adsense

12 July, 2007

Surat kepada PM: Pertahankan rakyat kita



Ibnu Amir al-pendangi
Wed | Jul 11, 07 | 10:25:41 AM
Salam tuan,
Didoakan tuan berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Ahad lalu, ketika puisi ini tersiar, beberapa orang mudir dan murid Sekolah Pemikiran Haslam (SPH) telah pun melakukan kritikan ke atasnya. Antaranya, penduduk setinggan tidaklah seperti yang digambarkan sekarang. Menurut mereka, hidup mereka jauh lebih baik berbanding dahulu.

"La ni rumah setinggan pun dah pasang Astro hang tau dak?"kata El-Pyanz, seorang grafik artis di sebuah akhbar mingguan politik di ibu kota.

Banyak lagi kritikan demi kritikan yang saya terima. Malah, kebanyakan murid dan mudir di situ memutarkan nasihat agar sang penyair bergaul lebih rapat mendalam pula perhatiannya kepada setiap orang di daerah itu.

Jika seperti mana yang disebutkan itu, maka saya tidaklah menolaknya. Bagaimanapun puisi itu menjurus kepada penduduk yang benar-benar tiada perlindungan dan bukannya para penduduk yang tampaknya miskin daripada segi luarannya, tapi kaya dan hartawan dari segi dalamannya.
Image














Ertinya begini, jika dalam sesebuah kampung itu ada seratus orang penduduk di mana 80 orang daripadanya ialah orang kaya setinggan, maka puisi di atas bukanlah dirujuk terhadap 80 orang yang kaya tadi. Sebaliknya, ia mewakili 20 orang miskin di daerah tersebut. Sekian, perbahasan awal.

Sekarang, saya ingin memutarkan pandangan baru mengenai setinggan, iaitu penduduk setinggan dalam makna yang sebenarnya - flora dan fauna (haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan) yang menjadi penduduk dan penghuni pertama di Tanah Melayu atau Malaya Merdeka ini.

Menurut kitab sejarah Sulalatus Salatin, diriwayatkan bahawa ketika Parameswara mendapat nama Melaka itu, baginda telah melihat keperwiraan pelanduk yang menendang anjingnya. Pelanduk adalah sejenis haiwan.

Parameswara akhirnya bertanya mamanda, "Pokok apakah tempat kita bersandar ini?" Lalu, dijawablah mereka sebagai pokok Melaka. Ingatlah, bahawa Melaka adalah nama sejenis pokok.

Jadi, baik pokok Melaka dan haiwan Pelanduk ini, kedua-duanya menyumbang jasa dalam memberikan nama Melaka sehinggalah ke hari ini. Maknanya, sebelum tibanya Parameswara dan orang-orang tempatan (mungkin orang Asli) di Tanah Melayu dan Malaya Merdeka, segala tumbuhan dan haiwan ini adalah penduduk tetap negara ini.

Bezanya, haiwan dan tumbuhan hidup bersosial dan mereka tidak mendirikan 'ketuanan haiwan' dan 'ketuanan tumbuhan'. Hal ini tentunya berbeza dengan insan yang hidup bermasyarakat. Lalu, dengan sebab itulah mereka mewujudkan tuan dan pemerintahan. Yang diperintah pula digelar sebagai rakyat.

Kenapa pihak tumbuhan tidak mewujudkan 'ketuanan tumbuhan' dan haiwan pula tidak wujudkan ketuanannya yang tersendiri. Ini kerana, haiwan dan tumbuhan ini beriltizam dan sifat atau fitrah mereka diciptakan Allah s.w.t untuk berkhidmat kepada manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Pendek kata, haiwan dan tumbuhan hidup bersosial dan bermasyarakat, harmoni dengan alam untuk mengiktiraf ketuanan manusia. Haiwan dan tumbuhan tidak menjalankan proses demokrasi dan pilihan raya untuk menaikkan pimpinan sesama mereka. Tiada haiwan atau tumbuhan yang pernah dilantik mewakili kehidupan mereka sendiri.

Ingatkah tuan cerita Tarzan? Atau, kisah Mowgli. Akhirnya, Sekolah Pemikiran Hollywood sendiri telah menoleh kepada fitrah, iaitu menjadikan manusia sebagai pemimpin kepada haiwan-haiwan ini. Pun begitu ada juga watak kartun Simba (seekor anak singa) yang ditakdirkan sebagai raja hutan. Tetapi, itu semua hikayat karut dan tahyul pasca-moderen! Atau, ia hanya sekadar cerita penyedap mata, pemanis telinga.

Flora dan fauna hadir sebelum wujudnya manusia. Mereka mempunyai hak ke atas kepimpinan manusia. Malah, Nabi Adam a.s ketika belum wujud, malaikat pernah berkata kepada Tuhan bahawa manusia akan merosakkan bumi dan saling menumpahkan darah. (al-Baqarah: 30)

Malaikat khuatir kita tidak dapat menjaga, menguruskan dan memelihara alam sekitar. Kita juga akan berperang, saling berbunuhan. Andaian ini ternyata benar. Tapi, kita masih belum terlambat jika kita ada kesedaran.

Jadi, dalam hal ini, kita cuba membayangkan segala haiwan dan tumbuh-tumbuhan bagaikan penduduk setinggan tadi yang asalnya dibiarkan hidup dan tumbuh melata di muka bumi. Manusia kemudiannya merampas semuanya tanpa belas kasihan. Kita rompak segalanya, nyawa haiwan ini didagangkan bagaikan mainan lagaknya.

Jujurkah kita hidup sebagai manusia? Islam Hadhari juga amat mementingkan alam sekitar. Saya harap ia dapat kita buktikan melalui tindakan dan bukannya kata-kata.

Saya tertarik membincangkan hal ini setelah saya menonton Buletin TV3 baru-baru ini yang menyiarkan laporan mengenai kawasan peranginan yang tuan habiskan masanya di zaman kanak-kanak dahulu. Jikalau Abdullah Pak Him masih hidup, tuan boleh sahkan sendiri hal ini melalui pandangan beliau.

Iaitu, ketika mana pejuang Melayu berusaha keras mendapat kemerdekaan, segala penghuni di Malaya Merdeka termasuk AIR, ANGIN (UDARA), HAIWAN, TUMBUHAN telah mendoakan pemergian serta kepulangan pejuang kita dahulu. Mereka berdoa agar negara kita merdeka dan menyelamatkan khazanah bumi ini daripada cengkaman dan belenggu penjajah.

Hari ini, kita telah mengkhianati doa-doa pengharapan nenek moyang sang gajah, pelanduk dan burung rajawali. Kita telah lupakan jasa-jasa dan doa nenek moyang pohon cengal, pokok meranti. Kita biarkan para pendatang asing samada dengan izin atau tanpa izin, datang menceroboh sekali gus memperkosa hutan dara kita.

Gajah-gajah dibunuh kerana gadingnya. Kita sendiri pun tidak pernah terniat dan berniat berbuat begitu terhadap kaum peribumi asal ini. Cenderawasih telah diburu, tenggiling dijebak dan badak-badak berkeliaran, harimau pun mengaum mengemis simpati, kerana belang melekat di tubuhnya, maka dia ditembak mati oleh pendatang asing.

Inikah balasannya ke atas mereka setelah nenek sang Pelanduk dan moyang pokok Melaka tadi berdoa ke atas kesejahteraan kita, kaum sebagai khalifah, tuan dan bangsa penghulu dan kaum nukleus di Malaya Merdeka ini?

Pertahankan setiap inci daerah wilayah dan kedaulatan. Pertahankan setiap urat daun yang dicantas daripada diceroboh oleh tangan-tangan asing daripada negara luar. Mereka ini; haiwan dan tumbuhan adalah rakyat kita walaupun mereka ini bukanlah pengundi yang telah menaikkan dan menurunkan menteri-menteri dan YB-YB selama ini.

Tapi mereka tetap pendoa yang setia! Kehadiran mereka yang jauh lebih awal daripada kita telah disetinggankan oleh tangan-tangan asing dalam kalangan warga bukan Melayu dan bukan Muslim yang tidak didoakan mereka sebelum ini.

Jika tidak percaya, tanyalah Hj Abdullah Pak Him. Tanya beliau, betulkah bahawa setiap rantingan pokok, daun, unggas serta haiwan yang liar berkeliaran inilah yang mendoakan kejayaan moyang kita menjulang piala merdeka.

Saya berhenti di sini dahulu. Nanti di lain masa kita bersua semula, insya-Allah.

2:57 a.m, 11 Julai 2007
Sekolah Pemikiran Kg. Baru.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin