu, berkata: “Saya menghormati tindakan
beliau... saya menganggapnya sebagai satu pengorbanan.

“Agak mengejutkan kerana tindakan ini dilakukan lebih
cepat daripada keputusan awalnya sebelum ini yang mahu
melepaskan jawatan pada kongres FAM tidak lama lagi.

“Tengku Abdullah telah berusaha dan berkorban selama
20 tahun pengorbanan untuk menaikkan martabat bola
sepak Malaysia tetapi tidak tercapai dan sekarang
telah memberi laluan kepada pihak lain.

“Saya harap akan timbul kesedaran terhadap keputusan
Tengku Abdullah ini.”

Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin pula
terkejut dengan keputusan Tengku Abdullah itu.

“Saya tak sangka tindakan ini akan berlaku dan kami
(Ahli Majlis FAM) tidak diberitahu,” katanya.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin